e-Com Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

Dato Yusuff Zaky Yacob - biografi

Beliau merupakan anak kelahiran Kelantan yang dikenali dan disegani ramai. Merupakan seorang ulama yang produktif dalam menghasilkan karya di bidang agama dan psikologi. Sebahagian besar tulisannya adalah saringan daripada bahasa Arab. Hasil saringan dan terjemahannya sangat baik dan popular kerana mutu bahasa yang digunakan beliau menarik dan terasa keasliannya oleh pembaca.

Beliau bertanggungjawab menerbitkan Majalah Dian Diages sejak awal tahun 60 an dulu, di mana pada waktu itu tidak banyak majalah berbahasa Melayu di pasaran. Demikian juga beliau membantu menerbitkan dan mengukuhkan majalah Pengasuh (terbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) selain sebagai Ketua Pengarang. Antara pengarang yang bersama beliau dalam menyebarkan dakwah menerusi media tulisan jawi itu ialah  Muhammah Labib Ahmad, Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady, Ustaz Hj Hassan Idris dan.Abdullah Yusof.

Saya mengenali beliau sejak akhir tahun 1970an dan pernah bekerja bersama beliau dalam penerbitan Majalah Dian dan Pengasuh pada tahun 1980. Beliau pernah menyatakan bahawa sebelum kesihatan beliau bertambah buruk, beliau ingin menyiapkan dan menerbitkan terjemahan tafsir Fi Zilalil Qur'an karya Syed Qutb. AlhamduliLlah, nampaknya hasrat belaiu itu terpenuhi juga akhirnya.

Beberapa tahun dahulu apabila saya berjaya menerbitkan buku saya yang pertama iaitu "Perubatan Homoeopati", sewaktu menziarahi beliau, saya sempat menghadiahkan senaskhah buku itu kepada beliau . Saya merasa terharu terhadap kata-kata semangat yang diberikan oleh beliau di atas usaha saya itu. Dan kata-kata beliau itu adalah salah satu perangsang kuat bagi saya untuk meneruskan perjuangan memperkembangkan ilmu perubatan homeopati menerusi penulisan

Sekarang umat Islam sekali lagi kehilangan seorang ulama' dan seorang pengarang Islam yang produktif apabila Dato' Yusuf Zaki Yaacob kembali ke rahmatuLlah pada pagi (4.30) 19 Januari 1999.

Itulah Dato Yusoff Zaky Yacob yang saya kenal, seorang bapa dan ketua keluarga yang penyayang, lembut tutur kata, penyabar dan berpandangan jauh. Oleh kerana beliau seorang yang gemar menasihati dan memberi buah fikiran yang bernas, saya bersama ayah saya kerapkali bertandang ke rumah beliau mendengar idea-idea dan pandsangan-pandangan beliau.

Di laman Malaysia Homeopathy Cyber Library ini saya kutip beberapa petikan hasil tulisan beliau yang sudah lama diterbitkan, iaitu sebelum kita menggunapakai ejaan dan bahasa Melayu sedia ada.

Akhir sekali, semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.
 
 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005