Military Time
12 Hour Time   HOME

   MALAYSIA HOMOEOPATHY CYBER LIBRARY

CAMPAK - Info Sihat

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005.

 

 

Ruam campak

Vaksin_campak

Ruam di muka

DEMAM virus beruam yang disebut campak dikenali juga sebagai morbili, rubeola atau measles. Dahulu sebelum vaksin campak belum ditemui, ia dikatakan menjadi ancaman utama kepada manusia kerana komplikasinya yang boleh mengakibatkan kematian.

Selepas diperoleh vaksin dan kempen imunisasi campak dilaksanakan, berlaku penurunan kes-kes campak yang dilaporkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Bagaimanapun, jumlah kematian akibat campak masih tinggi di dunia khususnya di negara-negara sedang membangun.

Campak merupakan sejenis penyakit berjangkit yang ditularkan oleh virus campak morbillivirus, dari keluarga paramyxoviridae. Penyakit campak boleh merebak melalui titisan air liur pesakit,  semasa pesakit itu batuk, bersin ataupun bercakap. Adalah dilaporkan bahawa campak mempunyai peluang jangkitan yang sangat tinggi sehingga mencapai lebih 90 peratus sekiranya seseorang itu belum pernah mendapat imunisasi campak.

Di antara gejala-gejala yang boleh timbul dari penyakit ini umumnya dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:

* Tahap pengeraman sekitar 10 hingga 14 hari selepas dijangkiti di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala

* Tahap prodromal berlangsung selama lebih kurang lima hari. Di waktu ini, kanak-kanak mula menunjukkan gejala seperti demam selesema, hidung berair, batuk ringan, mata merah berair (konjunktivitis), fotofobia (mata mudah silau kepada cahaya) dan kesukaran menelan. Tompokan kecil berwarna putih di dalam mulut (koplik's spot - sempena seorang pakar pediatrik di Amerika Syarikat, Henry Koplik yang pertama kali mengesan tompokan ini) berupa garam yang ditaburkan di atas permaidani merah, lazimnya dikesan selepas dua hingga tiga hari pesakit mendapat batuk selesema.

* Apabila tahap pembentukan ruam yang berasa sedikit miang bermula, demam menjadi bertambah tinggi sehingga suhu mencapai lebih 40° C. Batuk juga menjadi semakin parah. Sebahagian ruam muncul dalam bentuk perubahan warna (makula), sementara sebahagian lagi timbul pada permukaan kulit (papula).

Tabiat ruam campak bermula dari belakang telinga, leher, muka, dada, merebak ke seluruh badan, tangan, punggung, perut dan lengan sebelum menjalar ke bahagian kaki. Keseluruhan proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari, kemudiannya beransur-ansur hilang manakala suhu badan mulai menurun, demam kebah dan koplik's spot turut lenyap.

* Akhir sekali ialah peringkat atau tahap penyembuhan. Di saat ini, ruam hampir hilang, lapisan kulit mengelupas manakala konjunktivitis juga semakin pulih. Mungkin simptom batuk-batuk mengambil sedikit masa untuk pulih.

Berkaitan proses kesembuhan ini, kenyataan orang tua-tua bahawa sekiranya ruam sampai ke kaki, tandanya campak semakin sembuh ada iras persamaan dengan kaedah kesembuhan Hering. Mengikut Dr. Hering di dalam Hering's law of cure, salah satu arah kesembuhan yang akan berlaku ialah dari bahagian atas ke bahagian bawah atau kaki. Bagaimanapun, campak hanyalah satu contoh daripada bukti yang menunjukkan arah kesembuhan yang disebut oleh Dr. Hering itu benar.

Seandainya penyakit campak ini tidak ditangani dengan baik ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan yang berbahaya dan boleh membawa maut. Satu masalah lagi ialah virus campak boleh ditularkan daripada seseorang kepada yang lain semasa pesakit masih berada pada tahap pengeraman yang tidak menunjukkan sebarang tanda.

Walaupun jarang berlaku, campak boleh menimbulkan komplikasi lain. Komplikasi yang paling biasa mengiringi campak ialah pneumonia, keratitis (inflamasi selaput mata - yang jika tidak dirawat boleh menjejaskan daya penglihatan), otitis media (jangkitan telinga - yang boleh menyebabkan pekak), dan ensefalitis (radang otak - yang menyebabkan sawan).

Selain itu, kekurangan zat makanan yang berkait rapat dengan daya tahan badan yang lemah serta masalah immunoefficiency yang disebabkan oleh rawatan kanser atau HIV, boleh memburukkan lagi komplikasi campak. Bahkan dinyatakan oleh pakar perubatan moden bahawa ada juga komplikasi lain yang boleh menyebabkan perubahan personaliti, serangan mengejut, kerosakan otak kekal dan pesakit koma selepas beberapa tahun dijangkiti. Ia disebut sebagai subacute sclerosing pan-encephalitis.

Justeru tiada  rawatan untuk penyakit-penyakit bawaan virus termasuklah campak sehingga ke hari ini, imunisasi dipandang sangat penting dalam perubatan moden. Ia digolongkan ke dalam kategori penyakit yang dapat dicegah dan pencegahan dapat dilakukan dengan berkesan melalui suntikan vaksin. Dalam proses imunisasi, dos pertama biasanya diberikan apabila kanak-kanak berusia setahun manakala dos tambahan diberikan semasa mereka berada di tahun satu sekolah rendah.

Apabila seseorang itu mendapat campak, rawatan biasa yang selalu dianjurkan ialah dengan menggalakkan pesakit minum air bagi mengelakkan dehidrasi akibat panas badan, memberi paracetamol bagi melegakan demam, antibiotik sekiranya terdapat kuman di dalam paru-paru dan vitamin A bagi mengurangkan komplikasi.

Di dalam rawatan homeopati, penawar-penawar seperti Aconite, Belladonna, Bryonia, Euphrasia, Gelsemium, Kali bich., Pulsatilla, Rhus tox dan lain-lain banyak digunakan. Pemilihan penawar yang sesuai adalah bergantung kepada simptom-simptom semasa.

Umpamanya Aconite diberikan apabila pesakit mengalami demam kuat serta kulit panas dan kering, pesakit juga sangat dahaga, takut dan panik.Jika muka pesakit merah bersama demam, kulit panas, mata membeliak, sensitif dengan cahaya dan sakit kepala berdenyut-denyut, berikan Bell. Pesakit Bell juga mungkin mengalami mimpi-mimpi ngeri semasa demam.

Ada pesakit menunjukkan kedua mata yang membengkak di samping sensitif dengan cahaya. Air matanya cukup mengganggu muka dan hidungnya mengeluarkan cecair hingus yang jernih. Sakit kepala, demam, seram sejuk yang melarat dengan kehangatan dan mungkin pesakit gemar berada di bilik yang gelap. Jika hadir simptom serupa ini, eloklah diberikan Euphrasia.

Tidak sedikit pula pesakit yang mudah rasa mengantuk bila mendapat campak. Ia menjadi lesu, seram sejuk, ruam-ruam yang gatal, panas dan kering. Sakit kepala pula bermula di bahagian belakang dan leher. Keadaan ini mungkin wajar diberikan Gelsemium.

Itu adalah beberapa contoh simptom yang memandu kepada penawar yang tepat. Pesakit perlu menerangkan semua perasaan dan aduan kepada pengamal homeopati serta tidak membiarkan mereka merawat semata-mata berasaskan simptom fizikal. Tindakan ini akan banyak membantu penemuan penawar similimum. 

 

 

Rujukan

SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN  2005. Campak cegah dengan imunisasi. Utusan Malaysia 30 Jan. (Kesihatan0).

Homeopathic Remedies for Measles. http://www.kroger.com/HN_Homeo/Measles_hm.htm

 

 

 
 
 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005

Rujuk kepada web Takwim Utusan Malaysia.  Saranan dan komentar dialu-alukan: Dr HBI