INSOMNIA
& RAWATAN HOMEOPATI
Oleh:
Mohamed Hatta
Abu Bakar, HMD
Allah
s.w.t menjadikan malam untuk tidur dan siang untuk bekerja. Setiap manusia
perlu bekerja untuk mencari nafkah dan kehidupan. Tetapi mereka juga perlukan
masa untuk berlepas lelah, rehat dan tidur. Tujuannya ialah supaya esoknya dia
kembali segar dan bersedia menghadapi cabaran dan tanggungjawab. Demikian di
antara intisari pengajaran al-Qur’an surah an-Naba’, ayat 9 hingga 11.
Justeru, amalan
atau tabiat ini merupakan satu sifat semula jadi manusia. Yakni tidur
sebenarnya melambangkan kesihatan seseorang, di mana mental dan fizikalnya
dapat berehat. Tidak cukup tidur boleh memudaratkan individu. Seseorang itu
mungkin akan mengantuk di siang hari dan tidak dapat memberi tumpuan kepada
kerja. Ini akan memberi kesan kepada hasil kerja dan mungkin menyebabkan
kecuaian serta kemalangan. Keadaan kesihatan juga semakin terhakis.
Demikian juga
halnya apabila seseorang itu tidak dapat tidur. Keadaan tidak dapat tidur
dengan sempurna atau masalah gangguan tidur diistilahkan sebagai “insomnia”.
Masalah ini dianggap sebagai satu gangguan kesihatan yang dialami oleh
sejumlah orang. Ia sudah tentu meninggalkan kesan buruk sekiranya berlaku
secara berterusan.
Di dalam
perubatan moden, kecanggihan peralatannya membantu para doktor mengenalpasti
samada seseorang itu boleh tidur atau tidak. Umpamanya, sejenis alat yang
dikenali sebagai EEG (electroencephalography) boleh merakamkan
tahap-tahap perubahan dalam proses tidur dan seterusnya membuat diagnosis.
Bahkan di negara Barat, terdapat makmal khas yang disebut sebagai makmal tidur
(sleep laboratory).
Di dalam
perubatan homeopati, diagnosisnya berbeza dengan kaedah perubatan moden.
Perubatan moden lebih percaya kepada peralatan serta pengujian, dan hasil
pemeriksaannya sahaja yang dianggap objektif. Sedangkan homeopati tidak
memerlukan kepada bantuan alat seperti EEG. Malah maklumat pesakit yang
dianggap subjektif oleh para doktor alopati merupakan informasi bermakna di
dalam rawatan homeopati.
Pesakit yang
menghadapi masalah insomnia boleh merujuk kepada homeopati dan meluahkan
sebanyak mana maklumat berkaitan dengan tidur dan kemungkinan sebab musabab
dia tidak dapat tidur. Samada gangguan itu berpunca daripada faktor luaran,
dalaman, psikologi atau perubatan, semuanya akan dikutip sebagai sebahagian
daripada maklumat bagi mendapatkan gambaran keseluruhan simptom.
Terdapat pelbagai penawar homeopati yang akan dipilih
berdasarkan maklumat lengkap pesakit. Antaranya ialah
Aconite,
Belladonna, Calcarea carbonica, Ignatia
dan
Phosphorus,
yang mana kesemuanya diberi dalam bentuk potensi. Dalam sesi rawatan, biasanya
maklumat yang paling utama diberi tumpuan ialah terhadap simptom mental.
Kadangkala sesi rawatan itu tidak memerlukan masa yang panjang bagi mengecam
masalah dan penawar yang seraksi. Bagi pesakit yang datang dengan membawa
simptom gelisah dan takut-takut, ada masanya sembuh dengan penawar akut yang
dikenali sebagi
Aconite
sahaja.
Demikian juga ada pesakit yang mengalami gangguan tidur kerana tersangat letih
akibat kerja-kerja berat yang dilakukan pada sebelah siangnya. Untuk masalah
seperti ini penawar seperti
Arnica
mungkin sudah cukup bagi melegakan gangguan tersebut.
Preskripsi yang seumpamanya boleh diberikan apabila maklumat dapat dikumpulkan
secara mudah. Sebab ada pesakit yang tidak dapat tidur kerana terlalu gembira
atau terlalu kenyang. Ada pula yang mendapat gangguan apabila ditimpa
kesedihan, kerana hidung tersumbat atau takutkan petir. Sebahagiannya mungkin
mengalami keadaan di mana jantungnya sentiasa berdebar dan kerana itu langsung
tidak dapat tidur. Bagaimanapun, kesemua maklumat itu diperoleh dan dirumuskan
hanya selepas melalui sesi konsultasi.
Di
dalam situasi-situasi yang rumit pula, cerita-cerita yang bersifat subjektif
pesakit perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya bagi mendapatkan kunci simptom
dan kesembuhan. Umpamanya, kita dapat saksikan ada pesakit mengadu mengalami
rasa terlampau panas yang luar biasa dan bermimpi perkara-perkara yang
menakutkan. Sehingan, kadang-kadang mimpi itupun perlu dianalisis. Ada juga
segolongan pesakit yang kerap terjaga di waktu ayam berkokok dan selepas itu
tidak dapat tidur lagi. Dari kalangan kanak-kanak, ada yang tidak dapat tidur
sebelah malam, menjerit-jerit semasa tidur dan dahi dipenuhi peluh.
Pengamal homeopati yang cekap dan berwibawa selalunya bersikap peka dan teliti.
Mereka sedar ada sebahagian pesakit datang dalam sesi konsultasi dengan
membawa penjelasan yang singkat dan dapat dirumus secara mudah. Sebaliknya
terdapat keadaan di mana di sepanjang sesi konsultasi itu hanya pesakitnya
sahaja yang bercakap, sehingga pengamal sendiri mempunyai amat sedikit peluang
untuk mencelah. Dalam keadaan tersebut, pengamal tidak boleh dengan mudah
menyimpulkan masalah tersebut sebagai insomnia dan terus memberi penawarnya.
Rawatan yang sedemikian tidak menjadikan kaedah itu kaedah rawatan homeopati.
Pengamal homeopati yang baik adalah mereka yang sabar dan mengetahui dengan
terperinci simptom-simptom penawar di dalam materia medika. Dalam rekod
homeopati terkumpul pelbagai gelagat dan maklumat pesakit yang berkaitan
dengan gangguan tidur yang dialami. Maklumat ini bukannya dikumpul secara
sia-sia dan tanpa tujuan, tetapi sebaliknya ia mempunyai nilai terapeutik yang
tersendiri. Ia direkodkan kerana terdapatnya penawar seperti
Belladonna,
Calcarea carbonica, Coffea, Ignatia, Nux vomica, Phosphorus, Kali carbonica,
Sambucus, Opium, Spigelia, Avena Sativa
dan
Gelsemium.
Dengan begitu banyak remedi yang boleh dipilih di dalam sistem perubatan
homeopati, tidak seharusnya pesakit insomnia mudah tersasar dan mengambil
jalan cepat dengan cara bergantung kepada ubat tidur. Perubatan moden
sememangnya mengakui kesan-kesan negatif daripada penggunaan ubat tidur, dan
preskripsi para doktorpun dibuat sebagai jalan akhir. Kesedaran serupa ini
harus wujud bukan hanya di kalangan doktor atau pengamal perubatan, malah
pesakit sendiri.
Sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada satu sistem perubatan yang tidak
dapat menyelesaikan kesemua masalah insan, homeopati menawarkan khidmatnya
untuk kemaslahatan diri dan masyarakat. Insomnia adalah salah satu masalah
yang mungkin homeopati dapat memberikan sumbangannya. WaLlahu ‘alam.
(dipetik daripada majalah DAKWAH, Julai 2000)
TAJUK