Oleh :
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
[Di
dalam sebuah artikel mengenai Khasiat Lada Hitam, sdr Ramli Abdul
Karim telah menulis sebagaimana berikut: DI antara rempah ratus, LADA
HITAM ialah yang paling popular dan digunakan dengan meluas. - Ia
dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia sama ada sebagai ramuan
masakan, perisa dan sos. - Lada hitam atau nama saintifiknya Piper
nigrum L. dari keluarga Piperaceae dikenali dengan nama yang hampir
serupa di kebanyakan negara Barat iaitu berdasarkan sebutan PEPPER.
Orang Belanda
memanggilnya peber manakala di Perancis (poivre), Jerman (pfeffer),
Greek (piperi), Itali (pepe), Norway (pepper), Romania (piper), Sweden
(peppar) dan Turki (biber). -Dalam bahasa Thai, lada hitam dipanggil
prik thai, Tamil (milagoo), Vietnam (hat-tieu), Punjabi (kali marich),
Jepun (koshou), Hindi (gol mirch) dan Laos (mak phik noi).
Tumbuhan itu dikatakan
berasal dari Malabar di pantai barat India Selatan yang hari ini
terletak dalam negeri Kerala. - Di Asia Tenggara, lada hitam dikatakan
telah tumbuh di Malaysia dan Indonesia sejak 2,000 tahun lalu. -
Selain lada hitam Malabar dan Tellicherry dari India serta Belem dari
Brazil, lada hitam Sarawak ialah antara yang paling bermutu dan cukup
terkenal di serata dunia. - Walaupun ia lebih meluas penggunaannya
dalam masakan dan makanan, namun lada hitam juga mempunyai khasiat dan
kegunaan dalam perubatan berasaskan herba.
Pegawai Laboratori
Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM),
Tajuddin Abdul Manap memberitahu, buah lada hitam boleh mengubati
pening kepala, cirit-birit dan melawaskan kencing manakala daunnya
pula merawat demam. - Menurutnya, buah lada hitam muda yang telah
dibersihkan perlu direbus terlebih dahulu sebelum airnya diminum.
“Jumlah buah muda yang
digunakan bergantung kepada paras air dengan perbandingan satu atau
dua sudu bagi setiap satu cawan air.”
“Selepas masak, air
rebusan perlu diminum perlahan-lahan dan amalan ini tidak perlu
diteruskan jika sakit kencing tidak lawas, cirit-birit dan pening
kepala telah sembuh,” ujarnya.
Tajuddin menambah, bagi
mengubati demam, daun pokok lada hitam perlu ditumbuk hancur dan
kemudian ditampalkan atau diikat pada dahi. - Sementara itu, kata
beliau, untuk menyegarkan dan memanaskan badan ibu-ibu lepas bersalin,
sedikit buah muda yang ditumbuk dengan ikan bilis dimakan bersama-sama
nasi yang masih panas.]
Artikel
mengenai khasiat lada hitam menarik perhatian saya untuk memberi
sedikit maklumat tambahan. Ini adalah kerana ia turut merupakan bahan
yang telah disediakan sebagai penawar homeopati sejak homeopati
diperkenalkan pada awal abad ke sembilan belas. Bagaimanapun, ia tidak
merupakan remedi utama dalam senarai remedi-remedi homeopati yang
biasa dikenali dan diajarkan kepada penuntut-penuntut homeopati.
Walaupun terdapat beberapa perbezaan
dari segi khasiat dan penggunaan secara herba berbanding homeopati, di
sini saya ingin berkongsi idea tentang simptom-simptom yang mungkin
boleh mencetuskan idea ke arah pengumpulan maklumat yang lebih lengkap
mengenai khasiat perubatan bahan rempah ratus ini.
Satu perkara yang jelas ialah kegunaan
sesuatu bahan dalam perubatan herba lebih banyak berasaskan pengalaman.
Akhir-akhir ini, apabila ia dibawa masuk ke makmal, banyaklah
bukti-bukti saintifik dikemukakan bagi menyokong penggunaannya.
Demikianlah halnya dengan lada hitam.
Nama saintifik lada hitam
iaitu Piper nigrum L.,
sebenarnya juga merupakan nama remedi homeopati yang selalunya
dikekalkan dengan nama asalnya. Sesuai dengan sebutan “lada hitam”, ia
juga lebih mudah dikenali atau dicamkan apabila disebut “black
pepper”. Jenama ini bernilai komersil baik di peringkat
pasar malam maupun pasar raya.
Salah satu khasiat yang disebutkan di dalam Utusan Malaysia (9 April
2002) terdahulu ialah kemampuannya mengubati pening kepala. Pernyataan
yang umum itu memang biasa dengan tabiat merawat yang
mengidentifikasikan ubat dengan jenis sakit atau penyakit. Tetapi hal
ini sebenarnya diberikan dengan agak terperinci di dalam materia
medika homeopati.
Mengikut Dr. W. Boericke,
simptom sakit kepala Piper nigrum
ialah sakit kepala yang berat sehingga seolah-olah kedua pelipis
ditekan-tekan. Terdapat juga rasa tekanan pada tulang hidung dan
tulang muka. Kedua mata radang dan membakar. Sakit bola mata pula
bagaikan hendak meletup.
Sebahagian simptom yang
dinyatakan di atas agak terperinci berbanding setakat penyataan sakit
kepala. Ini adalah justeru para penguji remedi homeopati mencatat
dengan halusi dan terperinci setiap simptom yang dirasakan ketika
menguji satu-satu bahan.
Selain daripada sakit kepala,
terdapat beberapa simptom lain yang mungkin berhubungan dengan
kegunaannya dalam perubatan herba, Antara catatan yang boleh dipetik
daripada materia medika Boericke ialah kegunaan
Piper nigrum
dalam kes-kes gastrik, flatulens, kolik dan krem. Ia juga boleh
diberikan bagi sesetengah kes dispnea dan batuk yang mempunyai rasa
sakit di dada.
Tentang kegunaannya sebagai ubat melawaskan kencing, keterangan
simptom dalam perubatan homeopati yang boleh membantu menunjukkan
kesesuaiannya ialah apabila terdapat simptom-simptom berikut: rasa
membakar di dalam pundi dan saluran kencing, sukar untuk kencing,
ataupun bila pundi kencing rasa penuh dan membengkak. Pesakit mungkin
timbul rasa hendak kencing tetapi kerapkali kencing tidak keluar.
Saya bersetuju bahawa lada
hitam boleh menyegarkan dan memanaskan badan. Bukan sahaja untuk
ibu-ibu lepas bersalin, malahan bermanfaat untuk orang biasa juga.
Tetapi setakat ini Piper nigrum
bukanlah penawar yang disyurkan untuk tujuan itu dalam rawatan
homeopati. Demikian juga ia jarang dirujuk sebagai ubat demam dalam
amalan homeopati. Hanya Dr. J.H. Clarke menyarankan kegunaannya
apabila demam disertai kepala rasa berat, pening dan pesakit berpeluh
sejuk.
TAJUK