e-Knowledge Powered by Active IQ

Sumbangan Media Alternatif

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

TOKOH MALAYSIA: TUNKU

Klik untuk produk Active IQ atau Homeo-ABC. Bantu web ilmu Perpustakaan Siber Homeopati Malaysia. Bantu juga famili anda.

 

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Beliau digelar dengan nama Bapa Kemerdekaan kerana beliau merupakan ketua menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1955 dan seterusnya adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Bahkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri selepas Sabah, Sarawak, dan Singapura bergabung untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Beliau dilahirkan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah, dan merupakan putera ketujuh daripada 12 putera. Bonda beliau, Cik Menyalara, merupakan anak Luang Naraborirak (Kleb), pegawai wilayah Thai semasa pemerintahan Raja Rama V di Thailand.

Beliau mendapat pendidikan awal pada tahun 1909 di Malay Primary School, Jalan Bahru, Alor Setar. Kemudian beliau bertukar ke Government English School, yang sekarang dikenali sebagai Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar. Semasa berumur 8 tahun beliau dihantar ke Thebsirintrawat School (Debsirin School) di Bangkok bersama 3 orang saudaranya untuk meneruskan pelajaran. Beliau kembali ke tanah melayu pada tahun 1915 dan menyambung pelajaran di Penang Free School.

Pada tahun 1918, Tunku Abdul Rahman dikurniakan Biasiswa Kerajaan Kedah untuk melanjutkan pelajarannya di St Catharine's College di University of Cambridge. Di sana beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1925. Beliau juga merupakan pelajar pertama dari Kedah yang melanjutkan pelajaran di United Kingdom dengan tajaan kerajaan negeri Kedah.

Sekembalinya ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman bekerja dengan kerajaan Kedah dan dilantik sebagai Pegawai Daerah Kulim dan Sungai Petani. Tetapi beliau kembali ke England untuk menghabiskan pengajian undang-undang di Inner Temple. Bagaimanapun beliau terpaksa berhenti seketika pada 1938 dan semasa tercetusnya perang dunia ke-2 beliau kembali ke Tanah Melayu. Beliau kembali menyambung pengajian di Inner Temple pada tahun 1947 dan akhirnya beliau layak mendapat Bar pada tahun 1949.

Semasa di sana Tunku Abdul Rahman bertemu dengan Tun Abdul Razak . Beliau dilantik sebagai Presiden Malay Society of Great Britain, dan Tun Abdul Razak pula merupakan setiausaha beliau.

Apabila Tunku Abdul Rahman kembali ke Tanah Melayu pada 1949, beliau ditempatkan di pejabat pegawai undang-undang di Alor Star. Namun kemudiannya beliau memohon untuk ditukarkan ke Kuala Lumpur dan dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Awam. Seterusnya beliau dilantik sebagai presiden Mahkamah Sesyen (Sessions Court).

Di waktu itu, semangat nasionalisme sedang bersemarak dan mendapat tempat di kalangan orang Melayu. Datuk Onn Jaafar pula telah menubuhkan dan mengetuai United Malays National Organisation (UMNO) yang mempunyai motif menentang Malayan Union. Tunku Abdul Rahman menyertai UMNO dan semakin aktif di dalam politik nasionalis Tanah Melayu. Pada Ogos 1951, krisis dalaman UMNO telah memaksa Datuk Onn untuk meletak jawatan sebagai presiden parti. Tunku Abdul Rahman telah diminta dan dipilih sebagai presiden baru. Seterusnya beliau kekal memegang jawatan itu selama 20 tahun.

SEBAGAI PERDANA MENTERI

Pada tahun 1954 Tunku Abdul Rahman mengetuai delegasi ke London untuk mohon mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu, tetapi rombongan tersebut tidak berhasil. Pada tahun berikutnya, pilihanraya umum persekutuan kali yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan iaitu gabungan antara UMNO, Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Di atas kejayaan itu, Tunku Abdul Rahman telah dipilih sebagai Perdana Menteri pertama Tanah Melayu.

Kemudian pada tahun 1955 Tunku Abdul Rahman mengadakan rombongan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Hasilnya, tarikh kemerdekaan telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Ketika bendera British diturunkan di Kuala Lumpur pada hari tarikh itu, Tunku Abdul Rahman mengetuai orang ramai untuk melaungkan "Merdeka!" sebagai tanda tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu. Laugan kemerdekaan itu akhirnya telah menjadi upacara yang diadakan setiap kali hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia disambut.

Tunku Abdul Rahman mempunyai pengaruh yang besar dalam politik Tanah Melayu selepas merdeka. Beliau mengetuai Parti Perikatan sehingga menang besar pada pilihan raya tahun 1959 dan pilihanraya umum pada tahun 1964.

Pembentukan Malaysia adalah satu daripada kejayaan besar Tunku Abdul Rahman. Pada 1961 beliau membuat ucapan pada Foreign Correspondents Association of Southeast Asia di Singapura. Di situ juga, beliau mencadangkan persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak, and Brunei. Pada 16 September 1963, dengan gabungan negara-negara itu kecuali Brunei, Tunku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia secara rasmi.

Bagaimanapun, faktor perkauman bertambah buruk dengan penyertaan Singapura yang mempunyai nisbah kaum Cina sebanyak 40%. UMNO dan MCA yang khuatir kemungkinan pengaruh Lee Kwan Yew dari People's Action Party (PAP) terhadap pengundi-pengundi di Tanah Melayu cuba untuk menubuhkan parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee Kwan Yew di sana. Lee Kwan Yew mengancam untuk mempertandingkan calon PAP di Tanah Melayu pada pilihanraya persekutuan 1964 sekaligus menghina perjanjian awal yang telah dibuat.

Hal ini telah mendorong Tunku Abdul Rahman menuntut Singapura untuk keluar dari Malaysia. Pada 7 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan pada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur supaya bersetuju dengan resolusi penyingkiran Singapura daripada Persekutuan. Akhirnya Singapura menarik diri dan merdeka secara rasminya pada 9 Ogos 1965.

Tunku Abdul Rahman telah memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) pada 1961, yang disertai Malaysia, Thailand dan Philippines. Gagasan ini seterusnya digantikan dengan kumpulan yang lebih besar, Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967.

Pada pilihanraya umum 1969, kerusi majoriti Parti Perikatan berkurang secara mendadak. Rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Ketua-ketua UMNO yang dipimpin oleh Tun Abdul Razak mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman berikutan kejadian 13 Mei. Jawatankuasa darurat atau MAGERAN telah mengambilalih kuasa kepimpinan dan mengistiharkan darurat. Kuasa Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri telah berkurang dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan bantuan Tun Abdul Razak. Seterusnya, pada Jun 1971, beliau meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO.

SUMBANGAN TUNKU

Selepas menjadikan Islam sebagai agama rasmi pada 1960, Tun Abdul Rahman menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu Mualaf atau saudara baru menyesuaikan diri kepada kehidupan baru sebagai seorang Muslim. Beliau merupakan presiden PERKIM sehingga setahun sebelumk beliau meninggal dunia. Pada tahun 1961 Malaysia menganjurkan Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa yang pertama dan acara ini merupakan idea yang dikembangkan daripada Tunku Abdul Rahman ketika beliau menganjurkan pertandingan peringkat kebangsaan pertama di Kedah pada 1951.

Pada tahun 1969 Tunku Abdul Rahman membantu penubuhan Organisation of Islamic Conference (OIC), dan merupakan setiausaha umum yang pertama. Seterusnya beliau mengambil inisiatif untuk menubuhkan Islamic Development Bank sebagai institusi yang istimewa dalam OIC. Beliau juga merupakan presiden Regional Islamic Da'wah Council of South East Asia and the Pacific (RISEAP) dari tahun 1982 sehingga tahun 1988.

Pada 1977, Tunku Abdul Rahman menjadi pengerusi akhbar The Star. Ruangan beliau "Looking Back" dan "As I See It", banyak mengkritik kerajaan dan pada 1987 Perdana Menteri Dato? Seri Dr. Mahathir Mohamad mengharamkan akhbar tersebut.

DI AKHIR KARIER

Kesan dari krisis dalaman UMNO, Tunku Abdul Rahman dan Bekas Perdana Menteri ke-3, Tun Hussein Onn, berusaha menubuhkan parti baru yang digelar UMNO Malaysia, tetapi pendaftarannya dimansuhkan oleh Dr. Mahathir Mohamad, yang menubuhkan UMNO Baru. Kemudiannya Tunku Abdul Rahman  memberi sokongan kepada Parti Melayu Semangat 46, iaitu parti kecil yang merupakan serpihan daripada UMNO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Di penghujung usianya, Tunku Abdul Rahman tinggal di Pulau Pinang dan kembali ke rahmatuLlah pada 6 Disember 1990. Ketika itu beliau berusia 87 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar.

 

 

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005