Oleh:
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Salah
satu bidang ilmu di mana institusi pendidikan di negara kita alpa dan abai
ialah bidang perubatan alternatif. Di dunia Barat ilmu ini diberi tempat yang
bersesuaian serta terdapat institusi pendidikan yang membuka fakulti bagi
tujuan memperkembangkan ilmu dan kajian berkaitan dengan ubat-ubatan yang
digunakan di dalam sistem rawatan alternatif tersebut. Kini sebutan perubatan
alternatif juga lebih cenderung disebut sebagai sistem perubatan komplementari
agar ia mendapat reaksi positif masyarakat di samping membantu menutupi
ruang-ruang kegagalan dalam pelaksanaan perubatan konvensional.
Di beberapa negara Timur
seperti India dan China, ilmu perubatan tradisional terus dibangunkan dengan
lebih giat. Bukan ilmu perubatan yang berasal daripada masyarakat setempat
sahaja yang dimajukan, tetapi turut mendapat tempat ialah ilmu-ilmu perubatan
asing yang boleh menyumbangkan kepada kesihatan sejagat. Kerana itu di samping
Ayurveda dan akupunktur, beberapa sistem lain khususnya homeopati
diperkembangkan oleh individu, institusi dan pihak kerajaan.
Sehingga kini India dan
Pakistan menjadi tempat biaknya perubatan homeopati dengan wujudnya
kilang-kilang ubat, farmasi-farmasi, klinik-klinik, hospital-hospital dan
institusi-institusi pendidikan (universiti & kolej) paling banyak berbanding
dengan negara-negara lain. Sungguhpun homeopati berasal daripada German dan
perkembangan ketara berlaku di England dan Amerika Syarikat, namun nampaknya
India menjadi tempat paling subur dan paling mendapat tumpuan masyarakat.
Di antara sebab
yang mengizinkan perkembangan ilmu dan amalan perubatan tersebut ialah kerana
kebebasan dan dokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak. Di dalam hal ini,
sudah tentu pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memberi
endorsement terhadap praktik dan perakuannya. Bahkan tokoh besar dan
negarawan India Mohandas K. Ghandi pernah menegaskan, “Homeopati merupakan
kaedah terkini dan bersih dalam merawat pesakit baik dari segi ekonomi maupun
ketiadaan amalan kekasaran. Kerajaan mesti menggalakkan dan menaunginya dalam
negara kita…….”
Pada waktu ini
kementerian kesihatan Malaysia amat terbuka terhadap usaha ke arah memajukan
perubatan alternatif sama ada yang bersifat tradisional atau mempunyai
nilai-nilai saintifik yang tersendiri. Akupunktur dan homeopati telah mendapat
perhatian yang agak serius kerana keduanya mempunyai asas dan sistem ilmu yang
mantap tetapi usaha memartabat dan memajukannya memakan masa terlalu lama.
Dalam suasana
kerajaan yang diwakili kementerian kesihatan dan kementerian penerangan
melakukan sesuatu yang baik bagi tujuan memperkenal dan menghebahkan ilmu
perubatan alternatif kepada masyarakat, institusi pendidikan di Malaysia tidak
melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk memperkembangkan sayapnya.
Institusi pendidikan di Malaysia sekadar meneruskan tumpuannya kepada
melanjutkan tradisi keilmuan lama dan membicarakan mengenai bidang-bidang
sedia ada. Justeru, masyarakat tidak perlu terperanjat sekiranya mereka
mendapati perpustakaan universiti-universiti dan kolej-kolej di Malaysia tidak
mempunyai walau sepuluh buah buku-buku rujukan berkaitan ilmu berkenaan
meskipun buku-buku seperti itu boleh didapati sebanyak ratusan malah mungkin
ribuan buah di institusi-institusi pendidikan di luar negara.
Tiadanya
keprihatinan dan minat institusi pendidikan tempatan ke arah usaha memajukan
ilmu-ilmu ini bukan suatu hal yang pelik. Jika tidak, bagaimana mungkin
institusi-institusi pengajian tinggi yang tegak begitu lama boleh dikalahkan
oleh universiti-universiti yang baru tumbuh dalam perkembangan ilmu teknologi
maklumat (IT)? Tetapi kesan sikap para intelek yang gah dengan tradisi
keilmuannya sahaja tidak membantu ke arah perkembangan ilmu-ilmu secara
menyeluruh dan adil.
Demikianlah halnya
dengan ilmu-ilmu perubatan alternatif. Ia menjadi terpencil dan dipencilkan
dalam arena pendidikan tanah air. Para pelajar yang mengikuti bidang-bidang
tradisional seperti sosiologi, antropologi, sejarah dan sains sosial membuat
kajian di dalam bidang berkenaan hanya sekadar meraba pada peringkat permukaan
dan sekadar memenuhi latihan akademik. Fakulti perubatan tentulah tidak dapat
membantu kerana pertentangan teori dan prinsip, lebih-lebih lagi perubatan
alternatif merupakan saingan sejak berzaman.
Sehingga
berakhirnya alaf kedua Masehi, tugas pengajaran dan pengembangan ilmu
perubatan alternatif berlalu dalam suatu sistem pondok. Ia dilaksanakan oleh
individu-individu, pusat-pusat rawatan dan persatuan-persatuan secara
bersendirian. Sijil-sijil dan diploma umumnya dikeluarkan oleh pihak persatuan
sahaja. Sementara sebahagian sijil dan diploma yang dikeluarkan oleh sebuah
persatuan perubatan mungkin tidak diiktiraf oleh persatuan perubatan yang
lain. Kekacauan ini masih berlaku dan tiada usaha yang cukup keras bagi
menangani masalah ini.
Selain daripada
pihak kementerian kesihatan yang cuba berjinak-jinak dan membantu
menyelesaikan masalah persatuan-persatuan perubatan alternatif yang gagal
berdiri di bawah satu payung itu melalui sesi-sesi pertemuan dan perbincangan,
institusi pendidikan gergasi yang ada tidak pernah membuka mindanya yang
kritis untuk memikirkan tentang dunia ilmu yang menjadi tarikan orang Barat
hari ini. Paling akhir kita mendapat khabar, Institut Pengajian Ilmu-ilmu
Islam menawarkan kursus Diploma Homeopati untuk sesi pengajian tahun 2000.
Suatu kemajuan yang amat bermakna tetapi tidak mencukupi.
Dalam masa yang
sama pelanggan yang sakit tetap ada dan mengunjungi pusat-pusat rawatan
alternatif dengan seribu harapan. Mereka tidak bertanya di mana ahli-ahli
perubatan itu berguru atau institusi mana yang mengeluarkan sijil pengamal.
Demikian juga mereka yang sakit bukan mengenepikan perubatan moden dan
mendahulukan perubatan tradisional @ alternatif. Dalam banyak kes, pesakit
mengunjungi tempat berkenaan kerana mereka didiagnoskan tiada penyakit,
penyakitnya tidak dapat disembuhkan, penyakit yang disembuhkan oleh doktor
berulang kembali atau sememangnya tiada ubat konvensional yang mujarab pada
waktu ini.
Kes di mana sebuah
pusat perubatan homeopati di Melaka yang mendakwa dapat mengubat penyakit AIDS
dengan bayaran di antara RM3,000 hingga RM13,000 seperti yang dilaporkan oleh
Berita Harian pada awal Julai 2000 lalu adalah satu daripada kesan membiarkan
pendidikan ilmu ini berkembang secara sendirian dan kelulusan diploma diberi
tanpa kawalan. Tanpa bukti yang nyatapun iklan boleh dibuat secara
besar-besaran. Tetapi implikasi yang jelas ialah bukan sahaja tindakan pusat
rawatan itu telah mengeksploitasi pengguna dan memperkecilkan peranan
kementerian kesihatan, malahan merosakkan imej perubatan homeopati itu sendiri.
Kendatipun, kes di
atas hanyalah sebahagian daripada kecelaruan yang timbul dalam penyalahgunaan
amalan perubatan homeopati (homoeopathic practice abuse). Adalah
dipercayai seandainya pengajaran bilik darjah dapat dikemaskinikan dan latihan
yang mencukupi diberikan nescaya penyalahgunaan amalan homeopati dan peristiwa
yang tidak diingini oleh masyarakat dapat dielak atau dikurangkan. Ini sudah
pasti bermakna corak pendidikan perubatan alternatif umumnya dan perubatan
homeopati khususnya harus mengharungi suatu reformasi yang besar.
Dalam hal ini,
institusi pendidikan awam atau swasta sedia ada patut memikirkan mengenai
kemungkinan membuka suatu fakulti atau jabatan khusus berkaitan perubatan
alternatif. Kerajaan yang selama ini banyak membantu dan mengawasi dari jauh
juga mungkin boleh memainkan peranan yang lebih besar dengan menghantar
bakal-bakal pensyarah untuk mengikuti kursus profesional ke arah mendalami
ilmu berkenaan dan menjalani latihan yang mencukupi.
Apabila ilmu
perubatan alternatif seperti homeopati, akupuntur, naturopati, iridologi,
refleksologi dan sebagainya berjaya dimartabatkan dan diberi kualiti yang
setara di menara gading, soal pengambilan pelajar boleh diselesaikan menurut
cara yang sama seperti yang diamalkan di kesemua fakulti lain. Ini akan
menyelesaikan urusan pengambilan pelajar yang wewenang seperti yang berlaku
hari ini justeru objektif individu dan persatuan yang ingin mencapai matlamat
ekonomi dan keegoan.
Saya percaya
kementerian pendidikan dan kesihatan akan memberi respons positif dan
menyokong penuh terhadap sebarang usaha ke arah mendaulatkan ilmu perubatan
alternatif di persada pendidikan tanah air. Untuk memulakan langkah ke arah
mencapai tujuan itu, mungkin jalinan kerjasama harus dibuat dari sekarang.
Bahkan ia seharusnya turut menjadi agenda dalam pengisian globalisasi ilmu dan
pemikiran.
Apabila ada usaha penaikan taraf ilmu berkenaan, mungkin kita akan
berjaya menangani atau mengurangi perkembangan ajaran dan amalan salah
daripada berleluasa. Secara tidak langsung buku-buku yang berkaitan dengan
ilmu berkenaan dalam bahasa Melayu juga akan mula bertambah. Minda masyarakat
akan lebih terbuka. Sememangnya penantian ke arah cita-cita perluasan ilmu ini
agar menjadi suatu realiti sudah terlalu lama. Dan idea murni ini pasti
berjaya sekiranya para intelek serta pengamal perubatan bersikap proaktif.
Bukankah ini juga merupakan satu lagi pengisian dalam memenuhi anjakan
paradigma dunia ilmu dan pemikiran? WaLlahua’lam.
(Dakwah,
Oktober 2000;
artikel asal Institusi Pendidikan: Tidak
Prihatin)
TAJUK