e-Com Powered by Active IQ

Sumbangan

Homeopathy Malaysia  - Info Islam

IBNI BAJAH

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad ibn Yahya al-Sa’igh. Selain nama ibn Bajjah, beliau dikenali sebagai Avempace. Beliau lahir dari keluarga al-Tujib di sebuah tempat bernama Saragosa  kira-kira akhir kurun ke 5h/11m. dan meninggal pada 553h/1138m. Menurut sejarah, beliau telah meninggal akibat diracun pada bulan Ramadan tahun 553h dan dikebumikan berhampiran dengan ibn al-‘Arabi. – HBI.  

Seterusnya….

Ternyata dari aliran-aliran fikiran al-Farabi dan Ibni Sina bahawa pengajian falsafah kedua-duanya memperlihatkan kecenderungan ke arah sufian. Tetapi walaupun Ibn Bajah merupakan murid dari al-Farabi, namun beliau tidak cenderung ke arah sufiah di dalam pengajian falsafahnya. Malah sebaliknya beliau telah melancarkan satu pemberontakan yang hebat terhadap faham sufiah dan ahli-ahli sufi.

Beliau mengumumkan bahawa faham sufiah, walaupun mempunyai konsep-konsep yang dapat ditanggap oleh pancaindera, namun ia lebih banyak menutupi hakikat daripada membukakannya. Dan apa yang didakwa oleh ahli-ahli sufi bahawa hakikat itu datang kepada manusia melalui cahaya yang dicampakkan Allah di dalam hati dan bahawa aliran sufiah boleh memberi kebahagiaan kepada manusia semuanya, itu semuanya waham sahaja yang perlu disingkir. Jalan sebenar untuk mengetahui hakikat ialah penelitian dan pemikiran secara falsafah yang tidak diganggu keenakan pancaindera.

Ibni Bajah menegaskan bahawa amat sukar bagi seorang ahli falsafah untuk meningkat tinggi dengan pengajian-pengajian falsafah dan pemikirannya atau untuk mengumumkan hasil-hasil pengajiannya di dalam masyarakat yang jahil dengan ilmu falsafah dan masyarakat yang fanatic buta di dalam perkara-perkara agama. Oleh sebab itu beliau menganjurkan supaya menjadi “pemikir sendirian” iaitu sekelompok kecil dari ahli-ahli fikir harus hidup sendirian saja, seolah-olah kumpulan mereka merupakan kerajaan dalam kerajaan dan merupakan contoh yang ideal kepada orang ramai.

Menurut Ibnu Bajah manusia boleh sampai ke kemuncak ilmu pengetahuan dengan proses perkembangan yang dimulai dengan percubaan-percubaan yang menggunakan pancaindera dan meningkat kepada pemikiran-pemikiran akal.

Ibni bajah juga telah memperkatakan tentang jiwa individu dan jiwa kemanusiaan. Menurut beliau jiwa individu itu boleh kekal jika cukup segala sifat-sifatnya, sedangkan jiwa kemanusiaan seluruhnya adalah bersifat azalai kerana persatuannya dengan akal yang maha kuasa iaitu Allah.

Menurut Ibni Bajah kejadian-kejadian yang ada terbahagia kepada dua:

-         Kejadian yang bergerak

-         Kejadian yang tidak bergerak.

Kejadian yang bergerak adalah bergerak dengan daya yang lahir dari suatu yang azali wujudnya iaitu akal. Jisim tidak boleh hidup tanpa roh, tetapi roh boleh hidup tanpa jisim. Oleh itu roh boleh hidup selepas matinya jisim, dan selepas ditanam dan dibakarkannya. Jalan mencapai ilmu pengetahuan adalah dipermudahkan kepada roh yang bebas yang bersih dari kebendaan jisim. Orang berpada dengan gejala kebendaan akan ditelan oleh kemusnahan, begitu juga gejala-gejala kebendaan itu sendiri akan turut musnah. Tetapi orang-orang yang memberi perhatian besar kepada perkara-perkara akliah dan bertindak di bawah arahan-arahan akal, mereka akan sampai kepada ilmu pengetahuan yang sebenar dan memperoleh keabadian.

Jiwa individu itu berakhir dengan kemusnahan, tetapi roh iaitu unsur jiwa yang berfikir adalah azali dan abadi kerana roh adalah universal. Orang-orang yang memperkembangkan roh, mereka akan berjaya sampai kepada keabadian. Dan orang yang mencapai ilmu pengetahuan dengan fikiran yang bersih akan sampai kepada hakikat, iaitu Allah dan mereka bukan saja sampai kepada Allah, malah mereka bersatu dengan Allah.

Falsafah Ibni Bajah adalah terkenal kepada para pengkaji Barat terutama Albert Magnus dan Saint Thomas Aquinas.

 

Sumbangan Islam Kepada DuniaM.M.Shariff. Terjemahan Yusoff Zaky Yacob

Ó DrHatta demi ilmu - Malaysia Homeopathy Cyber Library

  

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005