|
Kaya
dan miskin adalah pilihan anda. Setiap insan berhak menentukan
visi dan matlamat hidupnya. Walaupun menjadi kaya bukannya
matlamat akhir kehidupan, tetapi tidakkah anda terfikir untuk
mengecapi alam kehidupan sedemikian dalam usia hidup anda.
Apakah anda tidak berhak mengimpikan nikmat hasil sebuah
kekayaan yang menjadi natijah kepada usaha gigih anda?
Keinginan menjadi kaya adalah
normal. Anda tidak melakukan sebarang dosa hanya kerana anda
ingin menjadi kaya. Malah kekayaan akan banyak membantu anda
dalam kehidupan harian, baik untuk kebajikan di dunia maupun
di akhirat.
Sebagai manusia kita mungkin
kasih kepada sesuatu atau seseorang. Tapi apakah yang boleh
diberikan sekiranya kita miskin atau tidak berwang. Namun
dengan kekayaan, kita boleh merasa senang hati dan mendapat
ketenangan hasil dari pemberian, hadiah atau sedekah yang
mampu kita berikan kepada seseorang yang kita kasih atau
terhadap binatang/benda-benda yang memerlukan pertolongan kita.
Dalam ertikata lain, kasih kita menjadi lebih bermakna apabila
kita dapat dan mampu memberikan sesuatu.
Apakah yang dapat kita tolong
jika kita tidak mempunyai harta selain tulang empat kerat dan
rasa simpati. Membantu cara lain ada kesan dan pahalanya,
tetapi kalau kita dapat membantu lebih dari itu, sudah pasti
ianya lebih baik. Kita tentulah menjadi seorang ibu/bapa yang
lebih baik jika kita dapat membeli mainan untuk anak-anak,
dapat menyekolahkan mereka dan menghantar mereka ke mana-mana
pusat pengajian tinggi tanpa masalah. Kita tentu boleh menjadi
seorang kekasih yang lebih baik apabila kita dapat memberi
sesuatu yang berharga atau dapat memenuhi apa saja yang
diminta oleh orang yang kita cintai. Kita juga akan menjadi
anggota masyarakat yang lebih baik jika kita dapat membantu
orang yang sakit, yang miskin, yang musafir, yang mendapat
bencana dan lain-lain orang jika kita kaya dan dapat
menyumbang kepada keperluan mereka semua.
Di dalam sejarah Islam, kita
mengenali ramai tokoh-tokoh sahabat yang menyumbang kepada
perkembangan Islam. Mereka mendapat penghargaan yang besar
dari nabi s.a.w dan ganjaran besar di sisi Allah. Sayyidina
Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi tokoh
yang berkorban harta benda yang banyak demi perjuangan Islam.
Hal tersebut sudah tentu tidak dapat dilakukan oleh mereka
yang miskin dan tidak berharta.
Terdapat tiga tujuan utama
mengapa kita hidup, selain apa yang kita semua ketahui yakni
untuk tujuan beribadah kepada Ilahi kerana kita adalah
hambanya. Oleh kerana kita mempunyai jasad, maka kita hidup
bagi mempastikan jasad kita baik dan sihat. Oleh kerana kita
mempunyai otak dan minda, kita juga hidup untuk menambahkan
ilmu dan mempertajamkan minda. Oleh kerana kita mempunyai roh,
kita juga hidup untuk memenuhi keperluan rohani dan ibadah.
Adalah tidak wajar bagi kita
memilih suatu kehidupan yang hanya untuk menyempurnakan salah
satu dari perkara di atas. Ini adalah kerana ketiga-tiga
perkara di atas berjalan serangkai. Kita membutuhkan
ketiga-tiganya untuk hidup dengan aman. Demikian juga kita
tidak boleh memenuhi sebahagian sahaja dari tuntutan jasad,
minda dan rohani. Lebih-lebih lagi jika kita berpegang kepada
falsafah “ulat dalam batupun dapat makan”, “rezeki secupak
takkan jadi segantang” atau cukuplah dengan apa yang ada. Kita
tidak akan dapat merasa keseronokan dan kenikmatan yang
maksimum jika kita hanya menyempurnakan sebahagian kecil dari
keperluan jasad, minda dan rohani.
Cubalah tanya diri anda, apakah
anda boleh berpuas hati jika tubuh badan anda tidak bermaya
dan sekadar dapat melakukan kerja-kerja biasa tanpa mendapat
makanan yang berkhasiat, pakaian yang cantik dan selesa,
tempat tinggal yang sempurna dan tanpa gangguan. Demikian juga
anda memerlukan rehat dan rekreasi bagi memenuhi kehidupan dan
keperluan fizikal yang sempurna. Dari manakah anda boleh
mendapatkan semua itu?
Bolehkan anda hidup dengan tenang
tanpa memberi makanan minda. Anda memerlukan buku-buku, guru,
dan masa untuk tujuan memperkembangkan minda. Anda juga
memerlukan teman yang sama kepintaran intelek, perlu mendapat
alatan yang boleh merangsang intelek, peluang untuk berjalan,
melancong dan mengembara, serta membuat pemerhatian terhadap
alam kehidupan. Adakah anda cukup berpuas hati dengan hidup
tanpa mendapatkan apa yang hanya boleh dibeli dengan wang
ringgit?
Demikianlah juga anda memerlukan
kasih dan cinta. Kasih cinta itu akan dapat dizahirkan dengan
lebih baik jika anda dapat memberi sesuatu kepada yang
dikasihi atau dicintai. Mereka yang miskin hanya boleh
memberikan hati dan bantuan dari tulang empat kerat yang
dimiliki oleh semua manusia. Tentulah anda dapat memberikan
lebih dari itu jika anda seorang yang kaya dan mempunyai kuasa
beli.
Dari itu, mulai hari ini bukalah
minda dan berjalanlah dengan semangat baru, cita-cita baru dan
semangat berkobar-kobar. Hasrat untuk menjadi kaya dan untuk
memberi yang terbaik kepada kehidupan anda dan orang lain
adalah tidak menyalahi prinsip atau falsafah hidup anda.
Bahkan ia akan memberi harapan dan peluang yang lebih besar
kepada anda. Binalah cita-cita untuk jadi kaya, untuk jadi
jutawan dan mendapat yang terbaik dalam hidup anda.
Oleh itu, sempena dengan
kedatangan 2006 ini, binalah aspirasi yang lebih jauh ke
hadapan. Unjurkan cita-cita dan visi anda ke arah menjadi
seorang yang lebih berjaya. Tidakkah impian menjadi seorang
jutawan itu suatu yang boleh dicapai? Jawapannya kini adalah
di tangan anda.
Ikutilah siri-siri seterusnya ke
arah menguatkan semangat anda ke arah impian setiap manusia
terhormat, agar ia tidak menjadi mimpi kosong dan
angan-angan mat jenin.
|