|
IBNI MISKAWAYH
|
Pada
dasarnya Miskawaih merupakan seorang ahli sejarah dan moralis, di
samping dikenali sebagai seorang penyajak. Beliau melibatkan diri
dalam pengajian Kimia bukan kerana ilmu sains tetapi kerana
pencariannya terhadap emas dan kekayaan. Tetapi kemudiannya beliau
beralih kepada pengajian kod etika. Beliau mencatatkan
transformasi moralnya dalam tulisan beliau “Tahdhib al-Akhlaq”.
Selain buku itu, beliau juga mengarang buku Tartib al-Sa’adah
dan Jawidan Khirad. – HBI. |
Seterusnya. . .
Ibni Miskawayh adalah seorang
ahli perubatan, ahli falsafah dan ahli sejarah. Di antara pendapatnya
mengenai hakikat jiwa ialah jiwa itu suatu jauhal yang simple yang
tidak boleh dirasa dengan daya pancaindera. Jiwa itu tidak berjisim
dan bukan sebahagian dari jisim. Sebagai buktinya ialah jiwa boleh
menerima serentak satu waktu gambaran-gambaran yang berlawanan seperti
putih dan hitam, sedangkan jisim-jisim tidak begitu. Begitu juga jiwa
boleh menerima gambaran-gambaran yang ditangkap oleh pancaindera dan
gambaran-gambaran yang ditanggap oleh akal.
Berdasarkan hakikat ini,
pengetahuan-pengetahuan yang didapati jiwa dan sarananya untuk
mencapai pengetahuan-pengetahuan itu adalah lebih luas dan lebih
mendalam dari jisim. Dari jiwa kita mendapat pengetahuan-pengetahuan
aqliah yang pokok yang tidak dapat kita capaikan melalui jalan jisim.
Begitu juga jiwa boleh membezakan mana yang salah dan mana yang benar
di antara pengetahuan-pengetahuan yang sampai kepadanya melalui
daya-daya pancaindera. Pembezaan itu disampaikan melalui usaha-usaha
banding-membanding di antara hasil-hasil tanggapan pancaindera. Ini
bererti bahawa jiwa bertugas sebagai penyelia yang memperhatikan
kerja-kerja pancaindera dan membetulkan salah-silapnya.
Jiwa mempunyai satu kesatuan roh
yang membuatkannya tahu tentang dirinya dan tahu pula yang dia itu
tahu, iaitu satu kesatuan yang mengakui bahawa yang berfikir dan yang
difikir itu adalah sesuatu yang satu saja (lihat buku “Tahzib al-Akhlak”
oleh Ibni Miskawayh di muka surat pertama)
Pendapat-pendapat yang paling
penting yang dikemukakan oleh Ibni Miskawayh ialah teori akhlaknya dan
usaha-usahanya agar manusia mendapat akhlak yang baik melalui satu
jalan pendidikan yang dapat mengenal hakikat jiwa dan
kecenderungan-kecenderungannya, kemudian teori mengenai kejadian dan
perkembangan atau evolusi. Kita akan bentangkan beberapa perincian
yang dapat menerangkan falsafah-falsafah pengkaji yang ulung ini.
Menurut Ibni Miskawayh, akhlak
ialah peraturan-peraturan yang sesuai dengan masyarakat hidup
seseorang manusia. Dan seseorang manusia tidak mampu mengetahui
seluruh akhlak yang baik jika dia dibiarkan sendirian saja. Tabiat
manusia cenderung kepada kehidupan social, sedangkan kehidupan sosial
pula memerlukan ramah-tamah dan kasih mesra, dan kerana inilah dia
dinamakan manusia. Dia merasa senang dan mesra dengan kehidupan sosial
ini dan merasa kesepian apabila tinggal sendirian.
Kehidupan social juga memerlukan
kerjasama dan tolong-menolong di antara warga masyarakat, memerlukan
saling simpati dan saling mesra. Berdasarkan hakikat ini budi perti
luhur yang harus didokong oleh setiap orang ialah cintakan sesama
manusia..
Ibni Miskawayh tidak sependapat
dengan Aristotle dalam menentukan tujuan persahabatan. Aristotle
berpendapat bahawa persahabatan itu adalah lanjutan dari kasih
seseorang terhadap dirinya, sedangkan Ibni Miskawayh pula berpendapat
bahawa persahabatan itu adalah penyempitan daerah kasih kepada diri
sendiri. Aristotle memandang persahabatan itu sebagai sikap
pementingan diri, kerana seseorang itu sedar bahawa kebahagian
hidupnya bergantung kepada orang lain dan kerana sahabat-sahabat itu
kasihkan satu sama lain. Jadi persahabatn itu boleh membuat seorang
itu dilingkungi oleh orang-orang yang kasihkannya dan orang-orang yang
berusaha untuk membahagiakannya, sedangkan Ibni Miskawayh memandang
persahabatan itu sebagai perngorbanan untuk kepentingan orang lain
kerana persahabatan menyalurkan naluri kasih terhadap orang lain,
bukan hanya menumpukan kasih kepada diri sendiri saja.
Jelasnya bahawa persahabatan yang
difahamkan oleh Aristotle adalah suatu langkah mencari keuntungan diri
sendiri atau pragmatis sedangkan persahabatan yang difaham oleh Ibni
Miskawayh ialah suatu kelazatan sejati.
Menurut Ibni Miskawayh, tujuan
pokok agama-agama ialah membangkitkan akhlak-akhlak yang baik. Dan
tujuan ini tidak terlaksana melainkan dengan mewujudkan kepercayaan
bahawa tujuan dari syi’ar-syiar agama seperti sembahyang Jumaat,
sembahyang berjemaah, puasa dan ibadat haji semuanya dituju untuk
menanamkan akhlak-akhlak social terutama kasih mesra di dalam hati
manusia, seandainya.…
Sumbangan Islam Kepada
Dunia –
M.M.Shariff. Terjemahan
Yusoff Zaky Yacob
Ó
DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library
|