e-Knowledge Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

LUQMAN AL-HAKIM

   

Siapakah Luqman al-Hakim? Tiada kesepakatan di kalangan ulama dan salaf berkaitan siapakah diri Luqman itu. Ada yang mengatakan Luqman itu seorang Nabi. Ada yang mengatakan dia itu seorang yang saleh sahaja. Ibnu Abbas pula mengatakan bahawa Luqman itu ialah seorang hamba habsyi. Sementara yang lain ada mengatakan bahawa Luqman itu seorang yang pendek, berhidung mancung dari negeri Nubah. Ada yang mengatakan dia datang dari negeri Sudan yang berhampiran dengan negeri Mesir. Dan ada lagi versi lain.

Namun, walau siapapun jasad yang bernama Luqman al-Hakin itu, para salaf dan ulama sekelian telah sepakat mengatakan bahawa dia seorang pendita yang kata-katanya penuh dengan hikmat dan kebijaksanaan.

Kesepakatan ini wajar kerana Allah s.w.t. sendiri telah memberinya penghormatan yang tinggi kerana sifatnya yang mulia itu. Ini jelas sekali bila Allah s.w.t. menamakan sebuah surah dari al-Qur'an dengan nama Luqman. Di mana di dalam surah Luqman itulah, Allah subhanahu wa ta'ala telah mengabadikan mutiara dari nasihat-nasihat orang yang bernama Luqman untuk tatapan dan menjadi panduan umat muslimin.

Dengan adanya surah Luqman, intipati nasihat itu dapat dijadikan cermin hidup untuk manusia menjalani kehidupan di alam ini. Meskipun nasihat-nasihat itu keluar dari lisan lidah Luqman, namun hakikatnya ialah ia merupakan firman-firman Allah yang telah disalurkan melalui lisan Luqman, yang disampaikan kepada putera-puteranya.

Meskipun menurut cerita, pekerjaan beliau hanya sebagai tukang kayu, akan tetapi Allah ta'ala telah mengurniakan baginya kebijaksanaan dan pemikiran yang cerdas, sehingga segala kata-kata yang tercetus dari lisannya mengandungi mutiara hikmat dan lambang kebijaksanaan. Kerana itu nasihat-nasihat itu patut ditimbang dengan emas atau yang setarnya.

Diceritakan juga bahawa pada suatu hari Luqman disuruh oleh tuannya menyembelih seekor kambing, lalu berkata si tuan itu: "Wahai Luqman, pisahkanlah dari kambing ini dua ketul daging yang paling istimewa sekali!" Maka Luqmanpun memotong lidah dan hati kambing itu, serta dihulurkannya kepada tuannya.

Pada ketika yang lain pula, si tuan itu datang lagi serta menyuruh Luqman menyembelih kambing yang lain pula. Kemudian si tuan itu berkata: "Wahai Luqman, pisahkanlah dari kambing ini dua ketul dagingnya yang paling jelek sekali!" Maka Luqman sekali lagi mengambil lidah dan hati kambing itu, kemudian diserahkannya kepada tuannya.

Si tuan merasa takjub dan hairan, lantas ujarnya: "Wahai Luqman, dahulu aku minta dua ketul daging yang istimewa dari sesekor kambing, engkau berikan aku lidah dan hati. Kali ini aku minta pula dua ketul daging yang paling jelek sekali dari seekor kambing, engkau berikan aku lidah dan hati juga. Bagaimana halnya? Tolong terangkan."

Luqman menjawab: "Ya tuanku. Sebenarnya tiada sesuatu anggotapun yang lebih baik dari lidah dan hati, jika keduanya memang baik. Sebaliknya pula, tiada sesuatu anggota yang lebih buruk dari lidah dan hati, jika keduanya memang jahat."

Jawapan Luqman itu tepat sekali bila diperhatikan pekerti dan hati budi insan. Lidah merupakan anggota penting yang menyampaikan niat baik-buruknya hati. Sedangkan hati itu sememangnya pengembala kepada semua amalan manusia. Baik hati, baiklah amalannya, kalau jahat sebaliklah jadinya.

 

Sumber: Wasiat Luqman al-Hakim kepada Puteranya - Syed Ahmad Semait.

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005