|
Nama
sebenar HAMKA (1908-1981) ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim
Amrullah. Beliau merupakan seorang ulama, aktivis politik dan
penulis Indonesia yang sangat terkenal di alam Melayu. Beliau
lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Meninjau, Sumatera
Barat, Indonesia. Ayahnya, Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau
dikenali juga sebagai Haji Rasul, adalah pelopor Gerakan Islah (tajdid)
di Minangkabau.
HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Meninjau
sehingga Darjah Dua. Ketika beliau berusia 10 tahun, ayahnya telah
mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA
telah mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. HAMKA juga
pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang
diberikan oleh ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh
Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparonto dan Ki Bagus
Hadikusumo.
Pada peringkat awalnya, HAMKA
memegang tugas sebagai guru agama. Pada tahun 1927 dia bertindak
sebagai guru agama di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan
kemudiannya di Padang Panjang pada tahun 1929. Selepas itu HAMKA
dilantik sebagai pensyarah di Universitas Islam, Jakarta dan
Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga
tahun 1958. Setelah itu, beliau dilantik sebagai Rektor Perguruan
Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustapo, Jakarta.
Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau dilantik sebagai Pegawai
Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia. Bagaimanapun beliau
meletakkan jawatan itu apabila Sukarno memberi kata dua sama ada
menjadi pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura
Muslim Indonesia (Masyumi).
HAMKA lebih banyak belajar sendiri
dan melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu
pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi
dan politik, sama ada Islam ataupun Barat. Dengan kemahirannya
dalam bahasa Arab, beliau dapat membuat penyelidikan karya-karya
ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak,
Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain
Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti hasil karya
sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus,
William James, Freud, Toynbee, Jean Sartre, Karl Marx dan Pierre
Loti.
HAMKA adalah
seorang yang rajin membaca dan membuat pemerhatian mengenai budaya
masyarakat setempat. Ini terbukti dalam hasil karya sastera dan
buku-buku agamanya, termasuk kitab tafsir al-Azhar. Beliau juga
gemar bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta
seperti HOS Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fakrudin,
Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya
sehingga menjadi seorang pemidato yang handal.
HAMKA aktif dalam gerakan Islam
melalui pertubuhan Muhammadiyah. Beliau menyertai pertubuhan itu
mulai tahun 1925 bagi menentang khurafat, bidaah, tarekat dan
kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau
mengetuai cawangan Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929
pula, HAMKA mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan
dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makasar.
Sesudah
itu Hamka terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di
Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S. Y.
Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali
pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Jogjakarta pada
tahun 1950. Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai penasihat
pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Julai 1957, Menteri Agama
Indonesia iaitu Mukti Ali melantik HAMKA sebagai ketua umum Majlis
Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada
tahun 1981 kerana nasihatnya diketepikan oleh kerajaan Indonesia.
Kegiatan politik HAMKA bermula pada
tahun 1925 apabila beliau menjadi anggota parti politik Sarekat
Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang kemaraan kembali
penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai
kegiatan gerila di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA
dilantik sebagai ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia.
Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato
utama dalam Pilihan Raya Umum 1955.
Masyumi
kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960.
Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, HAMKA telah dipenjarakan oleh
Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakan
itulah beliau mula menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya
ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, HAMKA dilantik
sebagai ahli Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia,
anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga
Kebudayaan Nasional, Indonesia.
Selain aktif dalam soal keagamaan
dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan
penerbit. Sejak tahun 1920-an lagi, HAMKA menjadi wartawan
beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang
Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi
editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau
menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. HAMKA
juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji
Masyarakat dan Gema Islam.
HAMKA telah pulang ke rahmatullah
pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa
sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja
diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara
kelahirannya, malah jasanya di seluruh Nusantara, termasuk
Malaysia dan Singapura, turut dihargai.
Menurut Dr. Siddiq
Fadzil, menerusi karya-karya tulisan Hamka, "kita dapat menemukan
kesegaran roh keislamannya dan kekentalan semangat kemelayuannya.
Kedua-dua unsur tersebut menyatu secara harmonis membentuk
wataknya. Dengan ungkapan lain, Melayu Hamka adalah kemelayuan
yang telah menyerap roh keislaman sepenuhnya."
Katanya lagi, "Hamka tidak
menanggapi Melayu dalam pengertian sempit etnik yang dicirikan
oleh darah dan daerah. Menurutnya, sudah tidak ada lagi orang yang
benar-benar berdarah Melayu murni. Untuk mendefinisikan Melayu,
beliau (Hamka) mengambil kriteria yang digunakan oleh Rasulullah
s.a.w ketika mendefinisikan Arab iaitu siapa sahaja yang berbahasa
Arab. Demikian pulalah Hamka mentakrifkan Melayu, iaitu setiap
orang yang berbahasa Melayu - berfikir, merasa, menangis dan
ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu. Pentakrifan bangsa
berasaskan bahasa bertepatan pula dengan pepatah Melayu ``bahasa
menunjukkan bangsa''. Memang bahasa adalah cerminan jiwa dan
pancaran budi."
Dalam tinjauannya juga,
Dr. Siddiq Fadzil menyatakan bahawa dalam rangka memperkasa umat
dan membina jiwa merdeka, Hamka melihat Islam (ajaran tauhid)
sebagai ``sumber tenaga kemerdekaan jiwa yang sebenarnya.'' Hamka
tidak sekadar mengajak umat memerdekakan jiwa, tetapi beliau
sendiri dilihat sebagai contoh watak manusia berjiwa merdeka.
Pemikirannya yang kritis adalah manifestasi kemerdekaan jiwanya.
Tetapi cita-citanya itu seakan tidak kesampaian. Dan kemudian
beliau memetik tulisan Hamka yang (dikatakan kekesalan) berbunyi: ``Cuma sayang, kerana kesedaran di dalam menegakkan
agamanya tidak tegas dan jelas, kaum Muslimin yang gagah berani
itu kebanyakan hanya dipergunakan tenaganya guna membina kekuasaan
orang lain. Setelah orang lain berkuasa, kaum Muslimin itu
disingkirkan dan dilarang keras atau dihambat-hambat agar jangan
sampai menuntut haknya yang suci'' (Hamka, 1971;205).
Sepanjang hidupnya,
HAMKA telah menghasilkan banyak karya ilmiah Islam, di samping karya
kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah
Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat
perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan
Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah
Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli. Berikut ialah koleksi
karyanya yang disenaraikan di dalam Wikipedia:
- Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam
huruf Arab.
- Si Sabariah. (1928)
- Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar
Shiddiq),1929.
- Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
- Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
- Kepentingan melakukan tabligh (1929).
- Hikmat Isra' dan Mikraj.
- Arkanul Islam (1932) di Makassar.
- Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
- Majalah 'Tentera' (4 nobmor) 1932, di
Makassar.
- Majalah Al-Mahdi (9 nombor) 1932 di Makassar.
- Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi)
1934.
- Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman
Masyarakat,Balai Pustaka.
- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937),
Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
- Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman
Masyarakat, Balai Pustaka.
- Merantau ke
Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
- Margaretta Gauthier (Terjemahan) 1940.
- Tuan Direktur 1939.
- Dijemput mamaknya,1939.
- Keadilan Ilahy 1939.
- Tasawuf Moden 1939.
- Falsafah Hidup 1939.
- Lembaga Hidup 1940.
- Lembaga Budi 1940.
- Majalah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
- Majalah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang),
sesudah revolusi 1946.
- Negara Islam (1946).
- Islam dan Demokrasi,1946.
- Revolusi Fikiran,1946.
- Revolusi Agama,1946.
- Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
- Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
- Didalam Lembah cita-cita,1946.
- Sesudah naskah Renville,1947.
- Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
- Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukittinggi,
- Ayahku,1950 di Jakarta.
- Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
- Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
- Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
- Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak
lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
- Kenangan-kenangan hidup 2.
- Kenangan-kenangan hidup 3.
- Kenangan-kenangan hidup 4.
- Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun
1938 hingga 1950.
- Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
- Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
- Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
- Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ;
Cetakan ke 2 tahun 1950.
- Pribadi,1950.
- Agama dan perempuan,1939.
- Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang
Panjang.
- 1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman
Masyarakat,dibukukan 1950).
- Pelajaran Agama Islam,1956.
- Perkembangan Tasawuf dari abad ke abad,1952.
- Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
- Empat bulan di Amerika Jilid 2.
- Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato
di Cairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
- Soal jawab 1960,disalin dr karangan-karangan
Majalah GEMA ISLAM.
- Dari Perbendaharaan Lama 1963,dicetak oleh
M.Arbie Medan.
- Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan
Bintang,Jakarta.
- Islam dan Kebatinan,1972;Bulan Bintang.
- Fakta dan Khayal Tuanku Rao,1970.
- Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965,Bulan Bintang.
- Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri),1963 ,Bulan
Bintang.
- Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam
1968.
- Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr
Mekkah).
- Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali
dr Mekkah).
- Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah
umum) di Universiti Keristan 1970.
- Studi Islam 1973,diterbitkan oleh Panji
Masyarakat.
- Himpunan Khutbah-khutbah.
- Urat Tunggang Pancasila.
- Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
- Sejarah Islam di Sumatera.
- Bohong di Dunia.
- Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut
Kongres Muhammadiyah di Padang).
- Pandangan Hidup Muslim,1960.
- Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
- Tafsir Al-Azhar Juzu' 1-30, ditulis pada masa
beliau dipenjara oleh Sukarno.
HAMKA pernah menerima beberapa
anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah
kehormat Doktor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor
Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelaran
Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia.
Rujukan:
-
http://www.mail-archive.com/rantau-net@groups.or.id/msg01582.html
-
Kertas
kerja Prof. Madya Datuk Dr. Siddiq Fadzil di Seminar Pemikiran
Hamka pada 28 April lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka.
-
Utusan
Malaysia 30 April 2001
-
http://en.wikipedia.org/
|