Oleh:
Mohamed Hatta Abu Bakar,
HMD
Influenza
bukan sekadar sakit selsema yang teruk. Ia merupakan suatu penyakit yang
serius dan boleh memberi kesan yang parah, terutama bagi mereka yang rentan
seperti kanak-kanak dan orang tua. Definisi perubatan menyebutkan bahawa
influenza, atau biasa dipanggil dengan kependekan ‘flu’, ini ialah suatu
penyakit berjangkit yang akut pada saluran pernafasan atas akibat jangkitan
virus.
Kehadiran influenza
boleh dikesan di seluruh dunia. Ia mungkin menyerang individu tertentu sebagai
kes terpencil atau tersebar sebagai suatu epidemik. Dalam ertikata lain, ia
boleh merebak dengan cepat pada sesuatu kawasan atau kumpulan penduduk.
Sewaktu keadaan ini berlaku, kadang-kadang sukar dibuat diagnosis yang tepat
di mana ada kalanya flu itu merupakan infeksi pernafasan yang lain.
Kajian para saintis
mendapati virus ‘flu boleh didapati pada beberapa spesis burung-burung dan
haiwan lain. Menurut mereka, terdapat tiga jenis utama virus influenza yang
dinamakan sebagai A, B dan C. Tetapi influenza jenis A inilah yang dikatakan
bertanggungjawab terhadap kejadian epidemik.
Ahli kaji virus yang
terdiri daripada doktor dan saintis sentiasa mencari virus ‘flu jenis baru.
Biasanya apabila mereka menemui virus tersebut, mereka akan menamakan virus
itu berdasarkan tempat di mana ia mula dijumpai. Umpamanya terdapat virus yang
dikenali sebagai A/Sydney/5/97 (H3N2) dan A/Beijing/262/95 (H1N1). Tindakan
seterusnya ialah mereka akan berusaha menghasilkan vaksin sebelum ia merebak
kepada lebih ramai mangsa.
Kemajuan dalam
bidang pengangkutan dan peningkatan aktiviti pelancungan menyebabkan virus ini
merebak dengan cepat dan mudah. Pertemuan di antara pelbagai lapisan manusia
daripada pelbagai tempat seperti di perhimpunan atau semasa melakukan ibadah
haji juga memungkinkan jangkitan berlaku. Justeru, para doktor dan pakar
perubatan serta agensi yang terlibat sentiasa berlumba dengan masa untuk
menyekat keadaan ini.
Beberapa simptom
yang menjadi gejala umum dalam rekod perubatan menyebutkan bahawa pesakit
lazimnya mengalami batuk-batuk dan selsema. Selain daripada itu, pengidap akan
mendapat demam, tubuh rasa seram sejuk atau menggigil, sakit kepala, hilang
selera makan, mual, muntah dan cirit-birit. Ada pesakit melaporkan mereka
mengalami sakit kerongkong dan sakit otot-otot serta sendi.
Pada kebiasaanya,
sakit demam influenza tidaklah lama. Namun rasa lesu, letih dan kemurungan
boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan. Kesan paling serius penyakit ‘flu
ialah pada kawasan dada, khususnya pada pesakit asma dan mereka yang merokok.
Virus itu sendiri mungkin menyebabkan satu bentuk keradangan pada paru-paru
dan melemahkan sistem pertahanan tubuh. Ahli homeopati menyifatnya sebagai
kemerosotan kuasa hayat.
Doktor perubatan
moden mengenalpasti bahawa gejala influenza agak berbeza di antara individu
pengidap. Sebenarnya, perbezaan akan lebih ketara apabila kita melihat kepada
simptom secara keseluruhan. Simptom yang lebih terperinci termasuk yang
bersifak subjektif dapat dikesan dengan jelas dalam kes-kes yang diambil dan
direkod oleh pengamal homeopati.
Umumnya influenza
merebak menerusi air liur, lendir atau air mata ketika seseorang pesakit itu
batuk-batuk dan bersin. Kerana itu, virus cepat merebak pada mereka yang
berada di sekitar pesakit. Pesakit yang tidak menjaga sapu tangan, tisu atau
tangan yang dicemari dengan liur dan kahak secara cermat akan menyebabkan
orang lain turut mendapat jangkitan.
Bagi penyakit yang
disebabkan oleh virus seperti influenza, tidak terdapat rawatan spesifik dalam
perubatan moden. Rawatan yang diberikan lebih bertujuan untuk membantu pesakit
melalui sakit demam di samping merawat komplikasi yang mungkin timbul. Pesakit
lazimnya diberikan acetaminophen atau parasetamol bagi
mengurangkan rasa sakit dan demam.
Oleh kerana tiada
rawatan yang khusus bagi pengidap ‘flu, perubatan moden menyarankan agar orang
ramai mendapatkan imunisasi sekiranya perlu berada di kawasan wabak. Tetapi
imunisasi bagi mengelakkan ‘flu berkesan hanya sekiranya jenis ‘flu yang
merebak di persekitaran itu sama dengan jenis ‘flu dalam vaksin. Vaksinasi
dikatakan memberi 70 peratus perlindungan kepada individu dengan tempoh lebih
kurang setahun.
Masalah dalam
mendapatkan imunisasi perubatan moden ialah kosnya yang agak tinggi dan kesan
sampingan imunisasi. Selalunya imunisasi itu disyorkan kepada mereka yang
telah berusia atau mereka yang berisiko. Di antara kesan sampingan yang kerap
dilaporkan ialah timbul bengkak-bengkak, kulit kemerahan dan rasa sakit di
kawasan yang yang disuntik. Sejenis simptom sakit demam seperti ‘flu juga
mungkin timbul buat sementara waktu.
Nasihat yang baik
bagi pesakit yang mempunyai tanda-tanda ‘flu ialah supaya banyakkan rehat dan
minum air dengan banyak. Mengambil madu yang dimasak dan minum jus limau juga
turut membantu pesakit untuk pulih. Salah satu rawatan yang mudah diamalkan di
rumah ialah mengambilgu na bawang putih, yang berkesan bagi melegakan sakit
kerongkong, mengurangkan suhu yang tinggi serta melawan infeksi. Pesakit juga
boleh mengunjung farmasi-farmasi bagi mendapatkan vitamin C dan B kompleks
yang kerap disaran oleh doktor perubatan dan pengamal homeopati.
Bagi mereka yang
berminat atau memerlukan, rawatan alternatif homeopati menawarkan kepada
pesakit beberapa penawar yang boleh membantu merawat individu pesakit ‘flu
berpandukan keseluruhan simptom-simptom yang dialami. Sebahagian daripada
penawar-penawar pilihan yang terbukti berkesan bagi menangani influenza
terdiri daripada
Arsenicum, Baptisia, Bryonia, Eupatorium perforatum, Gelsemium, Lobelia cerul.,
Rhus tox
dan
Sulphur.
Selain penawar
spesifik seperti yang disenaraikan oleh Dr. Boericke, penawar-penawar lain
juga digunakan apabila simptom-simptomnya bersesuaian. Ini termasuklah Dulcamara,
Kali phos.,
Natrum mur,
Pyrogenium
dan Influenzinum.
Influenzinum
juga merupakan nosod homeopati (homoeopathy nosode) yang boleh
digunakan sebagai penawar imunisasi di mana pengguna patut mengambilnya sekali
sebulan. Ia dapat mengelakkan seseorang daripada mengidap ‘flu atau kalaupun
mendapat jangkitan ia dapat mengurangkan keadaan daripada menjadi parah.
Ada masanya
prekripsi homeopati dibantu oleh beberapa penawar biokimia seperti
Ferrum phos.,
Kali mur
dan Natrum sulph
yang telah diproses secara triturasi. Tambahan garam mineral biokimia
Dr. Schussler dapat membantu menampung kekurangan mineral yang menyebabkan
tubuh mudah mendapat sakit. Pemulihan dapat dipercepatkan dengan mengamalkan
diet yang sihat, minum banyak air, mengambil buah-buahan segar dan banyakkan
istirehat. Pesakit juga tidak digalakkan meminum teh atau merokok.
Homeopati mengambil
berat terhadap serangan influenza dan menyarankan agar ianya dirawat pada
peringkat awal lagi sebelum timbul sebarang komplikasi. Mereka yang menyimpan
penawar Aconitum
napellus boleh
menggunakannya di peringkat awal jangkitan apabila terdapat simptom demam,
rasa haus, resah gelisah, kulit kering dan perasaan bimbang.
Sebagai masyarakat yang peka
terhadap kesihatan, amalan paling baik ialah berusaha mengelak daripada
terkena sama ada dengan cara tidak berada di kawasan merebaknya penyakit
ataupun mengambil imunisasi dan berjaga-jaga semasa berada di tempat demikian.
Mencegah selalunya lebih baik daripada berubat.
(dipetik daripada majalah DAKWAH, March 2000)
TAJUK