Laman Berita

 

(Berita Utama Perubatan Homeopathy / Alternatif / Komplimentari / Tradisional)

 

 

 

Tanam herba di kawasan rumah

23/01/2011 Utusan Malaysia

PONTIAN 22 Jan. - Herba memang terkenal dalam perubatan tradisional Melayu sejak zaman dahulu, malah hingga kini ia masih mendapat tempat dalam aspek perubatan dan kesihatan masyarakat pelbagai kaum.

Biarpun mendapat saingan hebat daripada ubat moden, namun perubatan Melayu yang menggunakan herba masih kekal sehingga kini.

Seorang pengamal perubatan tradisional, Hasrin Abu Bakar, 41, berkata, ramai masyarakat yang mencuba rawatan tradisional menggunakan pelbagai herba apabila perubatan moden gagal menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

"Meskipun rawatan moden menjadi pilihan pada masa ini, namun perawatan dengan penggunaan herba tetap menjadi pilihan kedua disebabkan keberkesanannya," katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Tanjung Ayer Hitam di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dengan hanya mencampurkan beberapa jenis akar kayu, daun, bunga serta buah tanaman herba yang disukat betul, ia direbus dan diberi minum kepada pesakit.

Namun, ramuan dan bahan-bahan itu harus dirujuk terlebih dahulu pada yang lebih arif mengenai herba agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya.

Bagi memenuhi keperluan keadah rawatannya, Hasrin turut menanam pelbagai pokok herba taman herba miliknya seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Mahkota Dewa, Tunjuk langit, Beras Hancur dan Misai Kucing selain Ubi Galak Tua, Ubi Jaga dan Pecah Kaca.

"Selain itu, saya berpuas hati kerana mencari sendiri herba di hutan, mengumpul dan menyemainya di halaman rumah, sehinggalah ia membuahkan hasil pada hari ini," katanya.

Selain itu, Hasrin turut memasarkan benih pelbagai pokok herba dan yang telah siap dikeringkan.

Sementara itu isterinya, Halimah Muhamad, 42, turut membantu suaminya menanam tumbuhan herba berkenaan kerana ia memang menjadi sumber pendapatan keluarga selama ini.

"Herba jika mahir menggunakannya akan mendatangkan manfaat dan sekali gus membawa keuntungan," katanya.

Selain isteri, Hasrin turut dibantu salah seorang anaknya, Haslizulnaim, 13, untuk menanam dan menjaga tanaman herba berkenaan.

"Kini banyak pokok herba yang saya kenali dan khasiatnya kepada kesihatan," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai herba dan rawatan daripada Hasrin boleh berkunjung ke Pasar Tani Pontian setiap Ahad.

Relaks di Palm Spa 9/2/2011

BUKAN semua penyakit boleh dirawat dengan perubatan alopathy (hospital) semata-mata, terutamanya berkaitan tekanan harian. Walaupun jabatan psikiatri wujud untuk membantu kes-kes berkaitan gangguan perasaan, rawatan komplimentari seperti spa boleh memaksimumkan kesembuhan.

Malah mendapatkan rawatan di spa juga terbukti dalam memberi kelegaan untuk fizikal dan rohani. Apabila mendapatkan rawatan urutan contohnya, perjalanan darah akan lebih lancar, dan otot-otot yang selama ini tegang kerana pelbagai masalah dapat dikendurkan. Ia sekali gus memberikan kelegaan dan minda yang layu dapat disegarkan.

Apalah sangat ertinya memperuntukkan sejumlah bajet untuk kebaikan diri sendiri juga. Penulis juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan bagi setiap wanita yang bekerja agar mengenepikan sedikit bajet untuk rawatan spa pada setiap bulan.

Penulis sempat berkunjung dan merasai sendiri rawatan di Palm Spa yang terletak tingkat lapan di Hotel Palm Garden, IOI Resort, Putrajaya.

Ketepikan urusan kerja dan yang memang tidak pernah berkesudahan. Larikan diri dari kesesakan jalan raya dan gantikan dengan bunyi deruan ombak serta siulan burung di hutan yang mendamaikan dari sistem audio bunyi yang disediakan.

Dengan penataan cahaya samar dan suasana yang selesa pasti memberikan anda satu perasaan positif serta semangat baru. Sambil itu nikmati urutan jari jemari halus lembut yang sungguh melegakan dari ahli terapi spa terlatih.

 
HAJAT hati sudah lama ingin mencuba. Namun, rasa takut menguasai diri. Reaksi beberapa teman yang menjadikan rawatan itu sebagai amalan, ia tidak sakit malah badan terasa lebih ringan dan bertenaga.

Akhirnya diri digagahkan juga untuk merasa sendiri bagaimana akupuntur dilakukan. Empat tusukan jarum halus, dua di bahagian tangan dan dua di kaki, pada mulanya hanya seakan gigitan semut. Ia hilang tidak lama kemudian, namun perasaan debar masih bersisa.

Selepas 30 minit mencuba, ternyata ia tidak sakit seperti disangka dan kesannya - urat saraf terasa seperti ‘dicaj’ semula.

Pengamal Homeopati, Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, berkata, rawatan akupunktur sebenarnya berfungsi meredakan kesakitan terutama yang berkaitan dengan saraf tanpa menggunakan sebarang dadah atau racun.

“Tidak semestinya berpenyakit, akupunktur juga ibarat satu terapi yang baik untuk kesihatan menyeluruh. Ia hanyalah rawatan alternatif dan yang paling penting, tidak memudaratkan badan” katanya yang bertugas di Pusat Homeopati dan Akupunktur Dr. Nik Omar di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau yang telah bertugas lebih tiga tahun di situ berkata, rawatan jenis itu telah diamalkan dalam perubatan China sejak 4000 tahun dahulu untuk merangsang urat saraf dan dipercayai mampu membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Namun katanya, perubatan cara akupuntur mengambil masa yang lama dan kadangkala ia digabungkan bersama homeopati.

Antara pesakit yang biasa mendapatkan

rawatan akupunktur adalah migrain, lumpuh muka (bell palsy), sakit pinggang, slip disc, sakit lutut di kalangan orang tua, gastrik, senggugut, kebas kaki atau tangan dan sebagainya.

Kata Shafiqa, rawatan yang diberi biasanya mengikut simptom yang dinyatakan pesakit. Setelah mengenalpasti bahagian tubuh yang dinyatakan, tusukan jarum dibuat selama 30 hingga 45 minit bergantung pada pesakit.

“Untuk mereka yang pertama kali datang, kita akan buat sekitar enam hingga 10 batang jarum. Bagi mereka yang berpenyakit serius pula, stimulator elektrik mungkin dipasang untuk menambah rangsangan pada jarum,” katanya.

Akupunktur juga kata beliau sesuai untuk kanak-kanak asalkan mereka boleh duduk diam sepanjang rawatan. Namun, Shafiqa tidak mengesyorkan ibu-ibu mengandung terutama tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir untuk melakukannya.

“Satu lagi untuk mereka yang ingin mencuba, buangkan rasa takut kerana kadangkala ia boleh menyebabkan rasa sakit bila kita stres kerana badan kita menjadi tegang,” tambahnya lagi.

Testimonial

Adik Afiq Irfan Abdul Rashid berusia lima tahun mengalami autisme peringkat ringan. Menurut ibunya, Hanifah Abdullah, perkembangan Afiq agak berbeza berbanding dengan dua orang abangnya.

“Dia lambat bertutur dan tidak suka berkomunikasi. Dia juga tidak gemar kepada aktiviti melibatkan kemahiran motor seperti menulis dan melukis,” kata wanita itu.

Disebabkan risau dengan keadaan itu, Hanifah membawa anaknya menjalani ujian khas dan pakar mengesahkan anak itu mengalami masalah tersebut.

Beberapa penyelesaian disorkan,antaranya Afiq dihantar ke sekolah bagi membiasakan dia bergaul dengan rakan sebaya. Dia juga menjalani terapi pertuturan dan kemahiran motor di salah sebuah hospital terkemuka.

Melalui pembacaan Internet, Hanifah mengetahui manfaat akupunktur yang mampu merangsang saraf individu. Tanpa berlengah, dia membawa anaknya mendapatkan rawatan akupuntur di Pusat Rawatan Homeopati dan Akupunktur, Dr. Nik Omar akhir tahun lalu.

Afiq menjalani rawatan setiap minggu. Menurut ibunya, ketika pertama kali menerima rawatan, anak bongsunya itu langsung tidak menunjukkan reaksi ketika jarum akupuntur ditusuk di kepalanya.

“Namun kini, Afiq mula menunjukkan tindak balas seperti rasa sakit. Kami yakin ia petunjuk yang baik,” kata beliau.

Hanifah juga gembira kerana Afiq kini sudah menunjukkan banyak peningkatan hasil mengikuti terapi pertuturan, menghadiri kelas di samping mendapatkan rawatan akupunktur.

Menurut Shafiqa yang menjalankan rawatan akupuntur kepada Afiq, jarum yang diberi pada kanak-kanak itu sekitar empat hingga lima batang setiap rawatan.

“Disebabkan dia leka bermain permainan video, dia boleh bertahan lebih kurang 30 minit sepanjang rawatan. Jika tidak, sekadar 15 minit sudah mencukupi,” katanya.

 

Homeopati rawat secara holistik

MASIH ramai yang tidak tahu mengenai apa sebenarnya perubatan homeopati. Justeru kami sangat berharap satu rang undang-undang mengenainya akan diluluskan supaya tidak ada yang tertipu," kata Pengerusi Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), Zainul Azmi Ahmad.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini berkata, perubatan homeopati bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia kerana ia sudah bertapak selepas perang dunia kedua lagi.

Menurut beliau, perubatan alternatif itu dibawa oleh Kolonel Sheikh Amin Rajah, iaitu seorang pegawai perubatan tentera British sekitar tahun 1930-an lagi di Singapura. Ketika itu ia digunakan bagi merawat tentera yang sakit dan juga cedera ketika perang.

Selepas itu, tokoh politik terkenal, Dr. Burhanuddeen Helmi pula meneruskan rawatan tersebut sehinggalah ia dibawa ke Kuala Lumpur pada tahun 1960-an dan berkembang dengan pesat ke seluruh negara.

Mengimbas asal-usul perubatan homeopati kata beliau, ia diasaskan oleh Dr. Samuel Hahnemann sekitar abad ke 18 di Jerman dan kemudian ia berkembang ke seluruh Eropah. Banyak peristiwa membuktikan rawatan itu berkesan menyembuhkan penyakit. Antaranya Perang Leipsig yang berlaku pada 1813 melibatkan tentera Napolean Bonaparte mengalami typhoid ketika kembali ke Perancis. Sebanyak 180 daripada mereka berjaya dirawat oleh Hahnemann dan hanya seorang menemui maut.

Selepas kematian Hahnemann, kaedah homeopati tersebar di seluruh dunia malah rawatan jenis itu turut diluluskan di Parlimen United Kingdom, India dan Pakistan.

Rawatan

"Homeopati adalah rawatan secara holistik dan bersifat individualistik. Tiada dua orang yang mengalami keadaan yang sama. Kita boleh bercakap mengenai sakit kepala contohnya, namun puncanya tidak sama," kata beliau.

Bercakap mengenai rawatan yang diberikan kata Zainal Azmi, ia lebih kepada penawar yang diberikan berdasarkan keperluan seseorang. Pengamal homeopati katanya akan mengenal pasti punca kesakitan terlebih dahulu dan latar seseorang sebelum sesuatu penawar diberi.

Ia berdasarkan kepada Prinsip Kesamaan yang bermaksud apabila simptom penyakit dikenalpasti berpandukan simptom yang dialami oleh individu sihat ketika tempoh percubaan rawatan, maka ia dirawat dengan cara memperbaiki dan menghilangkan simptom penyakit selepas diberi penawar yang spesifik.

"Sebagai contoh pengambilan allium cepa (bahan terdapat dalam bawang merah) oleh individu sihat, lalu simptom viral rhinitis dan demam biasa dikenalpasti wujud. Justeru dengan pengambilan sedikit dos allium cepa oleh mereka yang mengalami viral rhinitis mampu menghilangkan keadaan tersebut," katanya.

Beliau tidak menafikan homeopati sememangnya bukan penawar segala penyakit kerana ia mempunyai batas-batas tertentu. Misalnya penyakit berkaitan dengan jantung yang semestinya memerlukan pembedahan. Begitu juga akibat kemalangan dan sebagainya.

Namun bagi sesetengah penyakit kronik yang jika dirawat dari awal menggunakan pendekatan homeopati, ia mampu menyekat penularan penyakit secara perlahan-lahan dan seterusnya tidak mustahil mampu menyembuhkan.

"Kadangkala pesakit datang kepada kita bila keadaan sudah berada pada tahap kritikal. Memang kita tak mampu untuk berbuat apa-apa," kata beliau yang mempunyai klinik homeopati sendiri di Alor Setar, Kedah.

Bercakap mengenai ubat atau lebih tepat disebut penawar yang diberikan jelas beliau, ia berdasarkan kepada sumber tumbuh-tumbuhan dan tidak mengandungi dadah. Jenis-jenis rawatan ubat makan berbentuk tablet, globul, kapsul dan sirap. Kadangkala untuk rawatan tertentu, krim dan losyen turut digunakan.

Di negara Barat kata beliau, terdapat juga rawatan homeopati dalam bentuk suntikan tetapi tidak di Malaysia.

Perubatan komplimentari

Dalam usaha memartabatkan rawatan homeopati sebagai perubatan alternatif dan komplimentari kata Zainul Azmi, pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan undang-undang mengenainya diluluskan dalam masa terdekat.

"Kami mahu homeopati menjadi salah satu rawatan yang dipercayai dan tidak ada lagi pihak yang menjalankan penipuan atas nama rawatan ini untuk mencari keuntungan peribadi," kata beliau.

Selain itu menurutnya, pihak MPHM juga katanya akan menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai homeopati yang bakal diadakan pada Julai nanti.

Pada persidangan tersebut, pakar-pakar homeopati dari seluruh dunia akan berkumpul untuk berkongsi maklumat dan pendedahan mengenai rawatan tersebut.

Antara yang menarik perhatian katanya jurucakap dari Cuba yang akan berkongsi pengalaman perubatan homeopati dalam merawat masalah virus leptospirosis di negara tersebut. Disebabkan berstatus negara dunia ketiga, keterbatasan kewangan menyebabkan pakar-pakar di situ cuba mendapatkan rawatan alternatif dalam mengekang sesetengah penyakit.

"Sebenarnya rawatan homeopati sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia. Malah jika ke negara seberang, rawatan ini dianggap mewah dan mereka yang mampu sahaja mendapatkannya," kata beliau.

 

Homeopathic Education at Cyberjaya University College of Medical Science

Friday, May 20, 2011

International Conference on Homeopathy 15-17 July 2011

 

To All Health Care Professionals/ Complementary Medicine Practitioners/ Homeopaths/ Researchers/ Academicians/

Pharmacists/ Public and Private Hospitals Personnel/ Medical & Nursing Students You might be asking yourself why you are receiving this invitation to attend a conference on Homeopathy especially when you have read a lot about Homeopathy being mere placebo or you are already convinced about Homeopathy and do not need any evidence . You may also be a little exasperated that your patients and customers have been going to see homeopaths or you may be a homeopath who is upset that patients are skeptical about homeopathy. 


 

What may then surprise you is the list of speakers for this conference. All of the speakers have either a medical degree or at least a Masters in Medical Science besides their homeopathy qualifications.  Many of the speakers are university professors and lecturers with many published papers to their names. One of them is Physician to the Queen of England and another is advisor to the President of Cuba and a Director of the Finlay institute which is a well-respected manufacturer and researcher for conventional vaccines. You may then wonder what these heavily credentialed professionals had to say about Homeopathy that you do not already know.  This then may be a good reason for you to attend this conference besides it being is the first one organized in Malaysia and one of the few in the world which is going to be officiated by a government minister. 
 

Luc Montaigner, the scientist who discovered the HIV virus moved to China to continue his research on Electromagnetic Signals produced by bacteria in high dilution liquids. His research seems be pointing to how Homeopathic Medicine is made and it may well be that his research could be moving in the the direction of validating Homeopathy. China, like Cuba is searching for a cheaper alternative to the escalating costs of providing healthcare to its teeming population. Homeopathic medicine is considerably cheaper than conventional drugs.What are the implications of all this to you, in the health care industry in Malaysia? This conference may well provide you with some answers.


 

 Find out the latest authentic scientific research on homeopathy and take the opportunity to interact with homeopathic practitioners from across the country and the world.

Learn the science of homeopathy which now is the second most practiced form of complementary medicine in the world.

 

Objectives of the Conference:

• To disseminate the latest research findings on Homeopathy.

• To promote the integration of Homeopathy into mainstream health care.

• To update on the supportive role of Homeopathy in treating epidemic diseases.

• To update on the role of Homeopathy in the treatment of chronic diseases and cancer.

• To provide a platform for the sharing of information and views on Homeopathy in Malaysia & abroad.


  To register, please complete the attached registration form or download it from ICHOM website. 


Group registration (minimum of 3) is entitled to 10% discount.  http://bachelorhomeopathy.blogspot.com/2011/05/to-all-health-care-professionals.html

 

USM dan universiti Indonesia kaji khasiat madu 

09/06/2011

KOTA BHARU 8 Jun - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin Makasar, Indonesia, melibatkan penyelidikan saintifik mengenai khasiat madu lebah tempatan sebagai sumber penjagaan kesihatan.

Pada majlis itu, USM diwakili oleh Pengarah Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, manakala Universitas Hasanuddin diwakili oleh Pembantu Rektor Bidang Akademiknya, D.A Suriamiharja.

USM turut menandatangani MoU dengan syarikat Aifa Health Sdn. Bhd., yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Aisan Fadhli Ab. Halim bagi membiayai sebahagian penyelidikan tersebut.

Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Penyelaras Penyelidikan Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Kampus Kesihatan, Prof. Madya Dr. Siti Amrah Sulaiman dan Penyelaras Projek, Prof. Syed Mohsin Sahil Jamalullail.

Sementara itu, Dr. Mafauzy dalam ucapannya berkata, USM menggalakkan pensyarah dan pelajarnya mempelopori strategi teknologi hijau dengan menjalankan penyelidikan bagi membantu golongan miskin.

Beliau berkata, bagi penyelidikan berasaskan madu, USM menyediakan lebih RM2 juta geran penyelidikan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak lima tahun lalu.

Selain itu katanya, USM juga meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat bagi penyelidikan projek ternakan lebah kelulut sebagai sumber pendapatan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Hasil penyelidikan itu memberi nilai tambah kepada madu tempatan menyebabkan permintaan melebihi bekalan. Ini kerana, madu lebah diketahui mengandungi bahan anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan," katanya.

Mengenai MoU yang dimeterai, beliau berkata, sebahagian besar penyelidikan akan dijalankan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan syarikat Aifa Health secara prinsipnya bersetuju menyumbangkan dana untuk mengadakan makmal efikasi praklinikal bagi tujuan tersebut.

Beliau sehubungan itu menyarankan pensyarah dan penyelidik USM menjalin kerjasama dengan penyelidik dari dalam dan luar negara bagi meningkatkan kualiti penyelidikan

 

Middlesex University buka cawangan di Ipoh

27/07/2011
IPOH 26 Julai - Middlesex University, sebuah universiti yang berpusat di London bakal membuka kampus cawangannya di Perak Medi Super Coridor (PMSC) yang akan dibangunkan oleh Mutiara Healthtech Sdn. Bhd. pada suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Mutiara Healthtech Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Ghouse Mohd. Noor berkata, ia bakal menawarkan kursus di peringkat siswazah dan pasca siswazah dalam pelbagai bidang.

"Kita telah bertemu dengan Timbalan Naib Canselor Antarabangsa Middlesex University, Prof. Dr. Terry Butland pada awal tahun ini dan telah menyatakan kesungguhan kami untuk membangunkan kampus cawangannya di Malaysia.

"Kita berharap PMSC bukan sahaja akan dikenali sebagai kawasan pelancongan perubatan yang komprehensif dan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, tetapi juga mempunyai sebuah universiti swasta terkemuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mutiara Healthtech Sdn. Bhd. dan Middlesex University bagi penubuhan cawangan kampus tersebut di Perak di sini, semalam.

Kumpulan Mutiara Healthtech diwakili oleh Mohd. Ghouse sementara Middlesex University pula diketuai oleh Pro Naib Canselornya, Prof. Dr. R. Gill sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Beta Mutiara Corporation Berhad, Datuk Bahadon Ariffin.

Projek PMSC berkeluasan 473 hektar di bawah pembiayaan Elaf Bank, Bahrain bernilai kira-kira RM1.35 bilion bakal dibangunkan di sepanjang jalan menuju ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai yang hanya mengambil perjalanan 15 minit dari bandar raya Ipoh.

PSMC yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan sebagai kawasan perlancongan perubatan di Perak akan memberi keutamaan kepada pemeliharaan alam semula jadi sesuai dengan tapak lokasinya yang berdekatan dengan air panas Sungai Anak Ayer China serta beberapa air terjun seperti Chelik dan Lubuk Timah.

Fasa pertama pembangunan PSMC yang dijangka mengambil masa selama dua tahun setengah akan menyaksikan pembinaan hospital pakar dilengkapi 120 katil diikuti oleh pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan komplimentari.

Selain menempatkan kampus cawangan Middlesex University di situ, ia juga akan dilengkapi dengan resort kesihatan termasuk hotel dan kawasan perumahan.

Sementara itu, Gill berkata, pembinaan kampus cawangan Middlesex University di atas tanah seluas 20 hektar bagi fasa pertama di PSMC akan menjadikan ia sebagai kampus antarabangsa keempat selepas Dubai, Mauritius dan India.

Menurutnya, Middlesex University di London kini mempunyai 22,000 penuntut dari 130 negara.

 

Rawat kanser di hospital   02/08/2011

KOTA BHARU 1 Ogos - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini sedang mencari pendekatan untuk menarik orang ramai, khasnya pesakit kanser, supaya mendapatkan rawatan awal di hospital dan tidak bergantung kepada bomoh.

Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidon Kamari berkata ini kerana terdapat pesakit kanser hanya mendapatkan rawatan bomoh kampung dan dibawa ke hospital setelah penyakit mereka berada pada tahap empat atau tahap kritikal.

"Kita sedang mencari pendekatan terbaik bagi menarik orang ramai, khasnya pesakit kanser, mendapat rawatan awal di hospital kerajaan," katanya kepada Bernama di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan dan Pakar Onkologi dan Radio Terapi, Prof Dr Biswa Mohan Biswal.

Dr. Zaidon berkata, dari tahun 1999 hingga 2003, terdapat 3,744 pesakit kanser dikesan di negeri ini dan 88 peratus daripadanya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Kebanyakan mereka adalah penghidap kanser paru-paru, payu dara dan kanser usus.

Beliau berkata sebagai hospital pakar yang menjadi pusat rujukan kepada hospital lain, termasuk seluruh Pantai Timur dan sebahagian Pantai Barat, HUSM mempunyai peralatan dan pakar yang cukup untuk merawat pesakit itu.

"Kita mempunyai dua pakar onkologi dan dua pakar perubatan fizik bagi merawat pesakit di samping peralatan rawatan canggih bernilai berjuta ringgit, tetapi masih ramai rakyat Kelantan yang tidak memanfaatkan kemudahan itu," katanya dan menyatakan sebuah mesin rawatan pesakit kanser terbaru iaitu 'Linear Accelerator' bernilai RM7 juta disediakan di hospital itu.

Prof. Dr. Baswari berkata, antara 80 peratus hingga 90 peratus pesakit kanser dapat disembuhkan menerusi rawatan disediakan HUSM jika mereka merawat kanser mereka di peringkat awal.

"Manakala 0 hingga 10 peratus peluang dapat disembuhkan apabila mereka berada pada tahap empat atau paling kritikal," katanya.

Pada masa ini, HUSM mengendalikan 541 kes rawatan baru pesakit kanser dan ini tidak termasuk 3,837 kes berulang, kata beliau. — BERNAMA

 

Ar-Rayyan hanya untuk yang berpuasa

Utusan Malaysia:             04/08/2011

ALLAH tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan puasa memberi banyak faedah kepada kesihatan. Salah seorang daripada sarjana moden yang membuat kajian tentang puasa ialah, Allan Cott. Beliau telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu memuatkannya dalam sebuah buku Why Fast iaitu pelbagai hikmah puasa.

Puasa adalah amalan sejagat. Bukan umat Nabi Muhammad SAW sahaja disyariatkan berpuasa. Bahkan umat-umat Nabi terdahulu juga berpuasa tetapi dengan tata cara yang berbeza.

Begitu juga dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya mereka menahan diri daripada makan dan minum apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu.

Pun begitu ia tidak bermakna darjat dan status puasa orang Islam setaraf dengan puasa-puasa yang lain. Puasa yang benar menurut perintah Allah dan aturan Nabi memiliki banyak keutamaan dan kelebihan:

DALAM sebuah hadis Nabi menjelaskan lima kelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu.

"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

SEBAGAI dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa'd)."

ALLAH juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus..."

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa'id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

ANTARA keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

PUASA adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, "Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun." (Hadis Imam Nasa'i disahihkah oleh Syaikh al-Albani).

Pernah suatu ketika seorang pemuda yang mahu menikah datang bertemu dengan Nabi. Oleh kerana kekurangan upaya nafkah untuk menikah, maka Nabi menyuruh lelaki ini berpuasa buat mengekang nafsunya.

Ustaz Abdullah al-Qari Haji Salleh pernah menulis sebuah buku khusus menghimpunkan kelebihan puasa sunat dan puasa secara umum. Buku beliau diberi judul, Kelebihan dan Rahsia Puasa Sunat Menurut Sunnah Nabi SAW.

 

Manfaat herba hutan Malaysia

MASYARAKAT dahulu kala sangat bergantung kepada alam semula jadi dalam kehidupan harian mereka. Nenek moyang kita dulu merebus akar tongkat ali untuk menambah tenaga ketika bekerja, mereka memakan ulam-ulaman yang membantu memberi khasiat secara dalaman.

Namun dek kerana arus kemodenan, amalan itu semakin dipinggirkan.

“Herba Malaysia mempunyai banyak manfaat dari segi kesihatan dan kecantikan. Pelbagai kajian telah membuktikan, hanya kita yang tidak pandai mengetengahkannya,” kata Safinah Yaakub.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas pameran herba tempatan terbesar Herbal Asia berkata, manfaat herba sepatutnya digunakan sepenuhnya dalam kebanyakan aktiviti harian terutama untuk perubatan dan kecantikan. Tambahan lagi, industri spa yang semakin berkembang hingga ke seluruh pelosok dunia.

Menurutnya, herba atau produk herba banyak digunakan sebagai ubat-ubatan sampingan atau sebagai bahan alternatif untuk meningkatkan kesihatan dan melawan penyakit. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan yang menyediakan perubatan tradisional seperti aromaterapi, qi-gong, refleksologi, terapi ozon dan sebagainya.

Diamalkan

‘‘Ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dianggarkan melebihi 1,000 jenis tumbuhan. Contohnya termasuklah tongkat ali, kacip fatimah, sirih, misai kucing, lilit memanjat seruntum, daun inai, mengkudu, pegaga, kecubung, hempedu bumi, dukung anak, Cina maki dan sebagainya,’’ kata Safinah.

Kesemua jenis tumbuhan dan herba tersebut amat bernilai dan mempunyai khasiat yang tinggi.

Jika masyarakat Arab dan India boleh berbangga dengan herba jintan hitam yang tumbuh di tanah mereka katanya, mengapa tidak kita berbangga dengan produk tempatan yang sebenarnya mampu mengubati 1,001 jenis penyakit.

“Hari ini, banyak syarikat farmaseutikal yang sudah memanfaatkan penggunaan herba dari sumber alam tropika yang kaya ini untuk dikomersialkan’’, kata Safinah.

Malah, di Malaysia sendiri katanya, para penyelidik sudah mengkaji 1,500 jenis pokok dan tumbuhan hutan untuk mengenal pasti kemungkinan nilai perubatan yang ada padanya. Dalam masyarakat Orang Asli dan di kalangan orang Melayu, khasiat tumbuh-tumbuhan hutan yang hidup liar sudah dikenalpasti sejak sekian lama. Apa yang diperlukan adalah memanfaatkannya secara komersial.

‘‘Justeru, potensi sumber asli seperti herba cukup luas dalam memperkenalkan produk-produk alternatif kesihatan dan perubatan,’’ kata Safinah.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja katanya, jutaan ringgit diperuntukkan setiap tahun untuk menghasilkan makanan kesihatan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Dianggarkan, sebanyak 20 hingga 50 peratus penduduk di negara membangun bergantung kepada perubatan alternatif dan komplimentari berasaskan tumbuhan. Fenomena yang sama juga ditunjukkan oleh negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan juga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa permintaan global terkini terhadap tumbuh-tumbuhan ubatan sekitar AS$14 bilion setahun dan menjangkakan permintaannya akan terus meningkat menjelang 2050 menjadi AS$5 trilion. Angka ini jelas membuktikan bahawa pasaran herba mempunyai potensi dan peluang yang tinggi untuk berkembang maju.

Laporan juga menunjukkan bahawa jumlah jualan produk herba tempatan mencecah RM100 juta bagi tahun 2000. Pasaran ini meningkat kepada RM500 juta bagi tahun 2005 dan RM2.5 bilion pada 2010. Perkembangan global industri ini pastinya memberi kesan signifikan kepada pasaran herba Malaysia.

 

Rawatan eksklusif tabib Cina

KEBERKESANAN perubatan tradisional Cina sememangnya telah diperakui sejak berkurun lamanya. Sehingga kini, biar pun begitu banyak rawatan moden yang ada, masih ramai yang mencari Tabib Cina untuk memulihkan penyakit yang mereka hadapi.

Selain bertujuan merawat, perubatan jenis ini juga dipercayai merupakan amalan yang baik sebagai langkah preventif dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup.

Pusat Perubatan Komplimentari dan Tradisional Cina (TCM) yang terletak di Hotel Wellness Mines mungkin antara lokasi sesuai buat mereka yang ingin mencuba perubatan berusia 5,000 tahun itu.

Menawarkan sebuah tempat rawatan alternatif dalam suasana eksklusif pertama di Malaysia, ia memiliki 18 buah bilik bilik terapi untuk individu dan pasangan, bilik pengamal perubatan Cina, kaunter herba, farmasi, lounge bacaan, bilik VIP dan galeri. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan, malah boleh dijadikan pusat terapi di bawah satu bumbung bagi keselesaan pengunjung.

“TCM diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew sejak 2008 lagi. Kami mempunyai empat pengamal perubatan bertauliah yang mana tiga daripadanya didatangkan khas dari China,” kata Timbalan Pengurus Besar Golden Horses Health Sanctuary (GHHS), Tay Chee Kim.

GHHS merupakan bahagian yang menguruskan perkhidmatan kesihatan di bawah syarikat tersenarai di bursa, Country Heights Holding Berhad.

Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, perubatan tradisional Cina percaya kepada konsep keseimbangan dan keharmonian tenaga Yin dan Yang, yang berfungsi secara holistik merangkumi tubuh badan, semangat dan rohani. Perubatan jenis itu juga katanya mengaitkan lima elemen alam iaitu tanah, api, air, angin dan besi dengan lima sistem organ utama tubuh.

Seandainya kesemua keseimbangan ini dicapai, seseorang itu mampu hidup secara sihat dan sejahtera untuk tempoh lebih lama.

Terapi

Menurut Chee Kim, bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, kebanyakan terapi alternatif yang ditawarkan di TCM sebenarnya sangat bermanfaat dalam usaha pencegahan penyakit ke arah hidup yang lebih sihat.

Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan perubatan tradisional Cina secara terperinci katanya, mereka akan dibawa bertemu pengamal perubatan untuk diagnosis dengan cara pembacaan nadi.

Melalui pembacaan nadi, sebarang keganjilan dan ketidakseimbangan yang berlaku pada seluruh tubuh dapat dikenalpasti.

“Biasanya, sesuatu penyakit itu mengambil tempoh 10 tahun untuk berkembang. Jadi dengan analisis awal, sekurang-kurangnya kita dapat elak melalui preskripsi yang diberi oleh pengamal perubatan Cina,” katanya.

Menurutnya, setiap rawatan yang diberi kepada pesakit berbeza bergantung kepada keadaan mereka. Jika individu itu didiagnos berpenyakit, dia akan diberi ubat herba dan disyorkan menjalani terapi tertentu yang berfungsi membuka kembali sekatan terhadap ‘qi’ (tenaga) dan mengembalikan kesihatan seperti sedia kala.

Antara perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan ramai di TCM adalah rawatan akupuntur tradisional Cina yang dilakukan oleh pengamal berpengalaman dari Beijing, Jia Hui Feng.

Selain itu penjagaan kiropraktik dan moxibustion (pengasapan menggunakan herba) turut mendapat sentuhan pakar Huing Yi yang juga didatangkan khas dari negara itu.

Pengunjung juga boleh mencuba terapi badan Tui-Na, refleksologi dan juga rendaman kaki herba.

Lain-lain rawatan alternatif yang ditawarkan adalah Ba Guan (bekam menggunakan cawan kaca), Gua Sha (terapi gores) dan juga kaedah Qiaodanjing yang merangsang penyerapan nutrien, memperbaiki jus hempedu serta penghasilan darah dalam badan. Terdapat juga kelas senaman QiGong yang menghimpunkan sains dan seni penggunaan teknik bernafas, pergerakan lembut dan meditasi untuk mencuci, menguat serta melancarkan ‘qi.’

Kata Chee Kim lagi, kesemua rawatan yang dijalankan masih mengekalkan kaedah tradisional termasuk akupuntur menggunakan jarum konvensional dan bekam dengan cawan yang dipanaskan.

Selain untuk kesejahteraan dan perubatan, TCM turut menawarkan program pengurusan berat badan yang menawarkan pakej istimewa termasuk penginapan selama lima hari empat malam di Hotel Wellness Mines.

Program ini bukan sahaja bertujuan mendapatkan berat badan yang ideal malah ia juga baik untuk awet muda kerana merangkumi rawatan akupuntur, pengambilan sup sayur organik yang bernutrien tinggi dan juga beberapa rawatan terapi semula jadi bagi membuang toksin dari dalam badan.

Pastinya mengunjungi TCM mampu memberi rawatan yang sesuai untuk anda kerana ia disediakan berdasarkan keperluan tubuh individu melalui diagnosis yang dilakukan.

 

 

Rang Undang-Undang Pengamal Ubat Tradisional akan dibentang hujung tahun ini

Ahad, 21 Ogos 2011

KANGAR: Kementerian Kesihatan akan membentangkan Rang Undang-Undang Pengamal Ubat Tradisional dan Komplimentri di Parlimen penghujung tahun ini bagi memudahkan pemantauan dilakukan terhadap pengamal ubat-ubat tradisional di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rang undang-undang itu memperuntukkan tindakan tegas diambil terhadap para pengamal ubat tradisional yang melakukan suatu kesalahan, khususnya yang tidak mendaftarkan ubat tradisional dihasilkan atau dijual dengan Kementerian Kesihatan. Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menerima penganugerahan bintang Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP), yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-68 di Balairong Seri, Istana Arau dekat sini hari ini. Liow berkata para pengamal perubatan tradisional di negara ini perlu mendaftar segera dengan Kementerian Kesihatan kerana mereka yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah rang undang-undang itu kelak. Setakat ini, katanya lebih 10,000 pengamal perubatan tradisional di seluruh negara mendaftar dengan kementerian tetapi diyakini masih ramai lagi belum berbuat demikian.

 

 

 

 @ HBI Health & Homoeopathy Centre 2011