Military Time
12 Hour Time   HOME

   MALAYSIA HOMOEOPATHY CYBER LIBRARY

KEPIALU = TIFOID - Info Sihat

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005.

 

 
DEMAM KEPIALU  
 
Penyakit Tifoid memang biasa kita dengar. Pada minggu ke 3 bulan April, negara dikejutkan lagi dengan kes yang menjadi semakin meluas akibat penjagaan premis gerai yang tidak dijaga dengan cermat di Tapak Ekspo di Kelantan. Peristiwa yang menyebabkan kematian warga muda belia dan jangkitan yang meluas ini amat mendukacitakan ramai pihak.Nampaknya ramai lagi yang tidak sedar tentang peranan kebersihan dan sanggup menggadai nyawa orang lain hanya semata-mata untuk membuka gerai dan mendapat sedikit wang ringgit.

Kepialu atau demam tifoid (Typhoid fever) ialah sakit demam yang disebabkan oleh sejenis bakteria - Salmonella Typhi. Biasanya anda akan dapat demam ini bila anda mengambil makanan atau minuman yang dikendalikan oleh orang yang membawa kuman S. Typhi atau mungkin juga bahan makanan atau minuman itu telah tercemar oleh bakteria S. Typhi. Bakteria itu selalunya terdapat di dalam air yang digunakan untuk minuman atau membasuh pinggan mangkok. 

Simptom Penyakit

Pesakit yang mendapat demam tifoid biasanya mengalami demam sehingga mencapai suhu setinggi 103° hingga 104° F (39° - 40° C). Mereka mungkin merasa lemah atau sakit perut, sakit kepala, ataupun hilang selera. Dalam sesetengah kes, pesakit mendapat ruam bertompok-tompok berwarna ros. Doktor dapat mengenalpasti demam itu jenis tifoid apabila mereka mengambil sampel tinja atau darah bagi mempastikan kehadiran S. Typhi.

Rawatan Homeopati

Di antara penawar yang boleh diberikan dalam rawatan homeopati termasuk:

Arnica. [Arn]
Arnica boleh digunakan bagi merawat penyakit ini dan terdapat beberapa simptomnya yang seakan penawar Baptisia and Rhus. Ia mungkin boleh diberikan di peringkat awal seperti Baptisia. Diberikan bila pesakit sudah tidak sedar, tidak menghiraukan sekelilingnya, pesakit tidak tahu bahawa dia sakit, dan kurang mengambil berat; mereka tertidur ketika menjawab soalan-soalan; kepala panas tapi tubuhnya sejuk, sementara semua anggota badan rasa lenguh memar; pesakit mungkin nampak bergolek-golek di atas katil mencari tempat baring yang lembut; tinja dan urinnya terkeluar tiba-tiba; ekimosis dan lepuhan; Bila dia tidak sedar, rahang bawahnya terjatuh.

Arsenicum. [Ars]
Pesakit pucat dan mengalami kelemahan yang teruk. Ada tanda-tanda gelisah dan bimbang. Ia mungkin pitam dan lemah, letih serta mengalami perpeluhan sejuk dan meracau; Cirit-birit dengan najis berwarna kegelapan, busuk. Demam dengan simptom dahagakan air yang sedikit. Simptom pesakit melarat selepas tengah malam. Lidahnya sangat merah dan membantu mengesahkan remedi Arsenicum.

Bryonia. [Bry]
Ini merupakan satu dari penawar tifoid yang baik dalam banyak kes. Simptom yang jelas ialah rasa sakit seluruh tubuh, rasa letih, berkuat sikitpun memenatkan. Pesakit takut untuk bergerak. Sakit kepalanya juga melarat bila bergerak. Mukanya mula merah bila hampir malam. Mungkin kepala rasa penuh di sebelah pagi, serta diikuti dengan pendarahan hidung Tidur terganggu dan pesakit mimpikan bisnes.  Dia mungkin meracau, merasa dirinya jauh dari rumah dan ingin balik. Terdapat banyak simptom Bryonia perlu diteliti kerana kes-kes individu mungkin berbeza simptomnya, Sedangkan Bryonia boleh menjadi remedi yang baik dalam banyak kes.

Selain daripada remedi di atas, beberapa remedi lain wajar juga dirujuk. Antaranya ialah: Baptisia, Cinchona, Carbo vegetabilis, Lachesis, Kali phosphoricum, Muriatic acid, dan Rhus toxicodendron,

 

 

Rujukan

Utusan Malaysia. Seorang lagi meninggal, kepialu di Kelantan semakin serius

Utusan Malaysia. Pengotor punca wabak kepialu - Nik Aziz.

Utusan Malaysia. Padah akibat budaya pengotor.

Demam kepialu. http://ms.wikipedia.org/wiki/Demam_kepialu

TYPHOID FEVER. Homeopathic First Aid,
Therapeutics & Prognosis. http://www.hpathy.com/diseases/typhoid1.asp

 

 

Demam kepialu atau Demam paratifoid dikenali sebagai 'Typhoid Fever dalam bahasa Inggeris merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakterium yang dikenali sebagai Salmonella typhi. Demam kepialu biasa terdapat di seluruh dunia, dan hanya boleh di bawa dalam saluran usus dan darah manusia. Demam kepialu merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan bakteria dari orang yang dijangkiti, atau dari sisi kumbahan yang mengandungi bakteria.

Selepas membiak di dalam badan pesakit, simptom termasuk demam tinggi 103° to 104°F (39° to 40°C). Lemah, sakit kepala, hilang selera makan, dan sakit perut adalah simptom biasa. Simptom demam kepialu mungkin termasuk radang leper,tompok bewarna merah bunga ros. Demam kepialu mampu membawa maut. Simptom akut kebocoran usus kecil ( intestinal perforation ), berkhyal ( delusions' ), dan menjadi keliru juga boleh berlaku. Antibiotik, seperti ampicillin, trimethoprim-sulfamethoxazole, dan ciprofloxacin biasa digunakan bagi merawat demam kepialu.

Seseorang itu mampu menjadi pembawa penyakit demam kepialu, tanpa menunjukkan sebarang simptom, tetapi mampu menjangkiti orang lain. Pada tahun 1907, Mary Mallon ("Typhoid Mary") menjadi pembawa Amerika Syarikat yang pertama dijejak dan dikenal pasti. Menurut Pusak Kawalan Penyakit ( "Centers for Disease Control" ) dianggarkan 1 sehingga 20 orang yang dijangkiti demam kepialu masih membawa penyakit demam kepiala selepas sembuh.

Demam kepialu mampu bertahan selama tiga minggu sehingga satu bulan sekiranya tidak di rawat. Kematian berlaku dalam setiap 1 dalam 9 dan 1 dalam 3 kes.

Demam kepialu telah meragut nyawa beberapa orang terkenal, termasuk Rudyard Kipling, Franz Schubert, Wilbur Wright, dan ( prince consort ) Albert of Saxe-Coburg-Gotha British.

 

Lihat juga

Seorang lagi meninggal, kepialu di Kelantan semakin serius

Oleh: NIZAM YATIM

KOTA BHARU 21 April - Demam kepialu yang melanda Kelantan semakin serius apabila jumlah kes meningkat kepada 202 berbanding 164 sebelum ini dengan satu kematian hari ini, menjadikan tiga orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ismail Merican ketika mengesahkan kematian mangsa terbaru itu, berkata, ia melibatkan wanita berusia 18 tahun yang dirawat di Hospital Kota Bharu (HKB).

Sebelum ini, dua kematian melibatkan dua pelajar iaitu Siti Mardiah Nik Yahya, 23, dari Kampung Sireh di sini yang menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dan pelajar Politeknik Kota Bharu, Hasmawati Abdullah, 20, dari Kampung Chepa, Sering.

Siti Mardiah meninggal dunia pada 15 April lalu, manakala Hasmawati mati Isnin lalu selepas mereka masing-masing dirawat di HKB dan Hospital Universitiūen Sains Malaysia (HUSM).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, 91 daripada 202 kes itu sudah disahkan akibat jangkitan kuman Salmonella typhii yang tersebar menerusi makanan dan minuman, manakala 111 lagi hanya suspek.

Beliau berkata, terdapat dua lagi kes kematian baru semalam, tetapi ia disahkan bukan berpunca dari demam kepialu, sebaliknya disebabkan penyakit berkaitan hati.

``Mangsa pertama seorang wanita berusia 53 tahun yang mati akibat penyakit acute pancreatitis dan mangsa kedua seorang lelaki berusia 60 tahun meninggal dunia kerana penyakit hepatic encephalopathy (radang hati),'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek mengesahkan sebahagian besar mereka yang menghidapi penyakit itu mendakwa menikmati makanan di sebuah ekspo di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.

Menurut Ahmad Razin, pada masa ini seramai 100 orang sedang dirawat di HKB, Hospital Tumpat (29), Hospital Pasir Mas (10), Hospital Pasir Puteh (22), Hospital Machang (21) dan selebihnya di HUSM.

Katanya, peningkatan kes tersebut sudah dijangka kerana ekoran hebahan melalui media massa, ramai penduduk tampil untuk mendapat rawatan.

Beliau berkata, dalam operasi sehingga tengah malam tadi pihaknya menutup 78 premis menjual makanan di seluruh Kelantan dan memeriksa 405 pengendali makanan bagi mengesan kuman penyakit terbabit.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Kelantan yang dibuka sehingga pukul 6 petang setiap hari menerusi talian 09-7446300.

Pengotor punca wabak kepialu - Nik Aziz

KOTA BHARU 20 April - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus menyalahkan sikap pengotor rakyat Kelantan sehingga menyebabkan wabak demam kepialu menyerang negeri ini sejak dua minggu lalu.

Katanya, beliau dukacita kerana tabiat itu masih berterusan berpunca daripada sikap rakyat Kelantan khususnya generasi tua yang masih enggan mengakui hakikat bahawa mereka adalah pengotor walaupun beliau sendiri pernah membuat teguran.

``Asalnya rakyat Kelantan sebagaimana saya sebut dulu, dia buat rumah tinggi, bawah rumah sendiri pelihara lembu, kambing dan ayam untuk memastikan ia tidak dicuri dan akhirnya sudah jadi kebiasaan.

``Bangun pagi celik mata tengok tahi lembu dan muka tangga (lihat) tahi kambing, sudah jadi budaya, susah hendak kikis sikap ini walaupun sekarang sudah tidak ada pelihara lembu bawah rumah kerana terbawa-bawa perangai lama,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas wabak demam kepialu yang menyerang Kelantan sejak dua minggu lalu dengan mencatatkan 171 kes di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Tumpat termasuk dua kematian.

Kematian itu membabitkan pelajar Universiti Tun Abdul Razak, Siti Mardiah Nik Yahya, 23, dan pelajar Politeknik Kota Bharu, Hasmawati Mohamad, 20.

Utusan Malaysia pada 20 Februari lalu menyiarkan pada muka depan teguran Nik Abdul Aziz mengenai sikap rakyat Kelantan terutamanya penduduk kampung yang masih mengamalkan budaya pengotor dan gemar membuang sampah sesuka hati.

Padah akibat budaya pengotor

Oleh Zulkiflee Bakar (WARTAWAN UTUSAN)


Akhirnya apa yang dibimbangi berhubung sikap pengotor sesetengah rakyat Kelantan terutama peniaga di gerai-gerai makanan seolah-olah sampai kemuncaknya apabila dua pelajar mati dan 127 lagi disahkan menghidap demam kepialu selepas mengunjungi sebuah ekspo di Kota Bharu .

Mungkin punca utama kejadian ini boleh dikaitkan dengan penyediaan makanan di gerai-gerai di ekspo tersebut memandangkan pesakit mendakwa mereka pernah menikmati makanan di situ sebelum ditimpa penyakit berkenaan.

Namun kita tidak boleh meminggirkan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 21 Februari lalu yang menyifatkan rakyat Kelantan masih mengamalkan budaya pengotor dan gemar membuang sampah sesuka hati.

Ini kerana akibat budaya pengotorlah ia telah memungkinkan penyakit berbahaya seperti kepialu ini.

Jika sesiapa yang mengunjungi gerai-gerai di sekitar Kelantan, mereka akan mendapati soal kebersihan seolah-olah tidak dipedulikan oleh sesetengah peniaga.

Makanan terdedah, sisa makanan dibiarkan bertaburan di lantai dan longkang berhampiran gerai tersumbat menjadi pandangan biasa di sebahagian gerai makanan di bandar ini.

Ia belum lagi mengambil kira sikap sesetengah peniaga yang menyediakan makanan semalam untuk hidangan kepada pelanggan bagi hari ini.

Justeru dalam soal ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) harus bersikap lebih tegas dalam usaha memastikan peniaga-peniaga makanan menjaga kebersihan.

Di Kota Bharu, pembukaan gerai-gerai makanan atau kegiatan menjual makanan secara kecil-kecilan seolah-olah tidak begitu mendapat perhatian serius MPKB.

Akibatnya, wujudlah gerai-gerai yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan aspek kebersihan dan pihak yang berkenaan hanya akan bertindak apabila wujud isu seperti demam kepialu ini.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila budaya pengotor seperti membuang sampah merata-rata masih lagi menjadi amalan kepada rakyat Kelantan.

Sikap membuang sampah merata-rata ini tidak boleh dianggap perkara kecil kerana ia turut menyumbangkan kepada merebaknya penyakit, sebab itulah Nik Abdul Aziz dalam kenyataan terbarunya, semalam menegur sikap orang ramai yang suka membuang plastik minuman sesuka hati.

Jika sebahagian besar rakyat Kelantan menitik beratkan soal kebersihan mereka sudah pastilah akan memulau mana-mana gerai di negeri itu yang tidak menjaga kebersihan.

Tetapi oleh kerana mereka sendiri mengamalkan budaya pengotor, bagaimana mereka hendak memulau gerai-gerai seumpama itu, akhirnya Kelantan setahun demi setahun terus diancam dengan pelbagai penyakit berbahaya akibat budaya tersebut.

 

 
 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005

Saranan dan komentar dialu-alukan: Dr HBI