Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD
Pengenalan
Penyakit diabetes atau kencing manis di dalam
ilmu perubatan didefinisikan sebagai suatu masalah sistemik kronik, yang
berkaitan dengan ketidakmampuan tubuh untuk menghasilkan insulin dalam jumlah
yang mencukupi untuk kelangsungan fungsi-fungsi normal tubuh. Dalam sesetengah
keadaan, ada pesakit yang pankreasnya tidak dapat mengeluarkan insulin
langsung, sedangkan insulin diperlukan untuk metabolisme, penyenggaraan dan
pengimbangan gula darah.
Kemajuan ilmu perubatan berjaya
membekalkan diagnosis secara moden dan lengkap bagi mengenali pesakit diabetes
mengikut klasifikasinya. Ilmu patologinya mampu menghuraikan secara panjang
lebar mengenai keadaan penyakit, mengesan simptom-simptom objektif serta
etiologi, termasuklah komplikasi yang mungkin dihadapi oleh sebahagian pesakit.
Namun sehingga kini kaedah rawatan masih berkisar kepada pengawalan pemakanan
yang bersifat tradisional dan penyuntikan dos insulin atau pemberian agen
hipoglisemik oral.
Tugas doktor
Dalam perkataan yang mudah difahami,
pesakit diabetes tidak upaya disembuhkan berasaskan ilmu perubatan alopati
pada waktu ini. Hal ini samalah bagi penyakit-penyakit lain di mana para
pesakitnya terus berada dalam keadaan terpaksa sentiasa berjaga-jaga,
termasuklah penyakit darah tinggi dan kanser. Sedangkan para 1
Organon of Medicine, penulisnya
menyatakan; “satu-satunya tugas seorang doktor itu
ialah mengembalikan sakit kepada sihat”.
Justeru, Dr. Samuel Hahnemann
memberi ulasan panjang dan sinis, iaitu: “tugasnya
bukanlah untuk membina sistem, dengan mencampuraduk spekulasi-spekulasi kosong
dan hipotesis berkaitan dengan keadaan semula jadi esential dalaman proses
vital dan ragam (mode) di mana penyakit bermula di dalam tubuh
organisma yang tidak dapat dilihat (yang mana begitu ramai para doktor sangat
bercita-cita untuk menghabiskan bakat dan masa mereka sehingga kini). Begitu
juga, bukan tugasnya untuk berusaha memberikan huraian panjang lebar mengenai
fenomena penyakit dan sebab-sebab tepat berlakunya penyakit (yang sememangnya
akan terus tersembunyi)......, yang kelihatannya seperti sangat ilmiah untuk
tujuan menakjubkan mereka yang jahil - sedangkan manusia yang sakit mengeluh
tidak berguna untuk meminta bantuan”.
“Kepada
impian orang terpelajar [learned reveries] (kepada siapa nama
theoretic medicine dilabelkan dan yang mana diinstitusikan pangkat
profesor yang istimewa) kami sudah bosan melayaninya, dan kini sudah sampai
masanya bagi mereka yang menggelarkan dirinya doktor berhenti memperdaya umat
manusia yang menderita dengan kata-kata kosong, dan sebaliknya mulailah, buat
kesekian kalinya untuk bertindak, iaitu bagi benar-benar berusaha untuk
membantu dan menyembuhkan”.
Kemudian, dalam keadaan sentiasa
awas, pesakit diabetes mempunyai risiko jika berlaku kelukaan dan jangkitan,
terutamanya anggota kaki. Ini adalah justeru masalah pada kulit boleh
menyebabkan pengudisan dan gangren. Sedangkan rawatan semasa bagi mengelakkan
keadaan gangren dan kudis itu daripada merebak teruk tiada lain melainkan
dengan cara amputasi.
Amputasi merupakan satu kaedah rawatan dalam
rangka usaha mengelakkan jangkitan pada bahagian tubuh yang lain. Dan ini
adalah suatu tragedi ngeri bagi pesakit, walaupun ia dianggap normal dalam
amalan perubatan moden. Walaupun amalan amputasi ini biasa berlaku, tetapi
tragedi ini kebanyakannya melibatkan pesakit diabetes. Di Amerika Syarikat,
laporan ‘Vital Statistics’ 1996 yang
diterbitkan oleh American Diabetes Association menyatakan “Lebih 50%
amputasi yang tidak melibatkan kemalangan atau trauma di Amerika Syarikat
berlaku di kalangan mereka yang mengidap diabetes”.
Penderitaan pesakit
Di dalam internet, anda boleh melihat pelbagai
bentuk luahan penderitaan pesakit, walaupun ianya merupakan suatu tarikan
pengeluar untuk tujuan menjual produk, servis atau buku-buku berkaitan.
Umpamanya, Alan Apeal menulis:
“Sekiranya anda fikir ianya tidak
akan terjadi kepada anda, fikirlah sekali lagi dan bacalah cerita saya. Saya
telah mengidap penyakit diabetik selama lebih 11 tahun. Saya tidak pernah
terfikir dan membayangkan bagaimana pengidap diabetik boleh hilang kaki.
Selagi saya mengambil berat terhadap diri saya dan berjumpa doktor mengikul
jadual bagaimanakah saya boleh berada dalam situasi seperti sekarang ini ?”
“Bagaimanakah hal ini berlaku? Tidak berapa lama
dahulu, saya didatangi perasaan menggelenyar, rasa terbakar, kebas-kebas dan
sakit bagai dicucuk pada kaki saya. Para doktor memberitahu saya, “Itu ialah
tanda anda ada diabetes”” Saya bertanya apa yang patut saya buat.” Doktor
tersebut mengatakan, “Yang jelasnya anda mesti berhati-hati.” …..Saya tidak
mendapat jawapan yang tepat dan kelihatannya seperti tiada siapa yang tahu
atau mempunyai pengetahuan yang jelas sehingga saya mendapati timbul letusan
ketika saya menggunakan sepasang kasut baru yang terjadi setelah saya
memakainya selama beberapa jam. Letusan itu memberi gangguan yang tidak
menyelesakan selama hampir dua tahun. Genap saja dua tahun selepas saya
mendapat letusan itu, kaki sayapun dipotong (amputated). Percayakah
anda bahawa letusan yang kecil itu menyebabkan saya hilang sebelah kaki?”
Cetusan rasa Alen Apeal itu hampir
sinonim dengan kebanyakan pesakit diabetes di mana saja. Pengalaman beliau
hampir sama dengan pesakit-pesakit yang mengalami penderitaan akibat kencing
manis yang berakhir dengan sebahagian anggota, khususnya kaki terpaksa
diamputasikan. Sedangkan, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan
amputasi akan turut berakhir dengan kematian dalam tempoh yang tidak lama.
Di Malaysia, boleh dikatakan hampir
setiap jangka waktu pesakit diabetes kronik terpaksa menjalani amputasi bagi
tujuan menyelamatkan nyawa. Walaupun pesakit dan keluarga mereka berada dalam
keadaan yang serba salah, saranan itu terpaksa ditimbangkan kerana itulah
satu-satunya cara yang ada. Sama ada tindakan ini sepatutnya menjadi satu isu
perubatan atau isu pengguna, namun hakikat ini berterusan kerana kita berada
di bawah dominasi perubatan moden. Tiada kaedah lain yang sofistikated dan
terjamin buat waktu ini.
Pengalaman yang tragis dan berlaku hampir setiap
waktu itu menggegarkan buat seketika apabila Pak Busu (pelakon Pi Mai Tang Tu)
dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani amputasi pada 29 November dan 15
Disember 2000. Menurut ceritanya, beliau pernah menerima rawatan memotong jari
kakinya kira-kira dua tahun lalu selepas lama mengidap kencing manis.
Beritanya yang tersiar di dada-dada akhbar arus perdana tanah air itu
menggerakkan hati saya untuk membuat catatan ini, yang mana pelbagai keluhan
sudah kerap kali saya dengari dari mulut pesakit diabetes.
Perubatan dominan
Walaupun kita tidak tahu sejauh mana, tetapi
ramai pakar perubatan konvensional kerapkali bersikap ortodoks dalam amalan
praktik dan pemikiran. Ini berlaku justeru sistem alopati merupakan suatu
sistem perubatan yang dominan dan digazet dalam negara ini atau buat masa ini.
Sedangkan dominan tidak bererti segalanya hebat. Perubatan Melayu tradisional
dahulupun pernah dominan di kalangan masyarakat Melayu dan demikianlah
perubatan-perubatan lain yang sesetengahnya mempunyai asas yang kukuh dan
falsafah yang sistematik.
Suatu perkara yang jelas, dan mungkin suatu
amalan yang sihat, ialah kendatipun satu-satu perubatan itu dominan dalam
masyarakat, tetapi ia harus akur dengan kemungkinan-kemungkinan lain, seperti
terhadap kebolehan teori-teori dan praktik perubatan yang lain. Sikap ini
perlu kerana kalau kita ingin menunggu kemampuan sesuatu sistem perubatan itu
dibuktikan di atas premis atau ujikaji mengikut kaedah saintifik ala alopati
baru ianya hendak diterima, maka kita mungkin akan menunggu berzaman-zaman
lamanya.
Sebenarnya kita hanya perlu sekurang-kurangnya
memberi peluang kepada sistem perubatan lain bernafas lega, meskipun dalam
rawatan penyakit kronik. Khususnya apabila perubatan dominan hanya setakat
mampu mengawal dan tidak menyembuhkan penyakit. Di samping itu, ini turut
bermakna kita memberi pilihan kepada pengguna. Pengguna yang kaya ialah
pengguna yang mempunyai banyak pilihan. Dalam hal ini mereka tidak sepatutnya
rebah pada sistem perubatan dominan sahaja.
Bagaimanapun, hasrat ini hanya akan tercapai
apabila kita boleh melihat hakikat dan akur. Akur bahawa sudah jelas di
sebalik kecemerlangan sumbangan perubatan moden, ia tidak dapat lari daripada
ruang-ruang di mana ia harus tunduk kepada kegagalan dan sempadan-sempadan
yang ditetapkan oleh Ilahi. Juga akur bahawa bidang ilmu perubatan samalah
seperti bidang-bidang lain, yakni satu teori rawatan itu tidak harus mempunyai
kuasa monopoli terhadap dunia ilmunya dan masyarakat.
Hadis RasuluLlah
Kalau diizinkan kita memetik sepotong hadis,
RasuluLlah salaLlahu alaihi wa sallam sendiripun tidak menyebut secara terang
manakah sistem rawatan yang betul atau harus dipilih. Salah satu hadis
RasuluLlah salaLlahu alaihi wa sallam itu ialah: “Setiap
penyakit ada ubatnya, jika tepat ubatnya, maka ia akan sembuh dengan izin
Allah”. (Riwayat Imam Muslim) Seperti
hadis-hadis beliau yang lain, kenyataannya bersifat umum dan merujuk kepada
hukum keserasian. Gagasan beliau sememangnya tepat kerana hukum keserasian
dalam teori kesembuhan itu merentasi kurikulum dunia ilmu perubatan.
Justeru, sesetengah kaedah rawatan seperti
amalan amputasi sebagai rawatan pencegahan harus diberi penilaian semula
secara kritis di kalangan doktor muslim. Apakah tidak ada kaedah lain bagi
mencegah merebaknya penyakit bagi kes-kes seperti diabetes, yang berbeza
dengan amputasi kerana menyelamatkan nyawa dalam kes kemalangan? Kita percaya
kepada kemungkinan lain kerana pada logiknya musuh yang menyerang kita sudah
tentu boleh dihalau keluar. Maknanya, kita tidak harus memadamkan minda untuk
potong dan sekat sahaja kemaraan penyakit itu yang nampaknya tidak memberikan
hasil yang memuaskan. Premis seperti ini boleh menjadi pemangkin bagi para
doktor perubatan yang kreatif dan aktif dalam meneroka penemuan baru, biarpun
melampaui had-had yang digariskan oleh dunia perubatan Barat.
Teori alternatif
Sebagai contoh, teori perubatan yang mengatakan
penyakit itu hadir kerana diserang kuman, virus atau kulat. Tetapi teori lain
mengatakan kita sakit kerana tubuh kita lemah. Sistem pertahanan kita lemah
yang menyebabkan kita tidak dapat melawan kuman itu, virus itu atau kulat itu.
Satu sistem pertahanan yang kuat sudah tentu tidak mampu ditakluk oleh
musuhnya. Jadi, sekiranya sistem pertahanan kita lemah, kita harus
memperkuatnya. Cuma persoalannya ialah: bagaimana? Para doktor dan saintis
kitalah yang harus memikirkannya.
Kira-kira 18 tahun yang lampau, para doktor
Barat terkejut terhadap penemuan mereka sendiri, iaitu kononnya ada suatu
penyakit yang ia tidak dapat kalahkan. Hal tersebut berlaku apabila seorang
aktor terkenal bernama Rock Hudson mengidap sejenis penyakit yang tidak mampu
ditangani dengan berkesan. Laporan yang dihantar kepada Pusat Pengawalan
Penyakit tersebut berkaitan dengan sejenis pneumonia yang jarang ditemui dan
dikatakan bermula di kawasan Los Angeles pada tahun 1981. Penyakit itu kita
kenali hari ini sebagai AIDS. Iaitu suatu penyakit yang bukan sahaja perubatan
moden tidak dapat memberi kesembuhan, malah hampir gagal mengawalnya.
Mengenai AIDS, salah satu buku teks
Principles of Anatomy and Physiology
yang diterbitkan di Amerika Syarikat menyebut, “Belum pernah lagi sains
berhadapan dengan sejenis epidemik di mana penyakit utamanya (primary
disease) ialah menurunkan sistem pertahanan pesakit, dan kemudian penyakit
yang tidak berkaitan yang kedua menghasilkan simptom-simptom yang mungkin
mengakibatkan kematian. Penyakit utama ini ialah acquired immune deficiency
syndrome (AIDS)”.
Padahal dalam keadaan mereka tercengang itu,
mereka lupa terhadap seorang Eropah yang pernah memaklumkan kepada mereka
mengenai teori penyakit dan kelemahan sistem pertahanan badan, iaitu Dr.
Samuel Hahnemann pengasas ilmu perubatan homeopati. Dr. Samuel Hahnemann
telahpun menyebut dengan berani dan tegas kira-kira 200 tahun sebelumnya
bahawa “Tanpa vital force, organisma
material tidak berupaya untuk dapat merasa, bertindak dan mempertahankan
dirinya. Tanpa vital force, tubuh akan mati….” (Organon,
10).
Justeru, Dr. Hahnemann telah menghabiskan
seluruh hayatnya bagi mencari pelbagai jenis remedi untuk tujuan memulihkan
vital force yang boleh memperkuatkan sistem pertahanan tubuh. Apabila
sistem pertahanan tubuh sudah kuat, segala ancaman sudah pasti dapat diperangi
sama ada ianya berupa AIDS maupun kudis diabetes. Malangnya, walaupun teori
beliau boleh diterima dan dipraktikkan, tetapi ia melibatkan sains dan sekali
gus sebagai suatu seni. Usahkan masyarakat dunia, sesetengah pengamal
homeopatipun sukar memahami dan mengamalnya dengan berkesan, justeru homeopati
tidak mempunyai ubat untuk penyakit tetapi ubat bagi pesakit sahaja. Walaupun
penyakit boleh dihilangkan apabila pesakit sembuh, tetapi mencari ubat sebagai
penawar untuk individu secara khusus itu cukup memeningkan dan mencabar
kewibawaan pengamalnya.
Saranan bersikap empati
Surgeri dan amputasi berada jauh dari pemikiran
Dr. Hahnemann untuk digunakan sebagai suatu kaedah rawatan. Padahal beliau
merupakan seorang lulusan ilmu perubatan moden yang digeruni. Mereka yang
membaca sejarah pencarian beliau untuk menemui suatu sistem perubatan yang
tulin, lembut dan berkesan dapat menyelami jiwa halus dan kemanusiaan tokoh
ini. Perasaan halus Dr. Samuel Hahnemann juga hidup di dalam sanubari para
doktor hari ini kiranya mereka mengamalkan sikap empati (empathy)
terhadap para pesakit. Namun siapakah yang sanggup mengamalkan moto beliau
bahawa perniagaan dalam bidang perubatan hanyalah menyembuhkan pesakit,
bukannya ringgit.
Dari segi ubat, tiada ubat yang seharusnya
menyebabkan pesakit derita. Demikian juga surgeri, kalau ianya tidak begitu
perlu. Lebih-lebih lagi amputasi. Amputasi meninggalkan kesan mental,
psikologi dan fizikal yang berpanjangan, bahkan hingga ke akhir hayat. Kalau
terpaksa, ia sepatutnya digunakan hanya sebagai jalan paling akhir, yang tidak
harus digunakan dengan begitu lumrah dan tanpa jaminan. Para doktor muslim
harus bergerak ke arah pemikiran yang sedemikian yang pada pendapat saya lebih
selari dengan kehendak Islam dan fitrah insan.
Barangkali sudah ramai para tokoh perubatan kita
yang mempunyai saranan pemikiran yang diutarakan di sini. Tetapi ianya perlu
diperkukuhkan lagi dan diperluaskan kepada yang lain. Ia juga tidak akan
berjaya kalau kita bergerak dari premis ‘perubatan untuk ringgit’ semata-mata.
Sudah sampai waktunya kita bukan sahaja berhenti kepada bersikap simpati,
malahan mengamalkan budaya empati. Kita juga perlu tukarkan amalan praktik
dalam ruang lingkup pemikiran perubatan Barat kepada justifikasi pemikiran
fitrah insan yang lebih terbuka. Dari sini, anjakan paradigma adalah sesuatu
yang mesti digerakkan segera.
* * *
TAJUK