Malaysia Homoeopathy Cyber Library

ARTIKEL KANDUNGAN

Buku Terbaru - Terbitan 2004

Esei-esei Milenium Baru  Homeopati

Penyelenggara: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

Sumbangan hebat Konsultan HBI. Ingin beri pandangan, sila hantar kepada Dr. HBI

© HBI Health & Homeopathy Centre.

(Dapatkan segera....Hubungi: 013-9802991)

PENDAHULUAN

 

 Menghasilkan karya homeopati sama ada berupa artikel yang bersifat akademik maupun buku-buku bukanlah suatu perkara yang mudah.  Ia memerlukan dua kemahiran pada diri individu. Pertama, beliau mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai homeopati di samping beramal dengan-nya, dan kedua, beliau harus mahir mengguna dan menyusun bahasa serta tepat dalam pemilihan istilah.

            Tanpa pengetahuan dalam ilmu perubatan homeopati, seseorang itu tidak mungkin dapat menulis karya-karya homeopati. Ini adalah jelas sekali, walaupun orang itu terlibat dalam bidang perubatan seperti perubatan alopati. Kalau diusahakan juga, dia pasti menemui kegagalan atau hasil kerjanya penuh dengan kesilapan yang tidak mewajarkan karyanya menjadi sumber rujukan bagi peminat homeopati, apalagi untuk digunapakai oleh pelajar atau pengamal homeopati.

            Demikian juga di kalangan mereka yang berijazah atau mengamal homeopati, mereka tidak akan dapat mencipta suatu karya yang baik dan standard sekiranya mereka tidak memiliki kemahiran dalam bidang penulisan. Walaupun karya itu boleh diterbitkan, tetapi ianya tidak mudah difahami dan banyak maklumatnya tidak kesampaian kepada pembaca. Dalam ertikata lain tanpa salah satu daripada kemahiran itu, karya homeopati akan menjadi tidak berkualiti. Ia tidak dapat diterima sebagai sebuah karya ilmiah atau mempunyai nilai akademik.

            Oleh kerana karya ilmiah menghendaki rujukan yang banyak, maka kemampuan menguasai bahasa Inggeris juga menjadi suatu prakeperluan. Sebagaimana bahasa itu penting bagi rujukan pengamal terhadap repertori dan materia medika dalam amalan praktik sebagai seorang pengamal, begitulah juga mustahaknya ia sebagai sumber rujukan dalam penulisan buku-buku homeopati.

Isu mengenai sumber rujukan memang merupakan salah satu masalah kepada pengamal dan mereka yang berminat menulis mengenai homeopati. Dan ia akan berterusan justeru dua sebab utama. Pertamanya, kerana sembilan puluh sembilan peratus sumber rujukan adalah dalam bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Kedua, sehingga kini kita masih amat kekurangan karya-karya homeopati dalam bahasa Melayu baik yang asli ataupun terjemahan.

            Apa yang dibangkitkan di sini sangat difahami oleh para pengamal, pelajar, pengkaji dan peminat homeopati di Malaysia. Tetapi tanggungjawab untuk memenuhi tugas membangunkan sumber perpustakaan dan rujukan ini rupanya begitu berat untuk dipikul oleh persatuan. Meskipun bilangan persatuan bertambah, namun penerbitan dan penghasilan karya ilmiah homeopati terlalu kecil.

Petikan dari buku Esei-esei Milenium Baru

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005