BAWANG PUTIH,
BAWANG MERAH
DALAM
ILMU PERUBATAN
Oleh:
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD
Di
dalam masyarakat Melayu, “Bawang Putih Bawang Merah” mungkin popular sebagai
satu cerita penglipur lara yang banyak berunsur pengajaran. Ia juga merupakan
satu filem yang menarik untuk ditonton oleh seisi keluarga. Tetapi sama ada
kita sedari atau tidak, bawang putih dan bawang merah adalah dua sumber
tumbuhan yang memang ada disebut di dalam al-Qur’an.
Di dalam surah al-Baqarah ayat
61, petikan sebahagian daripada terjemahan ayatnya berbunyi begini:
“Dan ingatlah ketika kamu berkata:
“Wahai Musa, kami tidak dapat sabar dengan satu macam makanan saja. Sebab itu
mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu agar Dia mengeluarkan bagi kami
sebahagian dari apa yang ditumbuhkan bumi, iaitu dari: sayur-mayurnya,
mentimunnya, bawang putihnya, kacang dalnya dan bawang merahnya.”
Ayat di atas jelas menunjukkan
bahawa bawang putih dan bawang merah adalah di antara kurniaan Allah yang
menjadi keinginan dan kesukaan manusia. Di dalam ayat ini jelas kepada kita
bahawa ia merujuk kepada kaum Bani Israil, iaitu pengikut Nabi Musa. Kelazatan
makanan begitu menguasai benak mereka sehingga Nabi Musa mengherdik
pengikutnya kerana sanggup memberontak ingin menukarkan kelazatan dunia itu
dengan kebebasan dari perhambaan.
Kembali kepada tujuan tulisan
ini, kegunaan keduanya bukan sahaja setakat memperlengkapkan rempah ratus yang
digunakan di dalam masakan. Bahkan lebih daripada itu, ia sangat berguna bagi
kesihatan dan amalan perubatan. Banyak tulisan-tulisan yang menyebutkan bahawa
orang-orang yang bekerja untuk mendirikan piramid di mesir suatu waktu dahulu
mengambil khasiat bawang putih dan bawang merah sebagai amalan harian dan
menjaga kesihatan.
Dalam sejarah perubatan herba
yang paling awal, iaitu sejarah Mesir purba, nama
Allium sativum
atau bawang putih boleh ditemui dalam papyri perubatan (medical
papyri) yang disusun antara tahun 1500 hingga 1000 sebelum Masehi.
Daripada preskripsi-preskripsi yang dicatatkan di dalam “Ebers papyrus”,
ada disebutkan Allium
sativum (bawang putih)
sebagai agen efektif terhadap pelbagai gangguan termasuk sakit kepala, cacing
dan masalah jantung serta sirkulasi.
Di Greek, seorang
tokoh ilmu perubatan termasyhur yang bernama Hippocrates (460-357 SM)
mengesyorkan penggunaan bawang putih sebagai amalan dalam mengatasi
penyakit-penyakit infeksi dan ragam usus. Demikian juga di India, ia merupakan
salah satu bahan yang biasa digunakan di dalam perubatan tradisional Ayurveda.
Seorang naturopath semasa
dari Australia, iaitu Russel Setright menyatakan bahawa “bawang putih memberi
perlindungan terhadap demam selsema, penyakit-penyakit berjangkit seperti
tifoid dan disenteri, meningkatkan pengaliran air hempedu dalam hati, juga
boleh digunakan bagi merawat tuberkulosis, bronkitis dan lain-lain gangguan
pernafasan di samping merawat penyakit-penyakit usus. Ianya turut digunakan
dalam rawatan tekanan darah tinggi dan pengerasan arteri. Bawang putih juga
boleh mengurangkan kolesterol” (Get Well, 1990)
Antara kandungan
bawang putih yang bermanfaat bagi kesihatan ialah vitamin A, B1, B2 dan C
serta kuprum, sulfur, mangan, zat besi dan kalsium. Ia turut dilaporkan
sebagai mengandungi ramuan pengawalan kolesterol, antibiotik dan agen
antipembekuan darah semulajadi. Kemasyhuran khasiat dan luas penggunaannya
menyebabkan banyak syarikat-syarikat pada hari ini mengeluarkan pelbagai pil
garlic dengan berbagai-bagai jenama untuk pasaran.
Allium
Cepa atau bawang merah
tidaklah begitu popular seperti
Allium Sativum
dalam perubatan herba. Tetapi ia telah sama-sama memberi sumbangan dalam
perubatan sebagai bahan antiseptik, khususnya dalam melegakan sakit dan
inflamasi, seperti apabila terdapat kulit melecur akibat terbakar. Beberapa
kajian menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan keadaan hipertensi, kandungan
gula yang tinggi dalam darah, serta aras kolesterol dan kandungan lemak dalam
darah. Ia juga membantu melegakan sakit akibat banyak angin dalam usus.
Di dalam buku “Indigenous
Drugs of India”, pengarangnya menyatakan “Bawang merah melegakan saraf,
mengeluarkan kahak dari saluran bronkial dan melawan kegatalan. Ia biasa
dimakan mentah. Ia adalah ubat buasir, batuk dan selsema yang terkenal. Bila
dimasak dengan cuka ia berguna untuk sakit jantung, bengkak kura dan lebihan
asid dalam perut, juga bertindak melegakan sakit dan bengkak. Air perahannya
biasa digunakan untuk disapu kepada penyakit kulit, bisul dan gigitan serangga.
Bawang merah yang telah dibakar dan ditumbuk dapat digunakan untuk mengubati
kulit yang melecur, luka dan telinga menanah. Dicampur sedikit minyak ia dapat
digunakan untuk sakit sendi, bengkak-bengkak dan sakit kulit”.
Dari segi kandungan,
bawang merah dikatakan kaya dengan pelbagai vitamin termasuk vitamin B1 (thiamine),
B2 (riboflavin) dan C (ascorbic acid). Sesetengah ahli herba
mutakhir mendakwa aplikasi bawang merah boleh menghilangkan ketuat dan
mencegah jerawat. Mereka juga mendakwa bahawa ia boleh bertindak sebagai bahan
diuretik.
Para pengamal
homeopati mengambil khasiat daripada kedua sumber herba ini dengan cara
memperkuatkan kuasa menerusi proses dinamisasi yang diajar oleh Dr. Samuel
Hahnemann. Daripada hasil usaha itu, lahirlah tinktur homeopati yang dikenali
dengan nama penawar Allium
sativum
dan
Allium cepa
dalam pelbagai potensi. Untuk mengetahui keberkesanannya di dalam rawatan,
kedua-dua bahan itu telah dibuktikan secara homeopati menerusi proses “proving”
ke atas manusia yang sihat.
Di dalam Materia
Medica With Repertory karangan Dr. William Boericke, beliau menyatakan
Allium sativum
dalam bentuk potensi bertindak secara langsung ke atas membran mukus intestin
serta meningkatkan peristalsis. Ia berguna bagi sakit perut memulas dan
menurunkan tekanan darah. Ia sesuai bagi pesakit yang makan lebih daripada
minum, terutamanya daging. Pesakit tuberkulosis pulmonari juga boleh mengambil
manfaat daripadanya sekiranya simptom-simptom yang dipaparkan adalah seraksi.
Dari sudut perubatan
homeopati, Allium cepa
pula dinyatakan sebagai penawar penting kerana kesannya yang jelas terhadap
kataral, mata, hidung dan larinks. Terdapat simptom panas membakar pada
bahagian-bahagian di atas serta saraf rasa sakit. Perbandingan kesan
terapeutik Allium cepa
adalah sebagaimana keadaan apabila seseorang itu terkena percikan jusnya
semasa menghiris bawang merah untuk memasak di dapur.
Allium cepa
boleh dipreskripsi untuk demam jerami serta turut digunakan bagi merawat
koriza yang diiringi simptom-simptom laringial dan discaj hidung yang menusuk
pedih. Simtom minda pesakit biasanya menunjukkan pesakit cenderung berada
dalam keadaan gelisah dan keliru. Pesakit juga tidak tahan berada dalam cuaca
sejuk dan lembap.
WaLlahu a’lam.
(Dakwah,
September 2000)
TAJUK