|
AL-FARABI
| Abu Nasr
al-Farabi dilahirkan sekitar tahun 258h/870m dan beliau meninggal
pada 339h/950m. Menurut keterangan sejarah, al-Farabi tidak
menulis autobiografi mengenai dirinya. Demikian juga tidak ada di
kalangan para sahabatnya yang sempat memberikan latar belakang
hidupnya sebagaimana al-Juzjani melakukannya terhadap gurunya ibn
Sina. Bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan
di Wasij, sebuah perkampungan berhampiran Farab pada tahun 258h.
Dipercayai juga yang beliau merupakan peranakan Turki. – HBI. |
|
Seterusnya…
Al-Farabi adalah ahli falsafah
Islam yang paling besar, tiada seorang ahli falsafah yang dapat
meningkat ke darjahnya di bidang falsafah Islam. Oleh sebab itu beliau
dikenal di dalam sejarah pemikiran Islam sebagai Mahaguru Kedua.
Mahaguru Pertama ialah Aristotle. Para intelek kebelakangan mengakui
bahawa mereka terhutang budi kepada a-Farabi tentang ilmu-ilmu
pengetahuan yang sampai kepada mereka. Pengaruh pemikiran al-Farabi
begitu jelas dapat dilihat dalam fikiran-fikiran Ibnu Sina dan Ibni
Rushd. Ujar Carra de Vaux, “Ilmu logik al-Farabi mempunyai pengaruh
yang besar ke atas para pengkaji Eropah yang mengambil berat terhadap
ilmu itu”.
Al-Farabi telah menulis lebih
dari seratus buah buku, kira-kira separuh darinya merupakan kritik dan
ulasan-ulasan terhadap pengajian-pengajian yang lahir sebelumnya,
terutama pengajian Aristotle, dan yang baki lagi merupakan
pengajian-pengajian baru. Di sana terdapat kira-kira dua puluh lima
buku karangan al-Farabi yang masih dalam tulisan tangan atau yang
masih tercatit di atas cebisan-cebisan kertas.
Al-Farabi adalah pemimpin kepada
tokoh-tokoh ilmu logik , iaitu tokoh-tokoh ilmu metafizika. Mereka
digelar tokoh-tokoh ilmu logik, kerana mereka meniru ahli-ahli ilmu
logic membuat sesuatu kesimpulan berdasarkan punca-puncanya dan
dalil-dalil yang teliti. Iaitu mereka membuatkan kaedah-kaedah umum
dan berdasarkan kaedah-kaedah inilah dikeluarkan kesimpulan mengenai
sesuatu perkara dengan menggunakan dalil-dalil dan bukti-bukti.
Aliran al-Farabi berbeza dari
aliran para ilmu fizika yang menumpukan usaha mereka ke arah
mempelajarai gejala-gejala kebendaan yang terdapat di alam. Dan bila
mereka memperkatakan tentang Allah, mereka perkatakannya sebagai
Penjadi dan Pencipta atau sebagai Sumber Pertama, seperti yang
dinamakan mereka. Sedangkan ahli-ahli falsafah yang berpandukan logik,
mereka memperkatakan hakikat segala sesuatu dari yang sekecil-kecilnya
hingga kepada zat Allah, dan bila mereka memperkatakan tentang Allah,
mereka perkatakannya sebagai Zat Yang Wajib Ada.
Ilmu logic, menurut al-Farabi,
bukanlah suatu sarana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, malahan
logik itu sendiri merupakan satu pencapaian ilmu pengetahuan. Tegasnya
logik bukanlah jalan yang menyampaikan kepada hakikat, malah logik itu
sendiri merupakan satu penanggapan hakikat-hakikat.
Al-Farabi, dengan diikuti oleh
Ibnu Sina, telah menokokkan satu dalil baru untuk membuktikan wujudnya
Allah. Dalil itu diasaskan di atas idea sesuatu yang mumkin ada dan
yang wajib ada. Katanya tiap-tiap suatu yang ada itu sama ada wujudnya
mumkin atau wujudnya wajib. Dan sesuatu yang wujudnya mumkin pasti ada
sumber penciptanya yang mendahului wujudnya……
Sumbangan Islam Kepada
Dunia –
M.M.Shariff. Terjemahan
Yusoff Zaky Yacob
Ó
DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library
|