e-Knowledge Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

PENGAJIAN ILMU PERUBATAN

Klik untuk produk Active IQ atau Homeo-ABC. Bantu web ilmu Perpustakaan Siber Homeopati Malaysia. Bantu juga famili anda.

Umat muslimin telah memajukan ilmu perubatan begitu lusa sebagaimana sebagaimana kemajuan-kemajuan yang dilaksanakan mereka dalam berbagai-bagai bidang pengajian lain. Ilmu perubatan Barat begitu mendalam terpengaruh dengan hasil-hasil yang dukutip mereka dari pengetahuan-pengetahuan orang-orang Islam dalam bidang ini.

Khalifah Harul al-Rashid dalam abad yang ke 9 telah membangun fakulti perubatan  pertama di Baghdad. Selepas itu berturut-turut berdirinya fakulti-fakulti perubatan di berbagai ibu kota Islam. Buku-buku perubatan yang baik telah ditulis dan disalin ke berbagai bahasa Eropah kemudiannya. Barangkali buku perubatan pertama yang dikarang oleh orang-orang Islam ialah buku yang ditulis oleh Ali al-Tabari tahun 850m. Buku ini berlandaskan pengajian perubatan Greek dan India, dan berjudul “Firdaus al-Hikmat”.

Di bawah naungan Khalifah-khalifah Islam dan sokongan mereka, muncul ramai tokoh-tokoh perubatan bukan Islam yang bijak. Yang paling terkemuka di antara mereka ialah Yahya bin Masawayh seorang doktor Nestor, terkenal muncul di kota Baghdad di bawah naungan Khalifah Harun al-Rashid.

Kepada beliau dan kepada Hunayn bin Ishak (873m) telah dihubungkan beberapa buku paling tua tentang penyakit-penyakit mata. Hunayn bin Ishak telah menyalin karangan-karangan Hippocrates dan Galen ke dalam bahasa Arab serta mencatatkan komentari-komentari yang berguna. Karangan-karangan ini telah disalinkan pula ke bahasa Latin dengan segala komentari dan ulasannya, dan menjadi bahan pengajian asasi kepada penyiasat-penyiasat  di Eropah dalam abad-abad pertengahan.

Kemudian muncil al-Razi (923m), ahli falsafah dan tokoh perubatan yang terkenal merekodkan kejayaan-kejayaan umat muslimin yang amat besar dalam ilmu perubatan. Tegasnya zaman gemilang umat muslimin dalam lapangan perubatan adalah bermula dengan al-Razi. Karangan-karangan beliau dianggap kamus-aneka kerana padat dan luas pembicaraannya. Malah beliau dianggap mengatasi Galen tentang banyak dan mendalamnya pengajian yang dilakukannya.

Beliau telah menulis sebanyak dua ratus buah buku mengenai ilmu perubatan saja. Dari itu Edward Brown (Arabic Medicine, p 404), menganggap beliau sebagai tokoh perubatan Islam yang paling handal dan paling banyak hasil-hasil pengajian dan karangannya. Di antara bukunya yang paling terkenal ialah “Al-Kitab al-Mansori”, iaitu sebuah buku besar terdiri dari sepuluh jilid. Buku ini telahpun disalin ke bahasa Latin di Milan kira-kira di akhir abad yang ke lima belas dan beberapa jilid dari buku ini telah diterjemah ke dalam bahasa Perancis dan Jerman.

Di antara karangan-karangannya yang gemilang ialah sebuah tesis mengenai penyakit cacar dan campak. Inilah tesis yang pertama yang memuat maklumat yang terperinci mengenai kedua-dua penyakit itu. Dan tesis ini juga telah disalin ke bahasa Latin pada tahun 1565m, kemudian disalin pula ke beberapa bahasa lain. Tesis ini telah mengambil tempat yang wajar di dalam abad-abad pertengahan sebagai buku referens ilmu perubatan yang paling penting mengenai penyakit-penyakit itu. Terjemahannya dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan pada tahun 1847 m.

Bukunya yang paling besar ialah “al-Hawi”, iaitu sebuah kamusaneka yang tersusun dari dua puluh jilid, dalam mana beliau telah memuat segala ilmu perubatan Greek, Farsi dan India dalam lapangan perubatan, di samping hasil-hasil pengajian dan penemuannya sendiri dalam bidang itu. Buku ini telah disalin ke bahasa Latin  pada tahun 1279 di Sicily dan dicetak pada tahun 1486, kemudian telah diulangi cetakannya beberapa kali selepas itu.

Jelas sekali bahawa karangan-karangan al-Razi telah meninggalkan pengaruh yang mendalam dalam pemikiran-pemikiran Eropah dan menjadi pedoman mereka selama beberapa abad.

Di antara tokoh-tokoh perubatan Islam lain yang terkenal ialah Ali bin Al-Abbas (994m). Beliau telah menulis sebuah buku yang bernilai dalam ilmu perubatan berjudul “Al-Kitab-ul-Maliki”. Buku ini telah diterjemah lebih dari sekali ke bahasa Latin dan disebar ke Eropah. Di antara pembicaraan yang amat berguna  dalam buku itu ialah mengenai ilmu makanan-makanan yang berzat dan ilmu membuat ubat-ubat. Dan di antara penemuannya ialah penjelasan beliau tentang adanya gerakan darah serabut saraf, juga pembuktiannya bahawa kelahiran bayi itu bukanlah keluar dengan sendiri, malah dengan kekuatan kerut dan denyut otot-otot di dalam rahim.

Di antara tokoh-tokoh perubatan Islam yang menyumbangkan khidmat mereka dalam bidang penyakit-penyakit mata ialah Ali al-Baghdadi dan ‘Ammar al-Mawsili. Kedua-dua tokoh itu telah meninggalkan karangan-karangan yang bernilai mengenai anatomi mata, penyakit-penyakit mata dan cara-cara mengubatinya. Karangan-karangan ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin dan menjadi buku yang amat penting di unicersiti-universiti Eropah dan dipegangi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sehingga ke pertengahan abad yang ke delapan belas.

Dalam maudho’ itu juga Ibni al-Haytham (695m) telah menulis satu buku yang penting mengenai penyakit mata selain karangan-karangan beliau yang lain. De Boer berpendapat bahawa Ibni al-Haytham lebih handal dari Witelo (abad ke 13m) kerana penelitian-penelitiannya yang mendalam.

Di antara tokoh-tokoh perubatan Islam lain yang mempunyai saham besar dalam pengajian perubatan ialah Ibni al-Baytar al-Dimashqi (1248m), pengarang buku “Al-Adwiyah al-Mufidah”, iaitu sebuah buku preskripsi ubat-ubat yang telah membuktikan kejayaan besar di Timur dan di Barat dan menjadi asas pengajian ilmu ubat-ubat. Buku ini telah disalin ke bahass Latin dan telah dicetak sebanyak 23 kali dalam abad yang ke lima belas dan selepasnya. Seterusnya buku ini telah diguna untuk membentuk farmasi pertama British yang diselenggarakan oleh kolej perubatan di zaman pertengahan James I.

Kemudian Ibni Qasim al-Zahrawi al-Qurtubi (kira-kira tahun 1013m) telah menulis satu kamusaneka perubatan yang diberi nama “al-Tasrif”. Beberapa penggal dari buku ini telah disalin ke bahasa Latin dalam abad yang ke enam belas oleh Gerard of Cremona dan telah dicetak beberapa kali, dan akhir sekali ialah cetakan Oxford tahun 1778m. Buku-buku terjemahan ini merupakan satu-satunya sumber yang muktamad dalam ilmu pembedahan di Eropah selama beberapa abad (St Thoms Clifford, Encyclopaedia Britannica) dan buku-buku ini telah memperincikan tentang alat-alat bedah dan menolong para penyiasat Eropah meletakkan batu asas ilmu pembedahan.

Al-Zahrawi banyak sekali memuatkan dalam bukunya pendapat-pendapat baru yang penting dalam ilmu pembedahan, di antaranya sterilisasi luka-luka, perlunya dilakukan pembedahan sesetengah anggota selepas mati untuk mengetahui sebab-sebab kematian, agar hasil-hasil penyiasatan itu dapat digunakan dalam kejadian-kejadian yang sama, begitu juga perlunya dilakukan pembedahan  ke atas sesetengah binatang yang ada titik-titik keserupaan dengan manusia agar hasil-hasil penyiasatan itu dapat digunakan untuk maksud-maksud seperti tadi. Di antara penemuannya juga ialah beliau telah mendapat berbagai cara untuk meleburkan batu-batu karang di saluran kencing.

Di antara perbendaharaan yang dikarang oleh orang-orang Islam dalam pengajian perubatan ialah kamusaneka yang ditulis oleh Ibni Rushd yang berjudul “Al-Kuliat fit-Tib”. Salah satu fakta penting yang terdapat dalam kamusaneka  ini ialah fakta yang dipercayai oleh ilmu perubatan sekarang, iaitu penyakit cacar tidak menyerang seseorang dua kali. Begitu juga dalam kamusaneka ini terdapat penjelasan-penjelasan yang lengkap mengenai fungsi selaput mata.

Tokoh yang sampai ke kemuncak dalam pengajian falsafah dan perubatan ialah Ibni Sina (1037m). Sir Thomas Clifford pernah menyebutkan bahawa orang-orang Eropah memandang karangan-karangan Ibni Sina dalam perubatan sebagai mengatasi karangan tokoh-tokoh lain walaupun karangan Hippocrates dan Galen. Oleh sebab inilah karangan-karangan Ibnu Sina dalam bidang perubatan menjadi buku teks di universiti-universiti Eropah dalam jangka waktu yang lanjut. Buku karangan Ibnu Sina yang berjudul “al-Qanun fit-Tib” adalah dianggap sebagai sebuah kamusaneka yang lengkap dalam pengajian perubatan dan pembedahan. Mulai dari abad yang ke dua belas sehingga abad ke tujuh belas, buku ini merupakan pedoman utama ilmu perubatan di Eropah dan dicetak dalam masa tiga puluh tahun yang akhir abad yang ke lima belas lebih dari lima belas kali dalam bahasa Latin dan sekali dalam bahasa Hebrew.

Di antara ahli-ahli perubatan yang terkemuka di Andalus ialah Abni Zuhr (1162m). Beliau telah dianggap oleh Ibni Rushd sebagai tokoh perubatan Islam yang ulung. Beliau telah menulis beberapa buah buku dalam bidang perubatan, yang terpentingnya ialah “Attaysir fil-Mudawat wat-Tadbir”.

  

Sumbangan Islam Kepada DuniaM.M.Shariff. Terjemahan Yusoff Zaky Yacob

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005