Oleh:
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Puasa
di bulan Ramadhan adalah wajib bagi semua umat Islam yang berkuasa tanpa
mengira lelaki, perempuan, tua ataupun muda sebagai menyempurnakan rukun Islam
yang ketiga. Di samping menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala
dengan harapan ganjaran yang dijanjikan, melalui puasa individu muslim itu
akan mendapat kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan
nafsu.
Meskipun setiap orang berkewajipan menunaikan puasa dan janji-janji lipatan
pahala Allah adalah besar, namun Islam memberi kelonggaran bagi orang-orang
yang tidak mampu mengerjakannya. Di dalam ayat 184, surah al-Baqarah, Allah
subhanahu wa ta’ala berfirman: “sesiapa daripada kamu yang sakit ataupun dalam
perjalanan (musafir), bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa
sebanyak hari yang dibuka pada hari yang lain.”
Ayat di atas merupakan nas yang jelas tentang kekecualian yang diberikan
terhadap orang-orang tertentu seperti para musafir dan orang sakit.
Kekecualian seperti ini tidak harus digunakan bagi kepentingan peribadi dan
duniawi. Bahkan mereka yang berupaya wajib menggantikan puasa yang
ditinggalkan dengan cara berpuasa pada hari yang lain. Hanya bagi yang tidak
berupaya langsung dibenarkan membayar fidyah.
Artikel ini sekadar membicarakan beberapa isu berkaitan masalah kesihatan dan
penjagaannya dalam mengharungi bulan puasa agar kita dapat menyempurnakan
ibadat yang mulia ini dengan baik. Terlebih dahulu ada baiknya kita bicarakan
beberapa perkara berkaitan dengan rawatan, khususnya dalam perubatan moden.
Bagi penyakit akut, yang kadang-kadang datang dengan tiba-tiba dan memerlukan
pengambilan ubat-ubatan secara oral, wajarlah pesakit mengambil ubat-ubatan
yang dipreskripsi. Pesakit harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa ia
boleh menimbulkan komplikasi yang tidak diingini. Di antara penyakit-penyakit
akut yang dimaksudkan ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit perut dan
seumpamanya.
Bagaimanapun, adalah baik sekali seandainya doktor perubatan boleh mengatur
waktu supaya pesakit boleh terus berpuasa dan mengambil ubat di waktu berbuka
atau sebelum imsak. Tetapi janganlah dengan sebab berpuasa menyebabkan
penyakit pesakit menjadi lambat sembuh. Jikalau puasa mengganggu proses ke
arah kesembuhan ataupun keadaan boleh memudaratkan si pesakit, pesakit harus
mengambil ubat mengikut jadual dan menggantikan puasa di bulan yang lain.
Ada pesakit yang berpuasa dan menerima rawatan suntikan di mana ubat boleh
diambil di waktu malam. Dalam hal ini suntikan ubat tidak membatalkan puasa.
Bahkan pesakit boleh terus berpuasa walaupun dia dimasukkan air sodium
chloride atau darah di hospital atas sebab-sebab kesihatan. Memasukkan
bahan-bahan berkenaan berbeza dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang
sudah tersedia.
Berkaitan dengan isu ini ialah rawatan penyakit mata seperti konjunktivitis.
Terdapat di dalam rawatan moden dan homeopati di mana ubat diberi dengan cara
menitiskan airnya ke dalam mata. Sekiranya rawatan ini dilakukan, jelas sekali
ia membatalkan puasa kerana ia melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga
badan.
Bagi mereka yang mengidap penyakit-penyakit serius, keadaan yang menyebabkan
mereka tidak boleh berpuasa mungkin disebabkan mereka terpaksa mengambil
ubat-ubatan di dalam waktunya (termasuk sebelah siang) atau kemudaratan yang
mungkin timbul kerana keadaan tubuh yang lemah atau berpenyakit. Bagi
mendapatkan jawapan bagi persoalan sama ada mereka harus berpuasa atau tidak,
perlulah si pesakit itu mendapat pandangan doktor dan ahli agama.
Di antara penyakit-penyakit serius mungkin termasuk pesakit jantung, pengidap
AIDS, kanser, kencing manis, buah pinggang, epilepsi, asma, gastrik yang teruk,
pendarahan dan lain-lain lagi. Komplikasi mungkin berlaku sekiranya mereka
berpuasa berterusan selama sebulan. Umumnya mereka diberi keringanan
meninggalkan puasa dengan menggantikannya pada bulan yang, melainkan mereka
yang tidak boleh berpuasa langsung.
Kemungkinan memperoleh rawatan alternatif yang membolehkan seseorang itu
berpuasa juga harus ditimbang sekiranya rawatan itu dapat membantu dan dapat
memperbaiki keadaan kesihatan. Agama Islam tidak pernah membezakan di antara
apa jua sistem rawatan yang wujud hari ini selagi ianya berkesan, tidak
menyalahi akidah dan boleh membantu pesakit menjalani urusan harian atau
beribadat. Kepercayaan bahawa setiap cabang ilmu itu datangnya daripada Allah
subhanahu wa ta’ala adalah penting dalam memahami prinsip toleransi dalam
memilih kaedah rawatan yang sesuai.
Seperkara lagi ialah berkaitan dengan prosedur diagnosis. Di dalam amalan
perubatan moden terdapat bentuk-bentuk diagnosis yang mungkin membatalkan
puasa. Sementara sebahagian daripada diagnosis itu pula boleh diatur terlebih
awal. Di dalam hal ini, pesakit boleh merancang tarikh dan waktu diagnosis
dengan doktor sekiranya kaedah diagnosis itu boleh membatalkan puasa.
Sebagai contoh ujian gastroskopi (gastroscopy), sigmoidoskopi (sigmoido-scopy)
atau kolonoskopi (colonoscopy) adalah di antara kaedah diagnosis yang
boleh membatalkan puasa. Sekiranya keadaan penyakit tidak mendesak, diagnosis
boleh ditangguhkan atau dilakukan selepas bulan Ramadhan. Tetapi bagi kes-kes
yang serius dan memerlukan tindakan segera, pesakit tidak harus menangguhkan
temujanji yang telah dibuat. Puasa perlulah diganti pada hari yang lain.
Oleh kerana puasa merupakan suatu ibadat yang dijalankan untuk suatu jangka
masa yang panjang, bukan sahaja persediaan rohani dan mental pesakit perlu
kuat. Keadaan fizikalnya juga mesti kuat dan berdaya tahan. Kita selalu sebut
bahawa salah satu implikasi positif puasa ialah dari segi memberi kerehatan
yang cukup kepada sistem pencernaan. Demikian juga kepada anggota lain yang
berhubungan secara tidak langsung. Ini ada benarnya.
Namun tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna atau sikap mengambil berat
terhadap pemakanan, seseorang boleh mengundang pelbagai penyakit di bulan
puasa. Di antaranya ialah keracunan, cirit-birit dan taun. Ini berlaku kerana
orang yang berpuasa memakan pelbagai jenis makanan dan membeli di gerai-gerai
yang pemiliknya tidak peka tentang kebersihan. Lagi pun sebahagian daripada
penjual di bulan puasa itu bukannya pernah menjadi peniaga melainkan di bulan
puasa sahaja.
Selepas berlalu puasa selama beberapa hari, kerapkali ada pula aduan lain. Ini
biasanya timbul daripada mereka yang mengalami masalah sembelit. Sememangnya
sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang lumrah, khususnya di bulan
puasa. Ini berlaku apabila seseorang itu kurang meminum air dan alpa untuk
mengambil makanan yang mengandungi serat. Sebaliknya makanan yang manis-manis
sahaja yang dikejar sebagai juadah berbuka puasa.
Salah satu drama yang biasa menjadi buah mulut ialah serangan gastrik. Tetapi
sebenarnya gastrik bukanlah sesuatu yang pelik. Oleh kerana pertukaran jadual
makan, khususnya pada awal bulan puasa, memanglah ada orang yang perutnya
sensitif akan merasa pedih bila tiba tengah hari. Kebanyakan individu menjadi
biasa selepas beberapa hari. Bagi mereka yang tidak tahan dengan situasi
berkenaan, terdapat beberapa kaedah untuk menghalang serangan sakit perut atau
gastrik yang berkemungkinan besar diakibatkan oleh asid dalam perut. Di
antaranya ialah dengan mengambil beberapa penawar homeopati dan biokimia
tertentu.
Penyakit-penyakit lain yang kerap ditemui di sepanjang bulan Ramadhan ialah
tonsilitis, syanker mulut, sakit kerongkong, batuk, selsema dan lain-lain. Ia
boleh menyerang dengan mudah di bulan puasa bagi individu yang tidak peka
dengan amalan kebersihan, makanan seimbang dan kesihatan. Apa lagi bagi mereka
yang sudah sedia ada penyakit yang dihidapi secara berterusan.
Wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah untuk meneruskan puasa. Masalah
tersebut mungkin berkait dengan kesihatan diri ataupun bayi di dalam kandungan.
Mereka yang mendapat alahan teruk ketika hamil seperti loya, muntah, sakit
perut dan krem harus mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Bagi wanita
hamil, Islam telahpun menetapkan kaedah-kaedah tertentu yang mengizinkan
ibu-ibu meninggalkan puasa dan menggantikannya di kemudian hari.
Bagi semua individu muslim, mustahak diingatkan bahawa setiap individu harus
mengambil jumlah air minuman yang mencukupi di bulan puasa. Kurangkan amalan
mengambil terlalu banyak minuman dan kuih-muih yang manis. Sebaliknya
banyakkan meminum air suam atau air masak. Begitu juga, janganlah terlalu
gelojoh dengan menyumbat sebanyak mungkin makanan sewaktu berbuka puasa.
Adalah berfaedah sekiranya anda dapat mengurangkan pengambilan minuman
berkafein dan merokok. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau.
Buah-buahan seperti khurma, buah tin, prun dan limau amat baik dijadikan
sajian berbuka puasa dan bersahur sebelum memakan nasi. Makanlah secukupnya di
samping memberi ruang untuk kita bernafas dengan selesa.
Bagi mereka yang merasa
makanannya tidak membekalkan zat atau vitamin yang mencukupi, ada baiknya
mengambil pil-pil tertentu seperti tablet vitamin B2, vitamin C dan
multivitamin ataupun multimineral. Beberapa panduan lengkap berkaitan
pemakanan boleh dirujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan maupun hospital.
(Dakwah,
November 2000)
TAJUK