|
PELBAGAI RAWATAN ALTERNATIF /
KOMPLEMEN
Acupressure
Hampir
sama dengan akupunktur, tetapi menggunakan jari bagi memberi kesan
ke atas titik-titik tertentu badan untuk merawat penyakit-penyakit
seperti stres, sakit kepala, senggugut, artritis dan sebagainya. .
Akupunktur [Acupuncture]
Dalam
akupunktur, jarum-jarum halus digunakan ke atas permukaan tubuh
untuk mempengaruhi fungsi fizikalnya. Jarum-jarum itu ditusuk pada
titik-titik yang dikenalpasti untuk merangsang dan mengawal
perjalanan tenaga vital dan mengembalikan keseimbangan tenaga.
Selain melegakan sakit, akupunktur digunakan untuk memajukan
kesihatan individu dan merawat penyakit-penyakit akut dan kronik
Aromaterapi [Aromatherapy]
Kaedah
rawatan ini menggunakan "minyak pati" (essential oils) yang
diambilguna dari tumbuh-tumbuhan. Aromaterapi merawat gangguan
emosi seperti stres, kebimbangan, keresahan, termasuk juga
beberapa penyakit lain. Minyaknya diurut masuk ke dalam kulit
dalam bentuk minyak sapuan, dihidu atau dalam bentuk mandian.
Aromaterapi juga kerapkali digunakan bersama terapi masaj,
akupunktur, refleksologi, herbalisme, dan rawatan holistik yang
lain.
Ayurveda
Ayurveda
membawa makna "ilmu (veda) tentang hidup (ayur)". Ia
diamalkan di India sejak lebih 5,000 tahun yang lampau. Mengikut
tradisi ayurvedia, penyakit itu dianggap suatu keadaan
ketidakseimbangan di antara sistem tubuh yang boleh dikesan
menerusi prosedur diagnostik seperti memeriksa nadi dan memerhati
lidah pesakit, Banyak herba dan mineral digunakan dalam rawatan
ayurveda.
Feng Shui
Amalan
kuno masyarakat China yang kini semakin popular di Barat dan Asia.
Ia merujuk kepada amalan menyusunatur rumah atau persekitaran
kerja untuk menggalakkan kesihatan dan kebahagiaan. Dalam hal ini,
konsultan mungkin menyarankan suatu perubahan sekitar - berhubung
dengan warna, penempatan perabot dan seumpamanya bagi merangsang
kesihatan dan perjalanan chi atau tenaga hayat.
Herbalisme atau Perubatan Herba (Herbalism)
Dikenali juga
sebagai phytoyherapy, perubatan herba merupakan amalan perubatan
tradisional yang paling awal bertapak dalam sejarah manusia.
Perubatan yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan ekstrak tumbuhan
untuk merawat penyakit ini lumrah dalam masyarakat sedang
membangun, tetapi masih diamalkan oleh sesetengah anggota
masyarakat modern. Di Barat, penawar seperti black cohosh,
echinacea, st john's wort dan garlic adalah antara penawar yang
popular. Begitu juga dalam masyarakat Melayu, herba seperti daun
kapal terbang, halia, hempedu bumi, kacip fatimah, tongkat ali
dsbnya sangat dikenali. Hampir semua masyarakat mempunyai bahan
herba tersendiri.
Hidroterapi [Hydrotherapy]
Ia merupakan aplikasi saintifik bahan air untuk tujuan rawatan.
Adalah dikatakan air itu boleh digunakan pada suhu yang pelbagai
dan dalam bentuk yang berbeza bagi tujuan memberi kesan terapeutik.
Air juga banyak digunakan dalam perubatan Islam dengan membacakan
ayat-ayat tertentu bagi menyampaikan kepada matlamat yang
dikehendaki.
Hipnoterapi [Hypnotherapy]
Ia merupakan kaedah untuk melepasi pemikiran biasa ke alam bawah
sedar di mana di sana terdapat kejadian, memori dan emosi yang
terpendam yang terakam dalam sejarah hidup seseorang. Menerusi
hipnosis, ia mungkin memudahkan perubahan terhadap tingkah laku,
emosi dan sikap. Ia boleh digunakan untuk merawat sesetengah jenis
fobia, stres dan membantu rawatan penyakit tertentu.
Homoeopathy
Perubatan homeopati merawat individu secara
holistik juga. Tetapi berbeza dengan semua perubatan lain, ia
menggunakan dos yang diperkecilkan dalam merawat pesakit. Maklumat
lanjut boleh didapati dari laman web
http://www.homeolibrary.com
atau
http://go.to/homeolibrary.
Iridologi [Iridology]
Ia bukan bentuk rawatan. Tetapi hanya satu
sistem diagnosis yang dilihat menerusi iris organ mata. Kerapkali
ilmu ini digunakan oleh pengamal perubatan alternatif bagi
mendapat maklumat berhubung kedudukan kesihatan sistem
tubuh pesakit. Maklumat lanjut, lihat artikel dari laman Malaysia
Homeopathy Cyber Library.
|