e-Com Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

IBNI SINA

Ibni Sina lahir pada 370h/980m dan meninggal pada tahun 28h/1037m. Kehadiran beliau dalam sejarah pemikiran falsafah adalah unik dalam banyak perkara dan besar kesannya terhadap perkembangan falsafah dunia. Beliau dikatakan sebagai satu-satunya orang yang berjaya membangunkan satu sistem falsafah yang lengkap dan luas pembicaraannya. Di sebalik tulisan-tulisan masyhur beliau, beliau juga tidak terlepas serangan dari al-Ghazali, Fakhraddin al-Razi dan lain-lainnya. Di barat beliau dikenali sebagai Avicenna. – HBI.

Seterusnya. . . .

Pertama-tama yang mahu kita bicarakan tentang pengajian yang berhubungan dengan Ibni Sina ialah tema kejadian dan perkembangan (yang baru tadi dibincangkan ketika memperkatakan Ibni Miskawayh). Dalam tema ini Ibni Sina mempunyai pendapat yang diterima oleh seluruh ahli sufi termasuk al-Rumi sendiri. Ibni Sina tidak mengatakan seperti teori Darwin yang menegaskan bahawa satu pertolongan telah berlaku di alam untuk mencapai survival, dan dalam pertarungan ini kejadian-kejadian yang terpilih telah terselamat iaitu kejadian-kejadian yang dapat menyesuaikan diri mereka dengan masyarakat hidupnya, malah Ibni Sina mengemukakan teori pertarungan untuk mencapai kemajuan atau pertarungan sampai ke taraf yang ideal. Setiap sesuatu di alam ini tidak sempurna. Oleh sebab itu tiap-tiap kejadian berusaha untuk mencapai kesempurnaan dan menghindari kekurangan. Dan pertarungan yang ditujukan untuk mencapai kesempurnaan itu dinamakan “cinta” yang menjadi rahsia perkembangan dan kesuburan. Kesempurnaan yang ditujukan itu atau tujuan yang dihadapkan itu adalah dinamakan “Keindahan”. Seluruh alam didorong dengan kekuatan cinta menuju ke arah keindahan yang luhur, iaitu keindahan Allah Yang Maha Besar, yang menjadi kemuncak dan penghabisan keindahan.

Dalam perjalanan menuju kesempurnaan yang didorong oleh cinta itu, kejadian-kejadian telah melalui berbagai-bagai tahap, mula-mula tahap tumbuh-tumbuhan kemudian tahap kebinatangan dan kemudian tahap kemanusiaan dan di dalam tahap-tahap pertarungan yang akan datang seseorang itu akan sampai ke darjah kemanusiaan yang paling luhur, yang kita tidak dapat tentukan hakikatnya sekarang.

Teori Ibni Sina merupakan satu rintisan pelopor yang gemilang yang bercampur dengan pengkhayalan Timur mengenai teori moden, iaitu proses perkembangan asasi yang sentiasa berlaku di alam ini.

Ibni Sina seorang ahli falsafah Islam yang paling agung dan fikiran-fikiran falsafahnya adalah campuran dari falsafah Aristotle dan pendapat-pendapat aliran Platonisma Baru. Buku beliau yang bernama “Al-Shifa”, merupakan satu kamus aneka agung yang mengandungi pengajian dalam bidang-bidang perubatan, falsafah-falsafah aqliah dan matematik.Buku ini terdiri dari lapan belas jilid dan telah dicetak di Leiden pada tahun 1892.

Falsafah aqliah Ibni Sina menegaskan tiap-tiap suatu yang bergantung wujudnya kepada satu sumber pencipta, maka kejadian ini dipanggil kejadian yang mungkin. Seandainya sumber pencipta itu tidak didapati, maka sesuatu itu tidak akan wujud. Kepastian wujudnya sesuatu itu hanya bergantung kepada wujudnya sumber pencipta. Dan ini akan membawa kita kepada kepastian mempercayai kepada Tuhan Yang Wajib Ada yang tidak berkehendak kepada sumber pencipta yang mengadakan-Nya.Tuhanlah yang menjadikan sumber pencipta yang melahirkan segala sesuatu. Tuhan Yang Wajib Ada itulah Allah. Al-Farabi telah mengikut Ibni Sina di dalam aliran ini dan kemudian diturut oleh ramai tokoh selepas Ibni Sina yang dikepalai oleh Musa bin Maimun dan Spinoza.

Tuhan Yang Wajib Ada itu Maha Suci dari sifat-sifat berbilang, Dia adalah tunggal, dan tiada berbilang dan kepada-Nya dihubungkan sifat-sifat yang tidak bertentangan dengan ketunggalan zat-Nya.

Seluruh kejadian yang ada ini sudahpun ada di dalam akal Allah sebelum kejadian-kejadian itu dilahirkan ke alam wujud ini. Kejadian itu adalah lahir dari Allah, kejadian-kejadian itulah yang membentuk alam sebagaimana terjadinya air sungai dari titik-titik air yang memancut dari satu mata air. Tiap-tiap suatu itu mempunyai detik wujudnya yang tersendiri, tetapi oleh sebab detik-detik itu bersambung-sambung menyebabkan pancutan air itu kelihatan seolah-olah bersambung-sambung.

Dalam pengajian ilmu logik, Ibni Sina mengatakan bahawa disana terdapat beberapa jenis wujud, iaitu:

Wujud aqli yang menjadi pokok pembicaraan ilmu metafizik, wujud kebendaan yang boleh ditanggap oleh pancaindera. Wujud ini menjadi pokok pembicaraan ilmu metafizik. Wujud mental yang digambarkan oleh fikiran. Wujud ini menjadi pokok pancaindera ilmu logik.

Sesuatu yang dibicarakan oleh ilmu metafizik adalah diluar kebendaan. Dan sesuatu yang dibicarakan oleh ilmu fizik tidak dapat digambarkan tanpa benda, sesuatu yang dibicarakan oleh ilmu logik adalah diambil dari benda dengan perantaraan perniskalaan atau abstraksi, iaitu dari perkara-perkara yang kadang-kadang bercampur dengan benda dan kadang-kadang tidak seperti persoalan-persoalan tunggal , banyak, universal dan juz’i.

Pentingnya ilmu logik adalah berpunca dari kekurangan akal manusia dan dari keperluan untuk mencapai ilmu pengetahuan yang tidak diketahui. Oleh sebab itu usaha-usaha harus diarah untuk memperkuatkan ilmu logik supaya dapat membantu mencapai ilmu pengetahuan yang sebenar dan mengawalkan fikiran dari penyelewengan-penyelewengan. Sebagaimana ilmu tatabahasa merupakan saranan untuk mendapat bahasa yang baik, demikian juga ilmu logik merupakan saranan untuk mencapai fikiran yang sihat.

Namun demikian, ilmu logik bukanlah selama-lamanya diperlukan, malah disana ada orang-orang yang dikurniakan wahyu dari Allah yang dapat mengetahui pengetahuan-pengetahuan yang majhul tanpa menggunakan ilmu logik, orang-orang itu ialah para anbia, mereka samalah dengan orang-orang Badwi yang tidak memerlukan ilmu tatabahasa kerana lidah mereka memang terpelihara dari menggunakan bahasa yang salah.

Menurut Ibni Sina kaedah-kaedah ilmu logik itu adalah objektif dan sumber ilmu pengetahuan itu adalah terdiri dari tanggapan pancaindera dan tanggapan logik. Inilah pendapat Imam al-Ghazali selepas Ibni Sina dan pendapat Kant di zaman moden.

Sebenarnya aliran Kant dalam masalah ini adalah menurut aliran pendapat-pendapat yang masyhur pada orang-orang Islam pada abad yang kedua belas. Dan aliran pendapat seperti ini bukan sahaja dilandaskan oleh Ibni Sina dan Imam al-Ghazali, malah dilandaskan juga oleh Ibni Ibrahim yang terkenal dalam ilmu perubatan mata juga oleh al-Biruni(1048M) yang terkenal dengan pengajian-pengajian matematik,falak dan geografi.

Sebagai seorang yang pintar dalam ilmu jiwa, Ibni Sina mengatakan bahawa akal itu mempunyai satu tempat yang terbatas dalam otak. Pendapat ini belum dapat dipastikan oleh tokoh-tokoh pengkaji Eropah di permulaan abad yang kedua puluh kecuali selepas itu barulah mereka akui pendapat ini.

Sebagai seorang pengkaji ilmu akhlak, Ibni Sina mempunyai pendapat yang bertentangan dengan Aristotle, menurut beliau, kelebihan akhlak itu lebih mulia dari kelebihan-kelebihan akal fikiran.

Kemasyhuran Ibni Sina sebagai seorang filosof dan ahli perubatan telah bersemarak di Barat selama beberapa abad. Kebanyakan bukunya telah diterjemahkan ke bahasa Hebrew dan bahasa Latin sebelum berakhirnya abad kedua belas. Roger Bacon mempelajari buku “Falsafah Timur” yang dikarang oleh Ibni Sina.Buku ini tidak sampai kepada kita.

Ibni Sina juga telah membuat satu pembahagian bagi ilmu-ilmu falsafah, dan pembahagian ini telah menjadi asas pengajian-pengajian falsafah di Eropah di sepanjang abad-abad pertengahan. Para pengkaji telah mengutamakan pembahagian ini dari pembahagian yang dibuat orang lain.

Ibni Sina mempunyai murid-murid di Eropah yang terpengaruh mengikut method pengajiannya. Di antara mereka ialah Musa bin Maimun ahli falsafah Yahudi, dan Albert The Great yang sezaman dengan Paderi Thomas dan Ulrich of Strasburg murid kepada Albert.

Musa bin Maimun menganggap Ibni Sina sebagai sebesar-besar pentafsir falsafah Aristotle.

Paderi Thomas pula telah menganut fahaman Ibni Sina tentang tabiat alam dan Ibni Sina pada umumnya mempunyai pengaruh yang kuat atas ahli falsafah Kristian, tokoh-tokoh terkenal dari mereka telah menganggapkan Ibni Sina termasuk di dalam kumpulan jaguh-jaguh pemikir dunia. Dan telah meletak Ibni Sina di antara Hippocrates dan Galen. Scaliger pula berpendapat bahawa Ibni Sina adalah tandingan Galen di dalam ilmu perubatan, malah mengatasinya di dalam ilmu falsafah.

Kebanyakan pendapat Spinoza seperti katanya Allah itu fikiran dan akal, Allah itu nyata dan mempunyai ilmu yang azali……….semuanya berpangkal dari Ibni Sina. Fikiran-fikiran beliau telah dipindah kepada ahli-ahli falsafah yang terkebelakang melalui kajian-kajian yang dilakukan oleh Musa bin Maimun ahli falsafah Yahudi.

 

Sumbangan Islam Kepada DuniaM.M.Shariff. Terjemahan Yusoff Zaky Yacob

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

  

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005