Oleh:
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Pengenalan
Masyarakat harus mengakui satu kenyataan yang mengiringi pemergian
alaf ke dua yang lalu. Kenyataan itu ialah bahawa perubatan moden
telah mewariskan pencapaian terhebat dalam tamadun manusia menerusi
pelbagai penciptaan ubat-ubatan dan teknologi rawatan. Bersama dengan
perkembangan dalam kaedah diagnosis dan prosedur rawatan, kita lihat
teknologi surgeri telah sampai ke tahap di mana organ manusia boleh
dipindah-pindahkan seperti memasang enjin atau spare-part
kenderaan. Bahkan dengan kemajuan teknologi komputer, surgeri ke atas
pesakit boleh dilakukan dari jarak yang jauh di mana manusia tidak
pernah membayangkan sebelumnya.
Tulisan ini cuba menyingkap sesuatu di sebalik kejayaan
sistem perubatan moden. Daripada perspektif global atau pengguna yang
memikirkan kesejahteraan total, adalah dipercayai ketibaan alaf baru
tidak menjanjikan sesuatu yang kudus dalam dunia perubatan moden. Hal
ini amat jelas walaupun media mencanangkan segala yang unggul mengenai
perubatan moden, khususnya berkaitan dengan teknologi peralatan yang
sofistikated, keajaiban pencapaian surgeri dan penemuan-penemuan baru
seperti penghasilan kulit dan organ ciplakan manusia serta teknologi
pengklonan.
Sebagai satu perbandingan mudah, boleh dikatakan
keadaannya samalah seperti kecanggihan dunia komputer dan internet
yang bukan saja mewariskan teknologi yang berharga dan bermanfaat,
tetapi juga turut membawa ancaman globalisasi dunia komunikasi tanpa
sempadan dan virus yang mana kini ia bukan saja boleh menyerang
menerusi cakera malah menerusi lorong-lorong internet. Jelasnya,
bersama-sama dengan kemajuan ilmunya, pencapaian perubatan yang
diagung-agungkan itu turut mewujudkan penyakit baru. Keadaannya
seolah-olah operasi komputer yang sentiasa dikejar virus.
Penyakit iatrogenik
Kendatipun, penyakit ini sebenarnya
bukan baru. Ia pernah dihuraikan oleh Dr. Samuel Hahnemann hampir 200
tahun yang lalu di dalam bukunya
Organon of Medicine (1810). Huraian
beliau telah dipanjangkan lagi menerusi karya-karya beliau yang
terkemudian, terutamanya The
Chronic Diseases (1828). Di dalamnya
terdapat keterangan dan perincian berkenaan kesan buruk kaedah rawatan
paliatif dan yang mengenepikan nature atau sunnatuLlah. Tetapi
serangan terhadap natijah perkembangan ilmu perubatan ini menjadi
popular kembali apabila ia dibangkitkan oleh Ivan Illich menerusi
Medical Nemesis
(1977) dan Allen Klass dalam
There’s Gold in Them Thar Pills
(1975). Logik kritikan itu diperjelaskan pula
oleh Dr. George Vithoulkas lewat bukunya,
The Science of Homeopathy
(1993).
Mungkin sebahagian masyarakat kurang
maklum atau tidak memberi perhatian berat terhadap penyakit yang
diperkatakan ini. Namun isu yang pernah dibangkitkan mengenai penyakit
iatrogenik (iatrogenic disease)
tidak tenggelam dan tidak dapat dikelabui oleh
pencapaian yang mengkagumkan. Penyakit iatrogenik akan pasti menjadi
warisan alaf kedua yang baru berlalu untuk kita ingati dan kendong
dalam batang tubuh kita. Ia mungkin akan bergerak seperti virus
komputer yang akan terus menghantui dan menjadi kayu ukur sejauh mana
efektif dan hebatnya pencapaian yang diagungkan dunia Barat itu.
Maksud iatrogenik
Iatrogenic
adalah satu perkataan yang berasal daripada Greek, iaitu
iatros
yang bermaksud ‘doktor’ dan genesis
yang membawa makna ‘asal-usul’. Jadi, penyakit iatrogenik merujuk
kepada sebarang keadaan yang timbul akibat daripada rawatan, sama ada
sebagai kesan sampingan yang tidak diduga maupun sesuatu yang tidak
dapat dielakkan. Penyakit iatrogenik, atau kadang-kadang disebut
dengan istilah yang kurang menepati maksudnya sebagai penyakit ‘dadah’
(drug disease),
ini jarang dibicarakan melainkan oleh ahli akademik yang membuat
kajian mengenai kesan-kesan rawatan moden dan oleh mereka yang
terlibat dalam amalan perubatan alternatif atau holistik. Polemik
mengenainya sengaja didiamkan untuk kebajikan orang-orang tertentu,
khususnya syarikat-syarikat gergasi multinasional yang menguasai media
demi kepentingan yang sedia dimaklumi.
Pendapat ahli akademik yang
membicarakan mengenai keadaan iatrogenik ini mengatakan ia berlaku
kerana bentuk rawatan ortodoks (moden) menerusi ubat dadah dan surgeri
yang mencampuri urusan dan fungsi-fungsi normal tubuh. Apabila tubuh
bertindak melawan penyakit dengan mengeluarkan simptom-simptom
tertentu, tindakan itu segera terbantut oleh bantuan menerusi kaedah
yang tidak dikehendaki. Dalam ertikata lain, rawatan yang diberikan
tidak selari dengan nature.
Justeru, manfaat yang diperolehi daripada rawatan kebanyakannya
bersifat sementara kerana ciri-ciri supresif dan paliatif yang menjadi
moto sistem contraria contrariis.
(Tetapi ini bukanlah suatu kehairanan, kerana pesakit yang malang
selalunya dipengaruhi oleh dan berkehendakkan kesembuhan seumpama itu.)
Kesan sampingan ubat
Kesan buruk sesetengah ubat-ubat konvensional alopati selalunya
dikenalpasti sebagai kesan alergi, dan setengahnya diketahui selepas
penggunaan untuk suatu jangka masa yang lama. Di dalam perubatan
alternatif homeopati, Dr. Samuel Hahnemann menyebut mengenai
implikasinya dalam membicarakan penyakit-penyakit kronik di mana
beliau berpandangan kebanyakan penyakit kronik menjadi sukar untuk
dipulihkan selepas pesakit itu melalui siri rawatan secara paliatif
atau supresi. Namun di sebalik kritikan itu, ramai pengamal rawatan
alternatif termasuk homeopati sendiri menerimapakai ubat-ubat
konvensional dalam keadaan pesakit sangat memerlukan dan tidak ada
ubat lain yang lebih baik untuk memberi kelegaan. Tetapi penggunaannya
amatlah terhad dan sengaja dihadkan.
Di antara ubat-ubat yang biasa dipreskripsi
seperti ubat jantung (contohnya
Digoxin dan
Captopril),
ubat batuk (seperti
Promethazine
dan Codeine phosphate),
analgesik (seperti
Aspirin,
Ibuprofen, dan Parasetamol),
antiasma (seperti
Salbutamol
dan
Prednisolone), antibiotik (seperti
Ampicillin,
Erythromycin
dan Penicillin)
dan banyak lagi tidak pernah terhindar daripada
kesan sampingan segera. Hal ini berlaku walaupun sesetengah ubat itu
diberi dalam dos yang tepat, diambil pada masa yang disarankan dan
digunakan untuk suatu tempoh seperti yang ditetapkan oleh dokotr. Apa
lagi jika ubat-ubat itu digunakan di luar preskripsi doktor kerana
sebahagiannya merupakan ubat OTC (over
the counter) yang dibenarkan jual di
kedai biasa atau farmasi-farmasi tanpa preskripsi doktor.
Jadual:
Beberapa contoh kesan sampingan (jangka pendek) ubat moden
Nama ubat
|
Kesan sampingan ubat
|
Aspirin
(analgesik) |
Muntah-muntah, pening, pening,
berdesing di dalam telinga, bingung. |
Ibuprofen
(analgesik) |
Diarea, loya, sakit perut, sakit
kepala, pening. |
Parasetamol
(analgesik) |
Gangguan kulit dan darah. |
Digoxin
(ubat jantung) |
Letih, gangguan penglihatan, loya
dan muntah-muntah teruk |
Captopril
(ubat jantung) |
Hilang selera, gayat, batuk. |
Promethazine
(ubat batuk) |
Mengantuk, sakit kepala, mulut
kering. |
|
Codeine phosphate
(ubat batuk) |
Sembelit dan rasa mual. |
Albuterol
(antiasma) |
Resah, bimbang, ketar-ketar, sakit
kepala. |
Salbutamol
(antiasma) |
Cirit-birit.. |
Ampicillin
(Antibiotik) |
Masalah kulit, pernafasan dan reaksi
alergi. |
Erythromycin
(Antibiotik) |
Loya dan muntah-muntah. |
Estradiol
(Sediaan hormon) |
Mual, keempukan payudara,
pertambahan berat badan, |
Sumber: Reader's Digest,
Medical cures and treatment
& Dr. Azmi Sariff, Kesan buruk ubat (Majalah
Sihat).
Boleh dikatakan setiap ubat berjenama sentiasa
memerlukan masa bagi penilaian lebih hakiki atau selalu menanti ubat
baru dihasilkan. Demikianlah lumrah yang terjadi terhadap kebanyakan
ubat-ubat moden. Contoh klasik ialah penggunaan
Aspirin yang
meluas dahulu telahpun merosot selepas ubat baru khususnya
Parasetamol (dengan jenama popular
Panadol)
diperoleh. Apakah Parasetamol
juga akan semakin diketepikan apabila ubat-ubat
yang lebih baru dan saintifik dikeluarkan di alaf baru? Masa pasti
akan menentukan. Kesan sampingan parasetamol sudah mulai giat
dibincangkan, dan di waktu beginilah peranan doktor menjadi semakin
penting bagi tujuan memberi nasihat dan preskripsi.
Trend ubat komersil
dan viagra
Tetapi selain daripada doktor yang mesti terus berperanan, masyarakat
pintar sudah melihat trend yang dimaksudkan. Trend ini merupakan
bentuk pergerakan ubat-ubat moden di pasaran dunia. Setiap ubat yang
ditemui akan diuji, dan walaupun masih mempunyai kesan sampingan ia
terus diperkenal, dipromosi, dilambak dan akhirnya bakal diganti
dengan ubat baru. Ringkasnya, setiap ubat moden sentiasa menunggu masa
untuk diperkenalkan dan untuk diketepikan. Jika keadaan begini
berterusan, keadaannya tidaklah terlalu maju ke hadapan berbanding
ubat-ubatan tradisional yang dicop tidak saintifik tetapi masih terus
diperguna, yang mungkin hanya bertukar bentuk seperti prekripsian
dalam bentuk pil-pil bersarung dan mula diterokai atau disahihkan oleh
bijak pandai dari menara gading.
Misteri yang ditinggalkan akibat pengenalan pil Viagra
beberapa tahun sebelum berakhirnya alaf ke dua menjadi tanda tanya
yang masih belum terjawab. Yang jelas, sehingga 30 Jun 1999, 150 juta
pil Viagra telah dijual di seluruh dunia dan 217 orang mati
akibat memakannya walaupun kebanyakan yang mati dikatakan berkaitan
komplikasi jantung. Pada 29 Disember 1999, Menteri Kesihatan Dato’
Chua Jui Meng memaklumkan bahawa dua lelaki mati di Malaysia selepas
mengambil pil tersebut, sementara 18 orang yang lain dilaporkan
menghidapi pelbagai kesan sampingan. Masyarakat dimaklumkan bahawa
kesan buruk boleh berlaku walaupun ia digunakan melalui preskripsi
doktor. Apatah lagi kesan bagi mereka yang mengambil tanpa preskripsi
atau untuk tujuan lain, seperti untuk merangsang syahwat.
Menurut anggaran syarikat Pfizer
yang memasarkannya di Malaysia sehingga ke akhir tahun 1999, kira-kira
RM1 bilion sudah berjaya dijual. Bahkan
Viagra
merupakan pil yang paling tinggi jualannya di Malaysia walaupun hanya
1.6 juta orang yang mengalami masalah mati pucuk. Yang menghairankan
kita lagi ialah bagaimanakah Viagra
boleh sampai ke tangan pengguna tanpa sebarang
nasihat pakar perubatan. Keadaan ini seakan-akan menunjukkan adanya
terowong gelap bagi sesiapa sahaja yang ingin mencubanya.
Siapakah yang akan menerima
pertanggungjawaban terhadap kesan-kesan iatrogenik dan angka kematian
akibat penggunaan atau penyalahgunaannya yang dilaporkan oleh akhbar
tadi? Berita paling akhir pada 15 Mac 2000 melaporkan bahawa satu
kajian menunjukkan pil Viagra dipercayai menyebabkan jumlah
kematian yang tinggi dan masalah jantung yang serius. Kajian yang
berasaskan laporan Pentadbiran
Ubat Persekutuan di Amerika Syarikat
mendapati bahawa dalam 1,473 insiden, seramai 522 lelaki mati. Tujuh
puluh peratus daripada kematian itu berkaitan dengan dos standard yang
disarankan iaitu 50mg.
Kesan rawatan lain
Setakat ini kita baru membicarakan mengenai kesan iatrogenik ubat-ubat.
Sedangkan kerapkali pengguna tertanya-tanya tentang kesan sesetengah
bentuk rawatan seperti kemoterapi, amputasi dan pelbagai prosedur yang
dijalankan di hospital untuk tujuan diagnosis. Tumpuan yang melampau
kepada merawat penyakit menyebabkan perubatan moden lupa pada pesakit
itu sendiri. Justeru, tidak hairanlah apabila luahan rasa tidak puas
hati pengguna itu ditunjukkan dalam pelbagai bentuk. Ini termasuklah
dengan cara berusaha mendekati kaedah perubatan alternatif dengan
harapan dapat dirawat sebagai individu dan insan yang mempunyai
perasaan. Paling jelas, perasaan tidak puas hati itu telah diluahkan
menerusi sebuah filem Hollywood yang berjaya, iaitu “Patch
Adams” yang diakonkan oleh Robin
Williams.
Satu lagi kejutan alaf ke dua ialah
terhadap keraguan yang berputar dalam benak pengguna berkaitan
kesilapan perubatan (medical errors).
Satu laporan daripada
The Sunday Times
London dalam tempoh dua minggu sebelum
berakhirnya abad ke dua puluh cukup mencemaskan. Laporan itu
menyebutkan bahawa kesilapan perubatan merupakan penyebab ketiga
terbesar yang menyumbangkan kepada kematian di Britain selepas kanser
dan penyakit jantung. Di dalam kajian yang menyiasat
kesilapan-kesilapan hospital, dilaporkan bahawa 40,000 kematian
setahun adalah diakibatkan oleh kemalangan perubatan (medical
mishap). Sementara 280,000 orang
dikatakan menderita kerana kesilapan preskripsi ubat-ubatan, memberi
terlebih dos dan jangkitan.
Kejadian inipun merupakan suatu kesan iatrogenik kerana ia
berpunca daripada pengamal perubatan. Tetapi ia juga berlaku kerana
pengguna terlampau bergantung kepada kewibawaan doktor sehingga mereka
membenarkan diri mereka rebah kepada prosedur dan rawatan ubat-ubatan
tanpa pengetahuan yang cukup, termasuk pembedahan yang kadang kala
tidak diperlukan. Mungkin benar bahawa kebanyakan pembedahan yang
tidak begitu mendesak terus berlaku kerana saranan-saranan yang tidak
berpihak kepada pengguna. Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ivan
Illich, dianggarkan 90 peratus tonsilektomi yang dilakukan di Amerika
Syarikat adalah sebenarnya tidak perlu, sedangkan seorang daripada
1,000 orang mati kerana pembedahan itu, sementara 16 pesakit lain
menderita komplikasi serius.
Apakah alaf yang baru
kita tempuhi ini mampu menampung atau mengurangkan penyakit-penyakit
yang semakin bertambah seperti penyakit jantung, emfisema, kanser,
artritis, gout, hipertensi, diabetes, asma, malahan penyakit mental?
Dengan kemajuan yang begitu hebat sudah tentu tidak cukup setakat
bergantung kepada penjelasan bahawa berlakunya penyakit-penyakit itu
berkait rapat dengan usia, dan bertambahnya justeru lebih ramai
manusia boleh hidup lebih lama. Walhal kita juga tahu penyakit kanser
dan jangkitan yang serius turut menyerang kanak-kanak. Demikian juga
apakah alaf baru sanggup menanggulangi risiko penyakit iatrogenik yang
merupakan produk terbesar kejayaan alaf yang baru saja melambaikan
tangan pamitan? Harus diingat, penyakit iatrogenik juga menerpa tanpa
memilih mangsa, pendeknya dari buaian hinggalah ke liang lahad.
Tanggungjawab dan rumusan
Memahami implikasi setiap rawatan
dan ubat-ubat yang dipreskripsikan, para pengamal perubatan dan
pesakit mestilah menimbang dengan cermat mengenai kebajikan-kebajikan
dan risiko-risiko sebelum mengguna mana-mana ubat berjenama saintifik
atau menjalani satu-satu rawatan. Pengamal perubatan bertanggungjawab
terhadap rawatan yang diberikan kerana mereka tertakluk kepada sumpah
Hippocrates (Hippocratic oath)
atau sumpah yang meminta pertanggungjawabannya (selain
kerana sifat kemanusiaannya). Pesakit sudah pasti perlu berhati-hati
kerana ia mempunyai hak ke atas batang tubuhnya dan dia jugalah yang
bakal menerima implikasi satu-satu rawatan.
Setakat ini boleh dirumuskan bahawa
cabaran paling besar alaf baru ialah bukan sekadar membasmi
penyakit-penyakit yang kita sedia mengetahui, tetapi juga merawat
penyakit-penyakit ubat dadah (drug
disease) atau yang digelar iatrogenik.
Dalam hal ini juga, sebahagian doktor ortodoks sendiri berpendapat
bahawa justeru perubatan konvensional menjadi semakin sofistikated,
sudah pasti gangguan iatrogenik akan meningkat. Tetapi, menerusi
kemajuan latihan dan dengan cara melaksanakan tinjauan berkala (audit
perubatan) mereka berharap risiko itu dapat dikurangkan. Lagipun, para
doktor boleh melaporkan reaksi buruk terhadap dadah tertentu kepada
jabatan kesihatan kerajaan, yang mana mereka boleh meletakkan tanda
amaran atau menghalang penggunaan suatu dadah tertentu.
Sama ada pandangan itu mampu memuaskan hati pengguna atau
pelanggan umum, kita pulangkan kepada individu untuk menilai. Namun
selain daripada itu para doktor disaran agar sentiasa bersikap jujur
terhadap rawatan yang diberikan. Ini dapat dilakukan melalui
komunikasi yang baik dengan pelanggan di mana pesakit harus
dimaklumkan mengenai sebarang risiko atau kesan sampingan ubat,
prosedur diagnosis, pembedahan dan sebagainya. Mereka juga tidak harus
mengambil sikap mempengaruhi keputusan pesakit melainkan berasaskan
sains klinikal, praktik perubatan dan sikap empati terhadap kesan
mental dan fizikal pesakit.
Di sebalik pengakuan itu, penyakit iatrogenik tetap
dilihat oleh sebahagian pengamal perubatan sebagai sesuatu yang
berterusan, kesannya boleh menzahirkan penyakit kronik yang lebih
teruk, dan amat sukar untuk dihapuskan melainkan melalui kaedah yang
selari dengan tabi’i atau sunnatuLlah. Di sinilah kita ingin melihat
kemampuan para saintis mencari atau mencipta ubat-ubat (atau
kaedah-kaedah) yang bukan saja menyembuhkan tetapi juga bebas daripada
kesan sampingan (atau rawatan) yang tidak diingini. Dengan cara itu
barulah bayaran yang dihulurkan pengguna berbaloi, meskipun penemuan
serta rawatan itu tidak akan menggendutkan poket syarikat
multinasional. Ini merupakan satu cabaran terbesar di alaf baru.
Rujukan:
1.
Azmi Sariff. 1992. Kesan Buruk Ubat. Majalah Sihat.
Ogos: hlm. 11-13.
2.
Berita Harian.
1999. Dua Lelaki Mati Selepas Telan Viagra. 29 Dis: hlm. 7.
3.
Illich, Ivan. 1976. Medical Nemesis. New York: Bantam.
4.
New Straits Times.
1999. Study: Medical Error Britain’s Number Three Cause of Death. Dis.
20: hlm. 22.
5.
Reader’s Digest. 1997. Guide to Medical Cures & Treatment.
New York: Reader’s Digest Assoc., hlm. 448-463.
6.
Reader’s Digest. 1992. Family Guide to Alternative Medicine.
NSW: Reader’s Digest Australia) Pty. Ltd., hlm. 199.
7.
Vithoulkas, George. 1980. The
Science of Homeopathy. New Delhi: B. Jain Pub., hlm. 110-113.
TAJUK