Oleh:
Mohamed Hatta
Abu Bakar, HMD
Demam
merupakan suatu keadaan yang sering dialami oleh setiap orang. Keadaan demam
yang terlalu kerap atau terlalu lama selalunya memerlukan diagnosis yang
cermat. Kerap kali demam datang disebabkan oleh sesuatu penyakit yang dihidapi.
Tetapi ada masanya seseorang itu menghidap penyakit yang serius namun tidak
demam. Sebaliknya terdapat tanda-tanda lain yang menunjukkan kesihatannya
telah terganggu.
Demam atau ‘pireksia’ ialah peningkatan suhu badan melebihi paras normal. Suhu
badan yang normal ialah 37 ºC. Perubahan suhu dalam sehari menjadi lebih
tinggi atau lebih rendah dalam lingkungan 1 ºC juga lumrah. Fenomena ini
dipanggil circadian rhythm. Bahkan jika seseorang itu menjalani riadah
atau terdedah kepada cuaca panas yang terik, suhu badan boleh meningkat tinggi.
Tetapi umumnya apabila suhu badan meningkat melebihi 38 ºC, orang itu
dikatakan mendapat demam.
Penjelasan perubatan mengenai mekanisma penghasilan demam masih
bersifat andaian. Tetapi perubatan moden sekata dengan homeopati di dalam bab
ini. Demam bukanlah suatu penyakit tetapi hanyalah tanda bagi kehadiran
penyakit. Homeopati menyebutnya sebagai satu simptom daripada keseluruhan
simptom. Dr. Hahnemann menyatakan di dalam para 19
Organon of Medicine
bahawa “penyakit-penyakit tidak lebih daripada perubahan di dalam tahap
kesihatan individu yang sihat yang menyatakannya menerusi tanda-tanda penyakit”.
Hari ini ramai yang menerima bahawa “suhu badan yang tinggi adalah dipercayai
bertujuan menghalang pertumbuhan sesetengah bakteria dan virus…. ia
mempercepat reaksi tubuh dalam membantu pemulihan”. Maknanya ia adalah suatu
proses yang membuktikan tubuh sedang melawan penyakit. Sesetengah orang tua
mungkin mendapat infeksi sedangkan suhu mereka tetap normal. Ini menandakan
keupayaan tubuh mereka untuk melawan jangkitan sudah berkurang.
Dalam hal ini pandangan Dr. Samuel Hahnemann adalah lebih jauh ke
hadapan kerana beliau menganggap kuasa hayat (vital
force) tubuh sentiasa dalam keadaan bersiap
sedia melawan segala ancaman. Beliau menulis di dalam
Organon, pada
para 9, “Ia (vital force)
bekerja mempertahankan pancaindera dan aktiviti-aktiviti kesemua bahagian
hidup…” Bahkan katanya, “Tanpa kuasa hayat, manusia tidak berupaya untuk
merasa, bertindak dan mempertahankan dirinya. Tanpa
vital force,
tubuh akan mati”.
Semasa demam, ada dua fasa atau keadaan yang boleh dikenalpasti. Keadaan seram
sejuk (chill) dikatakan tanda yang menunjukkan suhu tubuh sedang
meningkat. Tetapi pada akhir demam, kulit menjadi hangat dan pesakit mulai
berpeluh. Keadaan ini disebut krisis (crisis) dan menunjukkan suhu
tubuh sedang menurun. Selain peningkatan suhu tubuh, biasanya pesakit turut
mengalami simptom peningkatan kadar pernafasan dan denyutan jantung.
Kebanyakan demam berpunca daripada virus dan jangkitan bakteria. Demam akibat
infeksi virus adalah seperti selsema, flu, beguk dan campak. Pada kanak-kanak,
jangkitan
yang paling biasa bermula dengan demam. Keadaan demam kanak-kanak yang
berhubung dengan jarak masa sebelum ruam atau tompok-tompok keluar kadangkala
membantu diagnosis doktor.
Demam juga mungkin disertai dengan pelbagai simptom lain seperti cirit-birit,
pening, sakit kepala, muntah atau terpaksa bernafas dengan cepat. Pesakit yang
mengalami demam biasanya kelihatan letih, pucat dan kekeringan air dalam badan.
Demam yang berpunca daripada bakteria mungkin disebabkan oleh jangkitan pada
trek urinari, meningitis, penyakit paru-paru dan sebagainya.
Terdapat juga demam yang disebabkan oleh penyakit-penyakit serius atau yang
jarang ditemui. Ini termasuk demam kelenjar (glandular), demam kepialu,
tibi, jangkitan hepatitis dan seumpamanya. Bagaimanapun demam tidak semestinya
disebabkan oleh jangkitan. Sebahagian demam dikaitkan dengan penyakit-penyakit
malignan seperti leukemia, trombosis koronari dan lelain penyakit. Ada juga
demam yang disebabkan oleh pengambilan beberapa jenis ubat dadah seperti
barbiturat dan acetaminophen. Acetaminophen ialah ubat untuk melegakan sakit
dan demam, tetapi laporan perubatan menyebut pengambilannya dalam dos yang
banyak atau jangka masa yang panjang boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.
Demam biasa selalunya tidak membawa mudarat yang besar. Tetapi kanak-kanak
yang berusia daripada 6 bulan hingga 5 tahun cenderung untuk mendapat sawan (febrile
convulsions). Lebih kurang 6 peratus kanak-kanak boleh mendapat sawan
seperti ini. Ianya disebabkan oleh suhu yang meningkat dengan mendadak.
Walaupun ia mencemaskan, tetapi ianya tidaklah begitu menakutkan dan tidak
seharusnya dikaitkan dengan gangguan seperti epilepsi.
Beberapa petanda umum demam
bagi pesakit kanak-kanak sangat penting untuk diperhatikan. Antaranya ialah
keadaan hilang selera makan, rasa nak muntah atau sakit perut, mengantuk atau
tidur tidak tentu masa, kerap mengeluh dan menangis, sukar menelan, sakit
tekak, sukar bernafas atau sakit ketika membuang air kecil. Apabila sahaja
simptom-simptom di atas dikenalpasti, usahakan agar kanak-kanak itu rehat
secukupnya.
Di dalam rawatan demam, sememangnya pesakit digalakkan banyak berehat. Mereka
hendaklah menggunakan selimut yang nipis sahaja. Mereka juga disaran supaya
meminum air suam, jus buah atau air kosong seberapa banyak yang boleh.
Selalunya kanak-kanak tidak begitu gemar, tetapi mestilah diusahakan
menasihati mereka tentang pentingnya minum air sebagai mengganti cecair yang
hilang dan memulihkan tenaga. Begitu juga mereka disyorkan supaya memakan
makanan yang mudah hadam.
Dalam
rawatan moden, suhu yang tinggi dapat dikurangkan dengan mengambil
paracetamol dan ibuprofen. Ia boleh diperolehi dalam
pelbagai jenama komersil. Suatu waktu dahulu aspirin merupakan
ubat yang popular tetapi diketepikan setelah disedari kesan negatif
dan alternatifnya ditemui. Sekiranya demam itu disebabkan oleh virus,
maka pesakit tidak memerlukan rawatan dengan antibiotik kerana ia
tidak akan memberi kesan.
Suatu tindakan yang bijak ialah mengelap bahagian kepala dan badan pesakit
dengan air suam. Dalam amalan masyarakat tradisional Melayu, biasanya mereka
menggunakan air yang dicampur asam jawa bagi tujuan menurunkan suhu tubuh yang
tinggi. Rawatan dengan menggunakan air ini sesuai dengan saranan RasuluLlah
s.a.w. di dalam sebuah hadis sahih, yang bermaksud:
“Sesungguhnya demam atau terlalu tinggi suhu panas itu adalah merupakan
percikan-percikan neraka, maka sejukkanlah dengan air”.
Homeopati percaya bahawa bentuk rawatan paling baik ialah jenis penawar yang
dapat bekerjasama dengan mekanisme pertahanan tubuh. Dalam hal ini, ia mesti
sama-sama mengeluarkan simptom-simptom penyakit. Kerana itu, penawar yang
diberikan tidak harus bersifat menekan atau supresif (suppressive).
Apabila demam itu tersangat hebat, kesemua simptom pesakit mesti diperhatikan
secara teliti dengan tujuan menyelesaikan semua gangguan yang berkaitan
dengannya.
Untuk demam biasa (simple fever), pada peringkat awal boleh
dipreskripsikan Aconite.
Bilamana muka pesakit naik merah, demam kuat, konvulsi atau mungkin ada
kaitan
dengan tonsilitis, penawar yang sesuai ialah
Belladonna.
Demam di mana pesakit tidak merasa dahaga, kepala berat, cenderung untuk
berbaring dan rasa lega bila buang air kecil biasanya diberi penawar
Gelsemium.
Kesemua penawar di atas diberi di dalam potensi rendah atau sederhana sahaja.
Penawar demam homeopati yang biasanya sesuai untuk kanak-kanak
yang demam semasa tumbuh gigi ialah
Chamomilla. Penawar-penawar demam akut lain
termasuk Arsenicum,
Bryonia,
Cantharis,
Glonoin,
Ipecac,
Pulsatilla
dan Rhus
tox. Penawar biokimia homeopati yang
bertindak dengan lebih lembut boleh turut digunakan bagi membantu menormalkan
perjalanan darah dan mengeluarkan peluh.
Demam yang terlalu lama mungkin ada kaitan dengan penyakit-penyakit yang
serius. Demikian juga bagi demam yang sentiasa berulang. Pemeriksaan dan ujian
tertentu diperlukan dalam rawatan alopati, sementara rawatan secara
individualisasi sahaja yang terbaik dalam perubatan homeopati kerana ia
merawat pesakit secara menyeluruh (treatment of the whole person).
(Dakwah, September 2000)
TAJUK