|
MENOPAUS DAN HOMEOPATHY
Oleh: Abu Naim Kassan, BHMS (M'sia)
MENOPAUS berasal daripada perkataan meno dan
pause dalam bahasa Greek yang bermaksud bulan (month)
dan berhenti (stop). Mudahnya, menopause ialah
zaman tamatnya haid bagi wanita. Menopause bukanlah
suatu penyakit, tetapi suatu fenomena semula jadi yang
dialami oleh wanita normal ketika berusia dalam
lingkungan 50 tahun. Ketika ini wanita mengalami
perubahan fisiologi dengan kemerosotan fungsi ovari
dan hormon pituitari terpaksa berusaha untuk
meningkatkan keupayaan peranannya. Kebanyakan wanita
yang mula mengalami menopaus akan berasa panas badan,
ketidakselesaan fizikal dan emosi yang tidak stabil.
Satu kemungkinan risiko yang besar sewaktu menopaus
ialah berlakunya rapuh tulang (osteoporosis) dan
sakit jantung. Umumnya keseluruhan proses dan fungsi
organ telah mencapai penghujung tahap. Pada waktu ini
kelenjar adrenal tidak dapat membantu sepenuhnya
fungsi ovari. Malah organ hati juga terpaksa bekerja
keras dalam proses metabolisme hormon, dan hal ini
biasanya menyebabkan hati memerlukan rawatan/pemulihan.
Tidak semua wanita mengalami gejala-gejala
atau kesan-kesan daripada ketibaannya zaman menopause.
Akan tetapi biasanya wanita akan mengalami tanda-tanda
awal menopause seperti berikut:
+ Badan berasa panas dan
berpeluh, kadang kala rasa panas meruap ke
muka dan dada.
+ Sakit-sakit badan.
+ Sakit-sakit sendi.
+ Sakit kepala, kadang kala menjadi migrain.
+ Imsonia (tidak dapat tidur).
+ Sukar mengawal kencing, kerap kencing atau
sakit bahagian pundi kencing.
+ Kulit menjadi kendur dan buah dada lembik (hilang
kekenyalan).
Waktu inilah wanita mengalami perubahan
fizikal, psikologikal (mental), dan perasaan (sikap,
semangat, emosi) yang amat besar dan jelas. Menurut
Dr. Asa Hershoff (2000) perubahan fisiologi semula
jadi ini adalah tempoh yang malang bagi wanita kini
kerana kebanyakan mereka menjadi mangsa industri
“perubatan dan rawatan” konvensional yang hanya
mementingkan keuntungan. Dalam pada itu , terdapat
banyak buku, sumber (rujukan, kajian dan penemuan),
dan pengamal-pengamal perubatan yang dapat
dimanfaatkan oleh wanita bagi menghadapi era menopaus.
Menurut beliau lagi, penggunaan kaedah dan bahan
rawatan semula jadi, terutamanya dari segi pemakanan,
bahan herba, estrogen semula jadi (estroil) dan
progestron semula jadi (natural progestrone),
dan khususnya perubatan homeopathy akan
membantu wanita melalui peringkat transisi ini dalam
keadaan semula jadi (natural), selesa dan
selamat.
Terdapat
banyak remedi (penawar) dalam perubatan homeopathy
yang dapat membantu wanita manopaus, terutamanya
mereka yang mengalami gejala panas atau bahang badan,
berdebar-debar, pendarahan, vaginitis, kemurungan/kesedihan
(depression), dan kemungkinan risiko
osteoporosis. Remedi yang sesuai amat diperlukan
kerana gejala-gejala tersebut adalah disebabkan oleh
hormon yang tidak seimbangan. Remedi-remedi
homeopathy ini akan bertindak secara semula jadi
terhadap gejala yang berkaitan dengan cara yang unik
dan tersendiri.
Untuk gejala-gejala
seperti panas badan, muka kemerahan, sakit kepala
berdenyut, terdapat perubahan pada anak mata,
misalnya anak mata membesar atau terbeliak, berpeluh,
perasaan yang tidak menentu (marah, rungsing, baran)
dan pendarahan rahim, atau hidung berdarah, remedi
yang sesuai ialah Belladonna.
Jika wanita menopaus
mengalami gejala darah haid yang banyak, kurang
menyenangkan, darah kehitaman; perubahan emosi,
misalnya cepat marah diikuti oleh pendarahan,
vaginitis dan sakit kepala, remedi yang sesuai ialah
Sanguinaria.
Jika mereka mengalami
gejala murung, sedih, gelisah, panas, atritis dan
reumatik, maka remedi yang sesuai ialah Cimicifuga
racemosa. Remedi ini juga sesuai bagi mereka yang
mengadu sakit belakang, pinggang, tengkuk,
kebas-kebas atau letih (lemah). Malah ada kalanya
pesakit mengadu rasa panas di bahagian atas kepala,
sakit di di bahagian ovari, berdebar-debar dan imsonia.
Lachesis
ialah remedi yang
sering digunakan untuk mereka yang ada gejala hemoroid,
hidung berdarah dan darah terasa naik ke kepala. Ada
juga mereka yang mengalami penurunan daya ingatan.
Sepia
pula sesuai bagi mereka
yang mengalami gejala panas diikuti dengan keletihan,
lemah dan banyak berpeluh; berasa tidak selesa pada
bahagian uterus; pendarahan, vaginitis dan bau air
kencing yang keras; perut lemah; rambut gugur; suka
mengasingkan diri; dan tidak peduli akan orang yang
disayang.
Sulphur
boleh diberikan kepada
mereka yang mengalami gejala panas badan diikuti oleh
panas kepala, tangan, dan kaki; buah dada membengkak;
insomnia; kulit dan kulit kepala kering dan gatal;
wanita intelek, bercita-cita tinggi, tetapi
kehidupannya tidak teratur/kemas dan mementingkan diri.
Perlu diingat; sulphur ialah remedi
yang boleh mendatangkan kesan tindak balas yang
mungkin di luar jangka seperti bengkak, gatal, ruam
dan sebagainya. Oleh itu pemberian sulphur
hendaklah berhati-hati, sebaik-baiknya gunakan potensi
yang rendah.
Kesemua remedi yang
disebutkan boleh diambil secara tunggal (single
dose), selang-seli (alternate) atau bersiri
(followed by) mengikut pertalian penawar yang
serasi. Misalnya Belladonna diikuti oleh
Sepia; Sanguinaria diikuti atau selang-seli
dengan Sepia; dan Lachesis diikuti oleh
Sulphur.
Terbit: 18 Mei, 2003 |