e-Knowledge Powered by Active IQ

Malaysia Homeopathy (Alternatif) Cyber Library

Mencapai status yang tinggi dan menjadi kaya merupakan impian insan yang rasional. Tetapi bagaimanakah kita dapat memperolehnya. Sedikit kata-kata motivasi mungkin dapat menyuntik semangat anda. Tidakkah anda ingin kaya atau menjadi jutawan?

Sebuah Laman Eksperimen - bincang-bincang bagaimana mau jadi kaya, apa kelebihan dan kekurangan kalau kita menjadi kaya. Bersama kami di Perpustakaan Virtual, Dataran Bitara.

 
Motivasi Kaya Motivasi 2 - Bagaimana kita dapat mencapai status kaya
 

Bagaimana untuk berjaya, meningkatkan status atau menjadi kaya adalah suatu persoalan yang menarik untuk mereka yang bercita-cita mendapatkannya. Ia juga dibincangkan dalam beberapa disiplin ilmu.

Sedar atau tidak, di sana memang ada ilmu bagaimana untuk berjaya, mendapat status dan menjadi kaya. Ia mungkin juga boleh dikatakan suatu sains yang mengutamakan ketepatan. Dengan itu tentulah ia juga mempunyai peraturan-peraturan mengenai proses bagaimana mendapatkan status dan menjadi kaya. Sesiapa yang mempelajari atau mengikuti peraturan itu maka secara automatik ia menempah tiket ke arah kejayaan, memperoleh kekayaan dan pangkat sekali gus.

Dalam ilmu sosiologi ada disebut tiga cara seseorang itu boleh meningkatkan statusnya atau menjadi kaya. Cara pertama ialah melalui keturunan. Seseorang yang dilahirkan dalam keturunan yang berada secara automatik dia mewarisi kekayaan keluarganya. Umpamanya, anak-anak raja, pembesar istana dan anak-anak jutawan, mereka lahir ke dunia dengan semuanya sudah tersedia. Waris kesultanan Brunei, anak-anak keluarga Di Raja negara-negara pengeluar minyak di tanah Arab, sebagai contohnya. Mereka memiliki jalan mudah mendapat kekayaan dan tentulah mudah juga memperluaskan kekayaan mereka.

Tetapi itupun memerlukan kaedah dan caranya jika ingin menambahkan kekayaan. Tetapi tegasnya mereka mendapat status dan kekayaan menerusi perwarisan. Keuntungan lain bagi mereka yang mendapat kekayaan secara perwarisan ialah, mereka boleh menjadi jutawan atau kaya dalam usia yang amat muda. Dan ini tidak terhad kepada anak-anak raja dan ketua-ketua kerajaan sahaja. Contohnya, Athina Onassis, 18 tahun, adalah antara remaja terkaya di dunia selepas menjadi pewaris tunggal kekayaan datuknya, jutawan perkapalan Greece, Aristotl Onassis yang berjumlah AS$800 juta (RM3.04 bilion). Harta tersebut termasuklah  rumah, lukisan, saham, barang kemas, kereta mewah dan sebuah pulau. Begitu juga, Albert von Thurn und Taxis dari Jerman yang mewarisi harta peninggalan ayahnya sebanyak RM5.7 bilion pada tahun 2002 ketika berusia 18 tahun adalah merupakan bilionair termuda di dunia.

Cara kedua boleh dicapai oleh sesiapa saja, sama ada orang biasa atau awam. Tetapi tidaklah semua kita ada peluang memperolehnya. Dan jikalah peluang itu terbuka, ia harus direbut dengan serta-merta. Bukan masanya untuk berfikir panjang. Bagaimanapun ia boleh menjadi cita-cita seseorang.

Cara ini ialah melalui ikatan perkahwinan. Melalui perkahwinan dengan seorang raja, bangsawan, pembesar, tokoh-tokoh politik atau korporat dan jutawan, seseorang itu boleh menjadi kaya dalam sekelip mata. Banyak contoh-contoh yang boleh disebutkan di sekeliling kita bagaimana mereka boleh mendapat status melalui cara ini. Berkahwin dengan seorang berpangkat Dato’ pun sudah cukup untuk kita melihat perubahan gaya hidup seseorang itu yang sekaligus meningkatkan status mereka. Kumpulan yang paling beruntung mendapat kekayaan dan status dengan cara ini majoritinya ialah kaum wanita. Khususnya, mereka yang cantik dan ada rupa paras. Bagaimanapun kita tidak menolak bahawa ada juga kaum lelaki yang menjadi kaya atau peluang mudah menjadi kaya melalui cara ini.

Cara ketiga ialah apa yang disebut sebagai memperoleh kekayaan melalui ikhtiar sendiri, yakni yang disebut oleh ahli sosiologi sebagai achieved status. Cara ini terbuka dan boleh diusahakan oleh setiap orang. Mereka juga lebih kaya berbanding dengan mereka yang memperoleh kekayaan melalui perwarisan atau perkahwinan. Ini adalah kerana hasil titik peluh mereka tidak terhad dan tidak bergantung kepada milikan sesiapapun.

Beberapa orang yang dikenali di dunia sebagai terkaya kerana usahaniaga mereka termasuk Ingvar Kamprad (Perabot), Paul Allen (Komputer/AS), Karl Albrecht (Wal-Mart/AS), Larry Ellison (Oracle/AS), Robson Walton (WalMart/US), Bill Gates (Microsoft, US), Warren Buffet (Stock Market, US), Karl & Theo Albrect (Retail . German), Al-Waleed Talal (Investments, Saudi Arabia). Di Malaysia pula kita kenal ROBERT KUOK HOCK NIEN (Gula), T ANANDA KRISHNAN (Astro dll), LIM GOH TONG (Genting), TEH HONG PIOW (Perbankan) dan QUEK LENG CHAN. Begitu juga FRANCIS YEOH (HARTANAH) dan SY MUKHTAR ALBUKHARY.    

Mereka yang berusaha dan melalui jalan-jalan mengikut cara-cara tertentu mempunyai peluang memiliki harta dan wang yang banyak. Dan ini boleh berlaku sama ada dengan niat bersungguh-sungguh atau tidak sengaja.

Tetapi bagi mereka yang telah berusaha gigih namun masih gagal atau tidak berjaya harus berfikir lebih jauh. Biasanya, jika caranya tidak menepati dengan liku-liku jalannya, pasti ia gagal walaupun betapa kuat usaha dan kemampuan mereka.

Namun sebagai orang baru anda harus berani menghadapi semua kegagalan itu. Tanpa keberanian itu anda sudah menempah kegagalan. Sebaliknya dengan semangat berani gagal dan cita-cita tinggi untuk berjaya, anda sudah berada di separuh jalan menempa kemenangan.

 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005