|
Dato Yusuff Zaky Yacob (1928- 1999) - biografi
YUSOFF
ZAKY YACOB lahir pada 13 Jun 1928 di Kota Bharu,
Kelantan. Ayahnya, Tuan Hj Yacob adalah seorang guru yang disegani
di Kelantan. Beliau mendapat didikan agama sejak dari kecil lagi.
Pendidikan tinggi beliau ialah di Universiti al-Azhar, Mesir.
Selepas selesai belajar di sana barulah beliau kembali ke tanah
Melayu untuk menyumbangkan bakti pada tahun 1955.
Yusuff Zaky merupakan seorang ulama yang produktif dalam menghasilkan karya
di bidang agama dan psikologi. Sebahagian besar tulisannya adalah
saringan daripada bahasa Arab. Hasil saringan dan terjemahannya sangat
baik dan popular kerana mutu bahasa yang digunakan beliau menarik dan
terasa keasliannya oleh pembaca. Itu menunjukkan betapa mahirnya
beliau dalam penterjemahan dan penguasaan bahasa Arab
Yusuff
Zaky ialah pengasas Pustaka Dian Press di Kota Bharu.
Beliau bertanggungjawab menerbitkan Majalah
Dian Diages sejak awal tahun 60 an dulu, di mana pada waktu itu
tidak banyak majalah berbahasa Melayu di pasaran. Demikian juga beliau
membantu menerbitkan dan mengukuhkan majalah Pengasuh (terbitan Majlis
Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) selain sebagai Ketua
Pengarang. Antara pengarang yang bersama beliau dalam menyebarkan
dakwah menerusi media tulisan jawi itu ialah
Muhammah Labib Ahmad,
Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady,
Ustaz Hj Hassan Idris dan Abdullah
Yusof.
Dalam
penerbitan kembali karya cerpennya, penerbit DBP menyebutkan
bahawa "semasa hayatnya beliau banyak menerbitkan karya asli,
terjemahan dan saringan. Antara buku-buku awal beliau ialah
Dari Rahim ke Dunia (1957), Falsafah Qiamat (1958) dan
Mencari Kejernihan Jiwa (1959). Beliau adalah bekas editor
Pengasuh majalah yang masih bertahan sehingga kini sejak
1920-an. Beliau juga ialah penerima Anugerah Ijazah Kehormat
Sarjana Persuratan UKM, 1982."
Saya mengenali beliau sejak akhir tahun 1970an dan pernah bekerja
bersama beliau dalam penerbitan Majalah Dian dan Pengasuh pada tahun
1980. Beliau pernah menyatakan bahawa sebelum kesihatan beliau
bertambah buruk, beliau ingin menyiapkan dan menerbitkan terjemahan
tafsir Fi Zilalil Qur'an
karya Syed Qutb. AlhamduliLlah,
hasrat belaiu itu akhirnya dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Di antara karya beliau yang lain termasuk
Petunjuk Sepanjang Jalan, Sumbangan Islam Kepada Dunia,
Psikologi Remaja, ban beberapa buah buku psikologi yang berupa
saringan dan menjadi rujukan di maktab-maktab perguruan di tahun-tahun
1970an.
Dato' Yusuf Zaki Yaacob
kembali ke rahmatuLlah pada pagi (4.30) 19 Januari 1999. Dengan
pemergian beliau, umat Islam sekali lagi kehilangan seorang ulama' dan
seorang pengarang Islam yang produktif.
Di laman Malaysia Homeopathy Cyber Library
ini terdapat kutipan beberapa petikan hasil tulisan beliau yang sudah lama
diterbitkan, iaitu dari buku Sumbangan Islam
Kepada Dunia.
Akhir
sekali, semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Rujukan:
|