![]() |
| |||||||||||||||||||||||||||
|
PENJAGAAN
dan rawatan muka yang betul dapat mengelakkan jerawat. - Gambar
hiasan.
Oleh Rahana MD Ramai menyangka ia hanya menyerang bahagian wajah semata-mata, sedangkan dari sudut perubatan, jerawat dirujuk sebagai keradangan kelenjar sebum yang boleh mengakibatkan kemerahan pada kulit muka, belakang dan dada. Istilah lain yang biasa digunakan ialah akne atau akne vulgaris. Pengamal perubatan homeopati dari HBI Health & Homoeopathy (correction for homeoteraphy) Centre, Dr. Mohammad Hatta Abu Bakar menjelaskan, sebab atau punca sebenar timbulnya jerawat tidak diketahui dengan pasti. Namun katanya, antara sebab utama yang biasa disebut ialah ketidakseimbangan hormon di dalam badan. ``Faktor-faktor lain yang sering dikaitkan dengan kemunculan jerawat ialah keturunan, bakteria, tekanan psikologi yang keterlaluan dan juga cuaca. ``Kulit yang terdedah kepada bahan kimia tertentu juga merangsang kehadirannya,'' jelasnya Menurut Dr. Mohammad Hatta, jerawat timbul lebih ketara di kalangan remaja atau mereka yang baru mencapai usia baligh. Fenomena ini katanya, lazim dikaitkan dengan pengeluaran hormon androgen semasa kanak-kanak meningkat remaja dan peningkatan sensitiviti organ terhadap hormon berkenaan. Namun, ini tidak bermakna anak-anak dan orang dewasa bebas daripada serangan jerawat. ``Kaum lelaki sebenarnya lebih mudah terdedah kepada jerawat berbanding wanita. Bagaimanapun, bagi wanita, jerawat mungkin bertambah apabila datang haid atau hamil. ``Hasil statistik menunjukkan jerawat tidak memilih kumpulan orang. Ia mungkin timbul sebagai jerawat hitam. ``Namun boleh juga muncul kepada suatu keadaan yang sangat teruk dan biasanya dikenali sebagai akne sistik atau jerawat batu,'' jelasnya. Menurut beliau lagi, orang ramai sering mengaitkan makanan tertentu seperti udang, ayam, kacang, coklat atau makanan berminyak boleh menyebabkan timbul masalah jerawat. Katanya, walaupun tidak ada kajian saintifik membuktikan dakwaan tersebut, tetapi laporan melalui pengalaman individu menunjukkan adanya perkaitan di antara makanan tertentu dengan timbulnya jerawat secara serius. Selain itu menurutnya, terdapat sesetengah jenis ubat yang boleh merangsang timbulnya jerawat. Dalam hal ini, unsur alergi individu terhadap ubatan-ubatan tertentu memainkan peranan. ``Bagi sesetengah kes yang lebih teruk, pesakit khususnya anak-anak muda bukan setakat bimbangkan parut jerawat, tetapi ada yang berasa teramat malu dan hilang keyakinan diri. ``Satu kaedah alternatif bagi mengatasi masalah ini dengan menyarankan pesakit membasuh kulit dengan sabun berubat bagi melegakan jerawat,'' katanya. Beliau mengingatkan, bagi yang suka memicit jerawat perlu berhati-hati agar tidak berlaku jangkitan menyebabkan jerawat merebak di tempat lain. Katanya, jangkitan boleh dihalang dengan mencuci segera kawasan tersebut menggunakan losyen daripada tinktur Calendula. ``Ia adalah penawar yang biasa digunakan di dalam rawatan herba dan homeopati. Hanya ambil sesudu tinktur Calendula dan bancuh dengan segelas air. Hasilnya, satu losyen antiseptik yang berkesan bagi merawat tompok jerawat yang dipicit atau dicungkil,'' jelasnya. Menurutnya lagi, ramai pengamal homeopati menggunakan remedi biokimia bagi tujuan memperbaiki kulit yang rosak akibat jerawat. Penawar yang dimaksudkan ialah Kalium 6x, Calcarea sulph 6x dan Kalium suph 6x. Ia selalunya dipreskripsi tiga atau empat kali sehari oleh pengamal homeopati. ``Tindakan kedua-dua remedi biokimia ini agak lembut dan sesuai bagi mereka yang ingin mengelakkan daripada berlakunya agravasi, iaitu kemelaratan di peringkat awal rawatan. ``Bagi kes-kes yang kronik, pesakit digalakkan berjumpa dengan pengamal yang pakar dalam bidang perubatan alternatif berkenaan,'' katanya. Penawar yang biasa diprekripsi oleh pengamal homoepati selepas konsultasi termasuklah Hepar sulph. Silicea. Belladonna, Bromium, Rhus tox, Psorinum dan Sulphur. Setiap satu penawar di atas diberikan dalam bentuk potensi homeopati mengikut dos yang bersesuaian, jelasnya Katanya lagi, pesakit yang kronik perlu memberikan kerjasama penuh bagi memudahkan rawatan. ``Sekiranya pesakit mempunyai jerawat berpustul yang mengalami keradangan serta melarat akan dicuci dan dirawat dengan Sulphur,'' katanya Bagaimanapun menurut Dr. Mohammad Hatta, pesakit biasanya tidak perlu tahu nama ubat kerana urusan pemilihan penawar adalah termasuk dalam bidang kepakaran golongan yang mempraktikkan homeopati klasik secara jujur. Selain rawatan, pesakit disyorkan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan bersesuaian. Jika pesakit sendiri mengenal pasti makanan yang menyebabkan jerawat melarat, sewajarnya ia dielakkan. Laman web Malaysia Homeopathy Cyber Library boleh kunjungi di http://go.to/homeolibrary ( correction of original article: http://go.to/homeopathy). |
|||||||||||||||||||||||||||
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala
Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my