e-Com Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

AL-FARABI

Abu Nasr al-Farabi dilahirkan sekitar tahun 258h/870m dan beliau meninggal pada 339h/950m. Menurut keterangan sejarah, al-Farabi tidak menulis autobiografi mengenai dirinya. Demikian juga tidak ada di kalangan para sahabatnya yang sempat memberikan latar belakang hidupnya sebagaimana al-Juzjani melakukannya terhadap gurunya ibn Sina. Bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan di Wasij, sebuah perkampungan berhampiran Farab pada tahun 258h. Dipercayai juga yang beliau merupakan peranakan Turki. – HBI.  

Seterusnya…

Al-Farabi adalah ahli falsafah Islam yang paling besar, tiada seorang ahli falsafah yang dapat meningkat ke darjahnya di bidang falsafah Islam. Oleh sebab itu beliau dikenal di dalam sejarah pemikiran Islam sebagai Mahaguru Kedua. Mahaguru Pertama ialah Aristotle. Para intelek kebelakangan mengakui bahawa mereka terhutang budi kepada a-Farabi tentang ilmu-ilmu pengetahuan yang sampai kepada mereka. Pengaruh pemikiran al-Farabi begitu jelas dapat dilihat dalam fikiran-fikiran Ibnu Sina dan Ibni Rushd. Ujar Carra de Vaux, “Ilmu logik al-Farabi mempunyai pengaruh yang besar ke atas para pengkaji Eropah yang mengambil berat terhadap ilmu itu”.

Al-Farabi telah menulis lebih dari seratus buah buku, kira-kira separuh darinya merupakan kritik dan ulasan-ulasan terhadap pengajian-pengajian yang lahir sebelumnya, terutama pengajian Aristotle, dan yang baki lagi merupakan pengajian-pengajian baru. Di sana terdapat kira-kira dua puluh lima buku karangan al-Farabi yang masih dalam tulisan tangan atau yang masih tercatit di atas cebisan-cebisan kertas.

Al-Farabi adalah pemimpin kepada tokoh-tokoh ilmu logik , iaitu tokoh-tokoh ilmu metafizika. Mereka digelar tokoh-tokoh ilmu logik, kerana mereka meniru ahli-ahli ilmu logic membuat sesuatu kesimpulan berdasarkan punca-puncanya dan dalil-dalil yang teliti. Iaitu mereka membuatkan kaedah-kaedah umum dan berdasarkan kaedah-kaedah inilah dikeluarkan kesimpulan mengenai sesuatu perkara dengan menggunakan dalil-dalil dan bukti-bukti.

Aliran al-Farabi berbeza dari aliran para ilmu fizika yang menumpukan usaha mereka ke arah mempelajarai gejala-gejala kebendaan yang terdapat di alam. Dan bila mereka memperkatakan tentang Allah, mereka perkatakannya sebagai Penjadi dan Pencipta atau sebagai Sumber Pertama, seperti yang dinamakan mereka. Sedangkan ahli-ahli falsafah yang berpandukan logik, mereka memperkatakan hakikat segala sesuatu dari yang sekecil-kecilnya hingga kepada zat Allah, dan bila mereka memperkatakan tentang Allah, mereka perkatakannya sebagai Zat Yang Wajib Ada.

Ilmu logic, menurut al-Farabi, bukanlah suatu sarana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, malahan logik itu sendiri merupakan satu pencapaian ilmu pengetahuan. Tegasnya logik bukanlah jalan yang menyampaikan kepada hakikat, malah logik itu sendiri merupakan satu penanggapan hakikat-hakikat.

Al-Farabi, dengan diikuti oleh Ibnu Sina, telah menokokkan satu dalil baru untuk membuktikan wujudnya Allah. Dalil itu diasaskan  di atas idea sesuatu yang mumkin ada dan yang wajib ada. Katanya tiap-tiap suatu yang ada itu sama ada wujudnya mumkin atau wujudnya wajib. Dan sesuatu yang wujudnya mumkin pasti ada sumber penciptanya yang mendahului wujudnya……

 

Sumbangan Islam Kepada DuniaM.M.Shariff. Terjemahan Yusoff Zaky Yacob

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005