e-Knowledge Powered by Active IQ

Sumbangan Media Alternatif

Homoeopathy Malaysia  - Info Islam

TOKOH SASTERA : DATUK USMAN AWANG

Klik untuk produk Active IQ atau Homeo-ABC. Bantu web ilmu Perpustakaan Siber Homeopati Malaysia. Bantu juga famili anda.
 

 

Usman Awang (1929 - 29 November 2001) dilahirkan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor pada 12 Julai 1929. Beliau melalui alam kemiskinan semasa kanak-kanak lagi, yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja. 

Pada peringkat awalnya Usman Awang bekerja sebagai petani. Pada zaman pendudukan Jepun, beliau telah dijadikan buruh paksa. Beliau pernah bekerja sebagai budak pejabat sebelum mendapat kerja sebagai seorang polis di era British. Daripada perkhidmatan inilah beliau diilhamkan menggunakan nama Tongkat Warrant.

Selepas berhenti daripada pasukan polis, Usman bertugas sebagai pembaca pruf di akhbar Melayu Raya, sebelum dilantik sebagai editor Utusan Zaman. Seterusnya beliau diberi jawatan wartawan di Utusan Melayu pada 1952. Di sini Usman ikut terlibat dengan mogok Utusan di mana para wartawan membantah campur tangan kuasa politik dalam media.

Pada tahun 1962, Usman bekerja di Penerbitan Federal. Selepas itu barulah beliau ditawarkan berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sidang pengarang majalah Dewan Bahasa. Di hujung kerjayanya beliau diberi tugas sebagai pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Beliau bersara dari DBP pada tahun 1985.

Para penulis menyatakan Usman Awang adalah seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Bahkan bagi beliau, seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis.

Antara lain, (Dato) Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”

Usman Awang telah menulis lebih 200 puisi dan drama. Antara judul sajak Usman Awang yang popular ialah:

  • Bunga Popi
  • Gadis Kecil
  • Ke Makam Bonda
  • Kekasih
  • Kurang Ajar
  • Pak Utih, dan
  • Suara Dari Pusara

Antara dramanya yang terkenal pula ialah:

  • Matinya Seorang Pahlawan
  • Tamu Bukit Kenny
  • Serunai Malam
  • Malam Kemerdekaan

Sebuah drama muzikalnya yang beberapa kali dipentaskan ialah "Uda dan Dara". Hanya ada satu novel karya Usman Awang iaitu "Tulang-tulang Berserakan" tetapi memberi kesan yang kuat terhadap masyarakat. Novel tersebut telah dijadikan teks sastera pada tahun 1970an.

Dalam sejarah penulisannya, Usman Awang pernah menggunakan pelbagai nama pena, seperti Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., dan Zaini. Tetapi nama penanya yang paling terkenal ialah Tongkat Warrant.

Pada tahun 1982, beliau diberi anugerah SEA Write Award dan diikuti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya pada 1983. Pada tahun 1983 juga, beliau telah dianugerahkan sebagai tokoh Sasterawan Negara Malaysia. Anugerah penghormatan terakhir yang beliau terima ialah Zamalah Sastera pada 1985.

Usman Awang merupakan seorang penyair yang berjiwa rakyat. Beliau meninggal kebetulan dalam bulan Ramadan pada 29 November 2001. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur di mana telah bersemadi Sasterawan Negara terdahulu, iaitu Keris Mas. Ketika hayatnya beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik.

Karya beliau amat diminati sehingga kini, menyebabkan beberapa sajaknya dipamerkan buat menghiasi laman internet. Sajaknya "Guru Oh Guru" juga menjadi sajak yang dibaca saban tahun. Sebahagian sajak beliau yang ditemui dalam laman maya telah dikutip untuk paparan peminat puisi di laman Malaysia Homeopathy Cyber Library.

 

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2006